Silaturrahim: Dimana dan Bagaimana?

Silaturrahim...satu perkataan yang berasal daripada bahasa Arab, yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia.

Silaturrahim...satu amalan mulia yang amat digalakkan didalam agama kita, namun setakat mana kita mengamalkannya bergantung kepada tahap keimanan kita.

Bila kita mengimbas kembali kisah hijrah baginda Rasulullah saw, kita dapat melihat keindahan hubungan silaturrahim yang diamalkan oleh umat Islam ketika itu. Betapa mulianya hati golongan Ansar yang begitu mudah menerima kehadiran muhajirin serta berkongsi segala-galanya dengan insan yang baru dikenali itu.

Apakah masih wujud insan-insan sebegitu dalam dunia hari ini? Apakah masih wujud insan-insan bersifat mulia sebegitu?

Kadang-kadang kita berusaha untuk bersifat sebegitu tetapi kita ditemukan dengan insan yang betul-betul menguji keimanan kita. Akhirnya niat suci berubah, tujuan menolong tidak tercapai, tetapi bertukar menjadi kenangan pahit yang tidak ingin diimbas kembali.

Inilah yang berlaku hari ini, insan hari ini bukan lagi seperti muhajirin dan ansar...

Bila bercerita tentang silaturrahim, terlalu banyak cerita-cerita manis dan pahit dapat dikaitkan dengannya. Silaturrahim dengan adik-beradik dan saudara terdekat, silaturrahim dengan teman-teman lama dan baru, mungkin ia tidak sesukar silaturrahim dengan insan yang baru dikenali.

Insan baru...mereka ditemukan dengan kita atas keperluan tertentu, jika kena sebabnya mereka akan terus kekal sebagai teman rapat kita, namun jika tersilap mereka boleh bertukar menjadi musuh kita. Oleh sebab itu, kita disarankan agar berusaha mengenali mereka terlebih dahulu sebelum menganggap mereka sebagai sahabat kita. Ada pakar yang menyarankan kita mengambil masa paling kurang dua bulan, sebelum kita betul-betul mempercayai mereka sebagai sahabat kita.

Bila mendengar saranan sebegitu, terasa betapa selama ini saya tersilap...ini kerana saya begitu mudah mempercayai insan-insan baru yang ditemui, serta begitu mudah menganggap mereka sebagai sahabat saya.

Manakala adik-beradik dan saudara-mara...bila berada jauh dari tanahair, begitu mudah untuk menilai setakat mana mereka mengingati kita sebagai saudara mereka.

Jadi apa kaitan tajuk kali ini, dimana silaturrahim? Bagaimana untuk mewujudkan ikatan tersebut?
Silaturrahim boleh diwujudkan dimana-mana, dengan syarat kedua-dua pihak ikhlas dalam menjalinkan hubungan tersebut.

Namun begitu berhati-hatilah dalam menjalinkan silaturrahim kerana kadang-kadang kita ditemukan dengan insan yang bersifat dua muka, lain didepan lain pula dibelakang kita.

Kadang-kadang Allah menghadirkan insan baru dalam kehidupan kita untuk menguji tahap keimanan kita.

Kadang-kadang Allah menghadirkan mereka untuk membetulkan balik ikatan yang longgar dalam satu-satu keluarga.

Jika itu berlaku dalam keluarga kita, ambillah ia secara positif...mungkin ada sesuatu yang perlu diperbetulkan ke arah yang lebih baik. Moga bila masalah silaturrahim berjaya diselesaikan, Allah swt akan menganugerahkan kebahagiaan yang berganda kepada kita semua.

Namun bila difikir-fikirkan balik...silaturrahim selalu menjadi punca masalah dalam hidup manusia, biar sebaik manapun hubungannya dengan Allah, silaturrahim sesama manusia tetap menyumbang masalah dalam hidup mereka. Ini kerana kita tidak mampu mengawal sikap dan tindak-tanduk insan lain, kita hanya mampu mengawal diri kita.

Kesimpulannya, untuk menghasilkan hubungan yang baik sesama manusia, kita hanyalah perlu mengawal diri kita, jika terlanjur kata, jika bersalah mohonlah maaf, tidak rugi kita berendah diri...

Namun apakah hati kita begitu mudah memaafkan? Apakah insan tersebut memaafkan kita bila kita memohon maaf? Lakukannya dengan ikhlas...selebihnya serahkan pada Allah swt. Ada hikmah dalam semua kejadian dalam hidup kita. Fikir-fikirkanlah....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat