Mendidik Nafsu...
Beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma, bulan untuk kita mendidik jiwa dan nafsu kita. Ketika inilah pelbagai artikel disebarkan tentang pentingnya kita melawan nafsu, dalam usaha untuk menjadi Muslim sejati.
"Melawan nafsu adalah salah satu daripada cabang jihad", tulis beberapa orang kawan. Saya tidak ingin mempertikaikan kesahihannya cuma apa yang hadir dalam fikiran saya ialah "Allah mencipta manusia mempunyai aqal dan nafsu, apakah kita mesti melawan ciptaan ini?"
Kemudian saya terfikir lagi "Ramadhan dan Nafsu saling berkait rapat, apakah yang mengaitkan kedua-duanya?". Perbincangan tentang nafsu sentiasa hangat bila Ramadhan menjelma, kemudian ia menjadi sejuk bila Syawal menjelma, kemudian dilupakan hingga kedatangan Ramadhan seterusnya.
Bagi saya didiklah nafsu kita...berlembutlah dengannya jika kita ingin memiliki jiwa yang tenang dan hening. Kita tidak perlu berlawan dengannya kerana ia sebahagian daripada kita, Allah menciptakan nafsu kerana DIA lebih tahu akan kepentingannya.
Bak kata seorang doktor pakar psikologi di Royal Hospital disini: "jangan cuba melawan diri kita, kerana ia sebahagian daripada kita tetapi didiklah ia..., jika kita berlembut dengan diri kita insya Allah kita beroleh ketenangan hakiki".
Apabila dikatakan berlembut ia tidak bermakna kita mengikut segala keinginan nafsu, akan tetapi kita mendidiknya secara perlahan-lahan agar hasilnya dapat kekal dalam diri kita.
Ia seolah-olah kita ingin memiliki tabiat yang baik, jika kita berfikir untuk melawan tabiat buruk yang ada dalam diri kita, kita terpaksa berperang dengan tabiat buruk tersebut, hasilnya belum tentu memenuhi keinginan hati kita.
Akan tetapi jika kita mula mempraktikkan tabiat yang baik, lama kelamaan tabiat yang buruk akan hilang dengan sendiri, tanpa perlu kita berlawan dengannya.
Nafsu mestilah dididik secara perlahan-lahan, kurangkan keinginan satu persatu kerana keinginan terhadap kelazatan hidup didunia ini amat susah untuk dihilangkan jika kita cuba melawannya sekaligus, lebih-lebih lagi keinginan wanita hari ini yang begitu banyak.
Sebenarnya umat Islam amat beruntung kerana kehidupan kita telah dipandu dengan cara yang jelas untuk kita mendidik nafsu kita. Kita telah diberikan garispanduan amalan untuk kita mendidik diri, daripada amalan harian, bulanan, tahunan dan amalan sekali seumur hidup. Dengan itu kita tidak perlu meletihkan diri mencari satu formula baru untuk mendidik diri dan nafsu kita.
Apa yang perlu kita buat ialah melakukan semua amal-ibadat yang diwajibkan kepada kita dengan penuh keikhlasan kerana Allah swt.
Bila kita betul-betul berjaya melakukannya insya Allah kita akan berjaya mendidik nafsu kita sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran ; "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar".
Perkara keji dan mungkar datang daripada nafsu, jika kita berjaya menunaikan solat dengan betul bermakna kita telah berjaya mendidik sebahagian daripada nafsu kita. Kemudian bila kita berjaya menunaikan zakat pula bermakna kita berjaya mendidik nafsu kita daripada keinginan material yang melimpah-ruah.
Manakala bila kita berjaya mendidik diri berpuasa dalam erti kata yang sebenar-benarnya, kita akan berjaya membersihkan diri kita daripada nafsu makan dan minum yang keterlaluan.
Sesungguhnya mendidik nafsu dalam Islam berlangsung sepanjang masa, bukan semata-mata pada bulan Ramadhan. Jadi sama-samalah kita mendidik diri dan nafsu kita agar sentiasa terarah untuk membuat kebaikan dan kebajikan.
Moga kita diberikan kesempatan untuk merasai kemanisan Ramadhan sekali lagi.
اللهم بلغنا رمضان
Ulasan