Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman


 Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman
Bismillah ...Alhamdulillah...
Hari ini saya merasa terpanggil untuk menulis sedikit mengenai Surat Rasulullah SAW yang dihantarkan kepada Raja Oman sebagai satu surat rasmi untuk menyebarkan agama Islam.

Sebenarnya saya pernah menulis tentang surat ini selepas kami melawat Musandam, tempat pertama saya melihat surat tersebut dipamerkan.

Surat tersebut dihantar oleh Rasulullah SAW kepada Raja Oman yang memerintah pada ketika itu melalui utusan baginda iaitu Amr ibn 'As.

Menurut sejarah Oman, kedua-dua raja mereka ketika itu menerima baik utusan Rasulullah saw serta memeluk agama Islam, seterusnya mengarahkan agar agama Islam disebarkan diseluruh ceruk Oman.

Namun begitu, orang pertama yang menerima Islam di Oman adalah Mazin bin Ghadubah, yang mendengar tentang Islam daripada peniaga2 Arab, kemudian beliau bertemu sendiri dengan baginda Rasulullah saw, serta meminta agar baginda mendoakan kesejateraan kepada Oman. Hadis-hadis ini ada disebutkan didalam buku-buku sejarah Oman.

Setelah kedatangan Mazin bertemu Rasulullah saw, baginda menghantar utusan rasmi agar Islam disebarkan dibumi Oman.

Bagi saya, surat ini adalah bukti pengiktirafan baginda Rasulullah saw ke atas pemerintahan Raja Oman ketika itu. Tindakan yang sama telah diambil ketika zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab, mereka mengiktiraf kuasa pemerintahan Raja Oman ketika itu.

Namun begitu, kecelaruan sejarah yang ditulis selepas itu menenggelamkan segala fakta ini, dan Oman dikira sebagai satu puak Khawarij, yang dihukum sebagai kafir.
 
 Surat yang ditulis semula dengan khat Nasakh

Menurut surat ini, Rasulullah saw menegaskan sekiranya Raja Oman ketika itu menerima Islam, maka beliau mengiktiraf pemerintahan mereka berdua.

Penjelasan sejarah membuktikan bahawa Raja Oman ketika itu menerima Islam dengan mudah, serta begitu menghormati utusan baginda Rasulullah saw. 

Namun kekacauan politik Islam ketika zaman Umaiyyah menyebabkan perkara yang bertentangan dengan amalan Rasulullah saw berlaku, bilamana kerajaan Oman ketika itu terpaksa mempertahankan diri bila diserang agar tunduk kepada pemerintahan khilafah.  
 Terjemahan Surat Rasulullah SAW kedalam Bahasa Inggeris
Saya masih teringat kata-kata seorang ustaz saya (di UIA) yang mengingatkan saya agar berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan sikap orang Oman, iaitu bermuka-muka serta menyembunyikan hakikat sebenar aqidah mereka.

Namun begitu setelah meneliti buku-buku disini, saya dapati ada masih banyak buku-buku agama yang ditulis oleh ulama mereka tidak didedahkan kepada dunia luar. Malah, hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ulama-ulama Oman tidak termasuk ke dalam buku-buku hadis yang saya pelajari selama ini.

Apakah ini bermakna hadis-hadis ini tidak sahih ataupun sejarah lalu mengakibatkan semua ketentuan ini berlaku. Apakah perlunya sejarah Islam diteliti semula dengan mengambilkira sejarah umat Islam yang diasingkan selama ini?

Sebenarnya saya bukanlah pengkaji sejarah, malah sejarah merupakan matapelajaran yang paling saya tidak suka, tetapi bila tiba disini, saya mula menyukai sejarah...kerana ada Rahsia disebalik sejarah disini.  

Bagi saya, cara mereka menerima Islam membuktikan bahawa mereka saudara seagama kita, malah selama bergaul dengan penduduk disini, apa yang jelas ialah mereka begitu menjaga akhlak dalam pergaulan. Fikir-fikirkanlah... 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat