Salam Ramadhan 1421H

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan 1421H. Moga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

Alhamdulillah kami mula berpuasa hari ini (Khamis), sedangkan negara-negara jiran disini mula berpuasa semalam.

Walauapapun kami yakin dengan keputusan yang diumumkan tentang tarikh permulaan puasa disini setelah mengikuti laporan langsung daripada semua tempat melihat anak bulan di negara ini. Apabila anak bulan tidak nampak kenalah lengkapkan bulan Syaaban hingga hari ke-30.

Sememangnya surirumahlah orang yang paling sibuk bila kehadiran Ramadhan tiap-tiap tahun, malah jadual harian surirumah juga akan berubah. Jadi sama-samalah kita mengatur aktiviti harian kita agar seimbang daripada semua sudut. Janganlah kita terlalu beria-ia dengan persediaan mengisi perut sahaja kerana pengisian rohani juga perlu kita utamakan.

Moga kita dapat lipatgandakan amalan kita pada bulan ini, serta dapat memastikan urusan rumahtangga berjalan dengan baik.

Inilah waktunya kita mendidik nafsu kita dan ahli keluarga kita, terutama anak-anak yang baru mula berpuasa. Kadang-kadang kita terlalu mengikut kehendak si kecil yang baru belajar berpuasa hingga mereka merosakkan diri mereka sendiri, dengan kata lain makan dan minum terlalu banyak ketika berbuka puasa. 

Tugas ini tidak boleh dipandang remeh, kerana mendidik anak-anak mula berpuasa bukan bererti membiarkan mereka makan dan minum keterlaluan ketika berbuka. Ini kerana ia akan memberikan kesan buruk kemudian hari. 

Ramadhan sepatutnya dijadikan bulan untuk melatih kita dan anak-anak mendidik nafsu, terutama nafsu makan dan minum. Inilah peluang kita mendidik anak-anak mengerti perasaan orang susah, merasai kelaparan dan dahaga. 

Moga Ramadhan kita kali ini lebih bererti kepada kita, serta amalan kita diterima oleh Allah sebagai amal soleh. 

Selamat Berpuasa. Ramadhan Kareem. 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat