Beranikan Diri Mengaji Quran

Bismillah...Alhamdulillah...

Satu fenomena yang kerap saya temui ialah orang Islam yang takut untuk mengaji Quran kerana takut akan melakukan kesilapan bacaan. 

Ini kerana ramai daripada kita didedahkan dengan maklumat bahawa sesiapa yang tersilap mengaji quran akan berdosa. Oleh kerana takut akan melakukan kesilapan bacaan, mereka rela tidak mengaji quran ataupun sekadar mengaji surah-surah tertentu sahaja.

Ada juga yang sudah dapat mengaji sendiri, dalam kata lain sudah mengenal huruf serta asas-asas bacaan quran tetapi takut untuk mengaji quran bersendirian kerana bimbangkan kesilapan yang mungkin akan berlaku.

Jadi bagaimanakah untuk kita atasi masalah ini? 
Didalam dunia hari ini, kita boleh dapati pelbagai contoh bacaan Quran serta pelbagai kemudahan lain, jadi carilah masa untuk kita masukkan agenda ini ke dalam amalan kita sehari-hari. 

Kita juga boleh amalkan mendengar bacaan MP3 Quran, sambil mengikuti bacaan tersebut. Jika mampu carilah guru-guru quran yang berwibawa untuk memberi semangat kepada kita berkaitan Quran.

Apakah kita redha dengan pencapaian hidup kita berkaitan Quran selama ini?
Apakah ada jalan penyelesaian untuk menghilangkan perasaan takut ini?

Sebenarnya ramai yang telah tersilap faham tentang hal ini, dan ramai pula yang begitu berani menyebarkan hukum tersebut tanpa mengetahui bahawa Rasulullah saw telah menjelaskan tentang hal ini didalam satu hadis yang bermaksud "....sesiapa yang mengaji quran dan tersekat-sekat akan mendapat dua pahala."

Secara logiknya, tiada manusia yang mampu melakukan sesuatu pekerjaan secara sempurna pada kali pertama, akan tetapi dengan latihan berterusan pekerjaan tersebut akan menjadi lancar dan sempurna.

Begitu juga bacaan Quran, mungkin pada kali pertama mengaji quran, akan wujud kekurangan disana-sini, tetapi berkat kerajinan dan semangat untuk meneruskan pengajian tersebut, akhirnya kita akan mampu mengaji Quran dengan lancar. 

Sekiranya kita mempunyai target didalam usaha lain, sepatutnya kita mempunyai target berkaitan Quran...berapa kali kita ingin khatam quran setiap tahun? Berapa banyak ayat yang akan kita baca setiap hari? Jadi apakah perancangan anda?

Sebenarnya jika kita bersemangat tinggi dan mampu beristiqamah, melakukannya secara berterusan, kita boleh amalkan mengaji sehelai setiap kali lepas solat, jika dikira lima kali solat adalah lima helai, maka kita akan mampu habiskan satu juzuk setiap dua hari, kesimpulannya kita akan mampu khatam quran setiap dua bulan. 

Indahnya hidup berpandukan quran...mulakan dengan mengaji agar lancar dan bertajwid, kemudian tambahkan dengan ilmu-ilmu lain berkaitan al-Quran, anda akan rasa betapa manisnya hidup ini...

Bagi surirumah carilah masa untuk menjadikan mengaji quran sebagai amalan harian kita, moga kehidupan kita sentiasa didalam Rahmat Ilahi. 

Moga Allah melekatkan Quran didalam hati-hati kita, serta memudahkan kita untuk mengamalkan bacaannya setiap hari. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas