Ilmu Mengenal Diri CVT - 2

Bismillah...
Alhamdulillah pagi ini saya ingin teruskan perkongsian tentang ilmu mengenal diri yang pernah saya pelajari dulu.

Biarlah saya tulis disini agar ia tidak menjadi beban kepada saya suatu ketika nanti. Jika ia bermanfaat jadikan ia sebagai amalan diri, jika tidak bacalah sekadar dapat informasi.

Ketika saya belajar, kami dijelaskan tentang konsep tenaga, warna dan bunyi serta perkaitannya dengan diri manusia. Manusia dijadikan dalam bentuk aliran tenaga, setiap organ dalam tubuh kita mempunyai frekuensi tertentu, jika frekuensi organ tersebut stabil dan tersusun, maka kita berada dalam keadaan sihat.

Kita boleh tahu kesihatan seseorang melalui akhlak dan tingkahlaku beliau, ia petanda awal bahawa frekuensi organ tertentu masih tetap atau sudah berubah, lama sebelum doktor dapat analisisnya. Orang yang sihat memiliki sifat-sifat positif, manakala orang sakit bersifat negatif.

Sebab itulah ada yang mula memperkenalkan attitude therapy, iaitu terapi sikap. Orang yang sentiasa bersikap positif, akan mudah untuk memiliki tubuh yang sihat. Inilah kecantikan manusia yang dijadikan oleh Allah swt, tetapi kecantikan sikap tersebut akan menjadi lengkap apabila ia disulami dengan aqidah yang betul.

Saya pernah bertemu dan berdiskusi dengan beberapa orang bukan Islam yang mengamalkan sikap-sikap positif. Saya rasa sangat seronok bila mendengar penjelasan mereka tentang sikap manusia, apa yang kurang ialah aqidah mereka bukan beriman kepada Allah swt. Moga Allah membuka pintu hati mereka untuk memilih Islam sebagai cara hidup mereka.

Manusia dijadikan memiliki roh dan jasad, kedua-duanya mesti serasi, iaitu dalam keadaan sejuk. Jika jasad berubah menjadi panas, roh yang bersifat sejuk tidak serasi untuk kekal dan berfungsi dengan baik. Ketika itu perangai manusia mula berubah ke arah negatif. Oleh itu amat penting untuk kita menjaga roh dan jasad kita agar sentiasa sejuk.

Bagaimana kita nak pastikan kedua-duanya sentiasa sejuk? Caranya adalah dengan menghidupkan segala ajaran dan melakukan amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw kepada kita.

Rupa-rupanya setiap amal ibadah yang kita lakukan sebagai seorang muslim tujuannya untuk mengharmonikan antara roh dan jasad kita. Bila roh dan jasad kita stabil dan serasi, kita akan rasa tenang dan harmoni. Dan bila kita tenang, orang disekeliling kita juga akan turut merasainya. Oleh itu jika kita ingin hidup tenang, harmonikanlah roh dan jasad kita dahulu dengan menghidupkan sunnah.

Jika kita teliti kembali amal ibadah kita, kebanyakannya bersifat sejuk. Sebagai contoh mengambil wuduk akan menyejukkan bahagian yang penting dalam tubuh kita iaitu muka, tangan dan kaki. Bila kita melakukannya seolah-olah kita menghantar mesej untuk menyejukkan organ berkaitan. Malah kita juga diwajibkan dan disunatkan mandi dalam keadaan tertentu.

Disamping itu beberapa amalan lain dianggap sumber untuk menyejukkan diri kita, iaitu istigfar dan selawat. Jadi sesiapa yang banyak beristigfar dan berselawat lebih tenang dan sabar bila menghadapi masalah.

Malah orang yang sentiasa menyejukkan diri akan lebih bercahaya, kerana kesejukkan membantu mempertenagakan tubuh kita. Sebagaimana juga orang-orang yang baik kita akan nampak muka mereka bercahaya, manakala muka pelaku maksiat nampak pudar dan gelap.

Kesejukan juga akan merapatkan sel-sel dalam tubuh kita seperti seketul ais, manakala kepanasan akan memudarkan diri kita, sel-sel juga akan menjauh antara satu sama lain, akhirnya unsur lain akan menempati ruang-ruang antara sel tersebut, akhirnya akan terjadi pelbagai penyakit.

Ia dapat digambarkan secara mudah bila kita melihat kanak-kanak. Semasa dalam kandungan, janin dilindungi lapisan air untuk membantu pembentukan tubuh serta sebagai lapisan keselamatan daripada gangguan luar. Ketika kecil kanak-kanak begitu sukakan air, oleh itu sikap mereka masih mengikut fitrah, lama-kelamaan sikap tersebut makin berubah bila kanak-kanak mula jauh dari air, sumber kesejukkan mereka.

Disamping itu kita juga dapat menyejukkan diri dengan mengawal pemakanan, memilih makanan yang halal, dan memakan makanan yang diperlukan tubuh sahaja. Sesungguhnya ada banyak perkaitan antara tubuh dan pemakanan dan persekitaran kita, jika kita berfikir. Subhanallah.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas