Perancangan Ramadhan

Alhamdulillah kita semakin hampir memasuki bulan Ramadhan, bulan rahmat, berkat dan penuh pengampunan. Apakah kita telah membuat perancangan untuk menyambut kedatangan Ramadhan kali? Ataupun kedatangannya adalah seperti tahun-tahun yang lepas.

Para ulama selalu berdoa "Allahumma balligni Ramadhan". Itulah sebaik-baik doa agar kita sempat merasa kedatangan Ramadhan kali ini dan seterusnya.

Bila bercerita tentang perancangan Ramadhan, kita dapati peniaga-peniaga lebih berminat merancang untuk menyambutnya. Pelbagai perancangan yang mereka buat untuk mendapat keuntungan material sepanjang Ramadhan ini. Perancangan yang dibuat bukan bermula hari ini malah semenjak awal tahun lagi, malah ada yang terus merancang sejurus berakhirnya Ramadhan tahun lepas. Begitulah hebatnya manusia merancang untuk mendapat keuntungan duniawi.

Malah di TV juga sudah berbulan-bulan iklan tentang rakaman program TV untuk hariraya disiarkan. Namun kita jarang terdengar orang yang merancang untuk pengisian Rohani sepanjang Ramadhan.

Sekiranya di negara-negara Arab, para surirumah agak sibuk merancang budget untuk Ramadhan. Ini kerana mereka berbelanja lebih setiap kali menyambut Ramadhan. Bayangkan barang-barang dapur dibeli dalam kuantiti yang banyak untuk digunakan sepanjang bulan Ramadhan. Memang kali pertama melihat gaya mereka menyambut Ramadhan saya agak terkejut, rupa-rupanya mereka melakukan sedemikian untuk lebih fokus dengan aktiviti Ramadhan. Cuma sayangnya perancangan tersebut lebih kepada perancangan untuk mengisi perut ahli keluarga.

Namun begitu di Oman, terdapat juga pelbagai perancangan pengisian rohani dilakukan sepanjang Ramadhan, malah kertas-kertas perancangan aktiviti sepanjang Ramadhan banyak diedarkan di kedai-kedai buku agama untuk mengingatkan umat Islam untuk mengejar kebajikan sepanjang bulan ini. Malah masih ramai yang mengamalkan iktikaf di masjid pada sepuluh akhir Ramadhan.

Begitu juga di negara kita, ramai yang merancang untuk pengisian rohani dan jasmani sepanjang bulan ini. Namun begitu masih ramai yang lebih fokus untuk merancang tempat untuk berbuka puasa, apakah juadah yang akan disediakan sepanjang bulan ini, termasuklah perancangan untuk menyambut hariraya. Para surirumahlah yang paling sibuk pada bulan ini. Moga kesibukan itu tidak menghalang kita daripada merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh Allah swt kepada kita.

Mulalah merancang aktiviti Ramadhan kita dari awal agar kita dapat menjalani ibadah ini sebaik-baiknya. Jadikanlah bulan yang hanya datang setahun sekali ini sebagai sekolah untuk kita mendidik diri dan nafsu kita.

Janganlah kita hanya menghabiskan masa kita didapur, untuk menyediakan pelbagai masakan berbuka puasa, makanan selepas terawih dan makanan sahur, kerana Ramadhan ini mesti dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mengisi kekosongan Rohani kita. Lakukanlah dengan kadar yang berpatutan agar lebih banyak masa kita dapat peruntukkan untuk amal kebajikan.

Jadikanlah bulan Ramadhan kali ini sebagai latihan permulaan untuk kita menambah amal ibadat untuk kelangsungan hidup kita didunia dan di akhirat. Bayangkan sekiranya sebelum ini kita tidak pernah mengaji Quran, jadi mulakanlah pada bulan ini. Insya Allah setelah kita melatih diri kita selama 30 hari berturut-turut kita akan mampu meneruskannya diluar bulan Ramadhan. Begitu juga amal kebajikan lain, mulakanlah pada bulan ini serta teruskanlah sepanjang tahun.

Buatlah perancangan yang terbaik agar Ramadhan kali ini memberi lebih erti dalam hidup kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman