Mengajar dari Rumah
Jika kita melayari internet kita akan temui pelbagai iklan mengenai bekerja dari rumah sama ada sepenuh masa ataupun separuh masa.
Begitu juga pelbagai universiti maya diwujudkan untuk menampung keperluan dalam bidang maya ini. Pendek kata peluang terbuka luas buat sesiapa saja yang berminat untuk menuntut ilmu.
Dalam dunia sekarang, kita tidak boleh lagi memberi alasan tidak tahu kerana segala maklumat berada dihujung jari sesiapa saja yang ingin mencarinya.
Namun begitu kita mestilah berhati-hati kerana dalam masa yang sama banyak juga ilmu yang tidak betul disebarkan. Ketika inilah kepandaian menganalisis fakta dan sikap yang kritikal diperlukan, agar kita tidak termasuk kedalam golongan yang menyampaikan dan menyebarkan maklumat-maklumat yang salah terutama dalam hal-hal berkaitan agama.
Bila kita menyoroti kisah-kisah ulama silam, kita akan temui sikap-sikap mulia dipamerkan berkaitan dengan penyebaran ilmu.
Teringat kisah Imam Bukhari dan Imam Muslim ketika ingin mengumpulkan hadis, mereka telah meletakkan methodologi yang jelas sebelum bertindak mengumpul hadis, kemudian mereka bertemu dengan beberapa orang ulama untuk mendapat pendapat mereka, apakah niat mereka itu bersesuaian dengan adab mencari ilmu.
Kemudian mereka mengembara ke pelbagai tempat bertemu dengan perawi-perawi hadis untuk memastikan kesahihan hadis yang mereka dengar. Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun mengembara untuk mendapatkan hadis tersebut, pelbagai ujian dan kesukaran yang mereka tempuhi sepanjang tempoh tersebut.
Itulah kisah ulama yang telah berjaya menghasilkan kitab sunnah yang sahih selepas kitabullah. Pada awalnya mereka belajar secara berguru kemudian mereka mengembara untuk membuktikan kesahihan ilmu yang mereka terima.
Namun begitu cara mereka amat berbeza daripada cara-cara ummahatul mukminin, sahabiyyat dan ulama-ulama wanita silam menyampaikan ilmu. Ini kerana wanita menyampaikan ilmu dari rumah, dan anak-anak murid mereka terdiri daripada lelaki dan wanita yang berminat untuk mendapatkan ilmu daripada mereka.
Malah jika kita kaji dan perhati, kebanyakan usaha-usaha wanita silam bermula dari rumah. Ini termasuklah perniagaan Saidatina Khadijah yang juga berpusat dirumah.
Alhamdulillah kemajuan hari ini juga berjaya mengembalikan wanita untuk berusaha dari rumah. Begitu juga ramai wanita yang belajar dan mengajar dari rumah.
Sebenarnya itulah impian saya...ingin mengajar dari rumah, tetapi tidak terbatas dialam maya semata-mata. Apakah impian itu akan tercapai?
Ulasan