Teknik Menulis Khat Nasakh Secara Cepat

Bismillah...
Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana telah membuka ruang untuk saya berkongsi kemahiran menulis khat dengan beberapa penggemar seni ini di sini.

Sebenarnya sudah beberapa kali saya cuba menghidupkan kembali bakat ini, tetapi akhirnya ia terhenti. Puncanya saya melihat ilmu ini terlalu mudah, tidak bermanfaat buat diri sendiri serta pelbagai lagi fikiran negatif.

Akhirnya ilmu yang bertahun-tahun dipelajari secara formal sewaktu zaman persekolahan terpendam begitu saja, terutama apabila saya mula menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Di sini, saya dipertemukan dengan beberapa orang guru sekolah anak-anak saya yang menyedari bakat ini, serta meminta saya mengajarkannya kepada pelajar mereka. Alhamdulillah saya sempat beberapa kali berkongsi teknik menulis khat dengan pelajar sekolah anak-anak saya.

Kemudian beberapa orang jiran meminta saya mengajar mereka untuk menulis dengan kaedah yang betul. Setelah beberapa kali mencuba beberapa kaedah, akhirnya saya berjaya menyiapkan kaedah mudah dan cepat bagi peminat seni ini.

Namun begitu kesemua pelajar saya terhenti pada peringkat pertama khat nasakh, sebelum melangkah ke peringkat seterusnya. Moga usaha terbaru ini akan berterusan sehingga mereka mahir beberapa jenis khat.

Walauapapun yang berlaku, kini saya mula yakin bahawa ilmu ini mesti disebar, moga ada insan yang boleh mengambil manfaat daripadanya.

Ilmu inilah yang mendidik sikap tekun dan sabar dalam diri saya selama ini. Ia sentiasa selari dengan pendidikan lain yang saya perolehi. Setelah saya meninggalkan kemahiran ini, pelbagai ujian dan cabaran terpaksa saya lalui, ada kekosongan yang tidak boleh diisi. Kini saya nekad untuk berkongsi ilmu ini.

Sepanjang percubaan saya untuk berkongsi ilmu ini dengan orang luar, saya dapati ia amat mudah untuk dipelajari oleh insan yang betul-betul berminat dan rajin membuat latihan menulis. Minat dan rajin juga di antara syarat saya sebelum mengajar ilmu ini.

Prinsip saya bertepatan dengan hadis Rasulullah saw iaitu "Sesungguhnya Allah swt menyukai setiap orang yang tekun bila melakukan kerja."

Jadi sesiapa yang berminat untuk mengetahui teknik ini bolehlah menghubungi saya di email saya alizayunus@yahoo.com.

Moga saya dipertemukan dengan insan-insan yang betul-betul berminat untuk belajar serta tidak mudah berputus asa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman