Tak Habis Belajar
Dalam dunia hari ini, bila seorang wanita terpelajar memilih untuk berada dirumah maka pelbagai tohmahan serta cerita-cerita liar akan disebarkan, terutamanya tak habis belajar.
Kepulangan ke Malaysia bulan Jun lepas menemukan saya dengan beberapa orang insan yang menganggap saya tidak berjaya menghabiskan Phd saya. Ia bukanlah cerita baru bagi saya, kerana saya pernah bertemu beberapa orang lagi yang menganggap sedemikian.
Ada yang terus terang berkata kepada saya bila bertanya tentang status saya, "tu la sebab phd tak dihabiskan", ada pula yang berkata "memang selama ini aku menganggap bahawa kamu telah gagal dalam phdmu."
Persoalannya, apakah bila seorang wanita terpelajar memilih untuk berada dirumah, maka beliau sebenarnya gagal dalam pengajiannya?
Sekali fikir terasa bagaikan betul...wanita tersebut gagal mempraktikkan segala ilmu yang dipelajarinya. Dua kali fikir...inilah kata-kata yang mampu membunuh niat suci wanita untuk berkhidmat kepada keluarga dan anak-anak.
Dalam diam hati saya terhiris, setelah enam tahun meninggalkan tanahair, masih ada insan yang menganggap sedemikian.
Bila diimbas kembali, ia mungkin juga kesilapan saya kerana tidak menghadiri majlis konvokesyen ketika itu. Ini kerana makluman yang diberikan terlalu dekat dengan tarikh untuk saya berangkat ke Oman semula.
Malah ketika itu peluang untuk menukar tarikh perjalanan adalah begitu susah memandangkan begitu ramai pelancong Arab berkunjung ke Malaysia pada bulan Ogos. Apatah lagi untuk menukar tiket enam orang sekaligus, ia adalah satu permintaan yang amat mustahil.
Apa yang penting...saya seharusnya mengambil kata-kata tersebut sebagai perangsang untuk saya meneruskan perjuangan ini. Moga suatu hari kaum wanita memahami bahawa tiada kaitan antara 'gagal dalam belajar' dan 'berada dirumah'.
Moga lebih ramai wanita memilih untuk berkhidmat dirumah, mendidik sendiri anak-anak dengan segala ilmu yang dipelajari bukannya meninggalkan mereka ketika mereka amat memerlukan belaian seorang ibu.
Jika ingin bekerja diluar rumah, pastikan emosi anak-anak terjaga, kerana ia punca keamanan keluarga seterusnya masyarakat.
Seterusnya...ambillah peluang berada dirumah untuk mengembangkan potensi diri, jangan biarkan nilai diri kita hancur, kerana suatu hari kita mesti keluar kembali ke dalam masyarakat untuk berkongsi pengalaman berada dirumah.
Kongsikanlah kejayaan anda menukar persepsi negatif masyarakat terhadap wanita terpelajar berada dirumah. Bagaimanakah anda berjaya melakukannya?
Ulasan