Cakap Berlapik...

Dah lama tidak bergaul dengan orang-orang Melayu menyebabkan saya menghadapi kesukaran untuk cakap berlapik sepertimana yang diamalkan oleh orang-orang kita. 

Sebenarnya itulah kelebihan orang-orang Melayu, sentiasa cakap berlapik, kadang-kadang dihati lain tapi perkataan yang keluar begitu lembut dan beradab. Orang yang mendengar juga akan terpesona dengan ayat-ayat yang keluar daripada mulut mereka.

Kadang-kadang terfikir juga betul ke aku ni jenis yang 'sound direct'? Rasanya 'sound direct' saya masih berlapik jika nak dibandingkan dengan 'sound direct' orang-orang Arab. Ini kerana bila bergaul dengan mereka, saya masih tergolong ke dalam golongan yang tak berani untuk bersuara.

Apa yang selalu saya amalkan ialah bercakap daripada hati, setiap perkataan yang keluar daripada mulut saya adalah apa yang difikirkan didalam hati. Sememangnya itulah kelemahan saya semenjak dulu, tidak pandai berpura-pura, apabila saya merasakan sesuatu perkara tidak betul, saya akan terus menegur, kadang-kadang airmata bercucuran, tapi masih mahu meneruskan hujah.

Tapi betulkah kita perlu 'cakap berlapik'? Perlukah kita menidakkan perasaan dihati kita, semata-mata ingin menjaga hati orang lain. Apakah tindakan kita itu akan menyebabkan kita bersikap berpura-pura, dihadapan lain tapi dibelakang kita hentam habis-habisan?

Sebenarnya persoalan ini timbul apabila saya membaca beberapa buku motivasi barat yang menyatakan bahawa "kita tidak boleh mengkritik, menegur ataupun mengadu" sekiranya kita ingin mendapatkan ramai kawan serta berjaya dalam hidup.

Salah satunya adalah kata-kata Dale Carnegie dalam buku How to Win Friends and Influence People: "Jangan mengkritik, mengutuk atau mengadu."

Jadi saya terfikir memang sesuai lah idea ini dengan sikap orang-orang Melayu, kerana kita jarang menegur kesilapan yang dilakukan secara terang-terangan dihadapan kita, yang mana kita mengira itulah 'hikmah' dalam berdakwah. Bahkan jika kita menegur secara direct, orang akan menganggap kita tidak berhikmah.

Kadang-kadang keliru juga, bagaimanakah cara yang sesuai untuk kita menegur agar nampak berhikmah? Apakah cakap berkias-kias, ataupun diam saja agar tidak ada orang terasa dengan tuturkata kita.

Bilakah pula kita akan dapat memainkan peranan kita "menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar" dengan berkesan, jika kita sentiasa diingatkan agar 'cakap berlapik sikit'. Sama-samalah kita fikirkan. Moga ada yang lebih berpengalaman dalam menyelesaikan persoalan ini. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman