Cuti-cuti Sama'il - 2

Alhamdulillah sambung sedikit lagi cerita jalan-jalan masa cuti kali ini...

 Kawasan Kubur Sahabi - Mazin bin Ghadubah
Selepas puas memanjat bukit kota al-Qareen, kami dibawa ke satu kawasan iaitu tempat seorang sahabat Rasulullah saw disemadikan. Dalam hati tertanya-tanya ke manakah kami akan dibawa? Setelah turun daripada kereta barulah kami diberitahu bahawa kami akan dibawa melawat tempat sahabat Rasulullah saw disemadikan.
 
Ia bukanlah tanah perkuburan, yang ada cuma satu kubur sahaja yang ditulis seperti yang terdapat dalam gambar dibawah.
Alhamdulillah 'ala kulli hal...
 
Anak-anak bertanya kenapa kita ke sini? Nak buat apa? Mengapa saiz kubur itu sangat panjang serta pelbagai lagi soalan. Alhamdulillah sambil jalan-jalan dapat ilmu...
Bila bertanya kepada 'guide' kami, beliau menceritakan kisah pengislaman Mazin r.a sebagaimana yang diketahui oleh beliau, dan mungkin juga itulah lagenda yang tersebar dikalangan penduduk disitu. Kisahnya ialah pada suatu hari Mazin r.a sedang beribadat menyembah patung yang terletak dibahagian atas kubur tersebut, ketika itu beliau mendengar suara Rasulullah saw yang menyuruh beliau menerima Islam, jadi beliaupun pergilah ke Madinah mencari Rasulullah saw serta memeluk Islam dan belajar sedikit sebanyak tentang Islam.   Kemudian beliau kembali menyebarkan ajaran Islam kepada penduduk Samail.
 
Cerita lagenda tersebut berbeza sedikit daripada cerita yang tercatat didalam buku-buku sejarah Oman tentang kisah pengislaman Mazin r.a. Buku-buku sejarah Oman mencatatkan bahawa Mazin r.a telah bertemu dengan pedagang yang datang dari Hijaz, mereka memberitahu tentang kedatangan agama baru disana yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.
 
ظهر رجل يقال له محمد بن عبدالله بن عبد المطلب بن هاشم بن عبد المناف يقول لمن أتاه، أجيبوا داعي الله فلست بمتكبر ولا جبار ولا محتال، أدعوكم إلى الله وترك عبادة الأوثان، وأبشركم بجنة عرضها السموات والأرض، وأستنقذكم من نار تلظى لا يطفأ لهيبها ولا ينعم من سكنها
  
 Mazin r.a yang begitu teruja bila mendengar berita tersebut, dengan segera menghancurkan patung-patung yang menjadi sembahan penduduk Samail ketika itu, serta segera mengambil binatang tunggangan beliau menuju ke Hijaz untuk mengenali agama tersebut dari dekat.
 
 Di Madinah beliau telah memeluk Islam, serta tinggal beberapa ketika bersama-sama Rasulullah saw untuk mempelajari tentang agama Islam. Dalam masa yang sama beliau telah meminta agar Rasulullah saw mendoakan penduduk Oman. Kemudian beliau kembali menyebarkan Islam kepada penduduk di Samail serta mengasaskan masjid pertama di Oman iaitu Masjid Al-Midmar.
 Masjid Midmar yang telah dibina semula ditapak yg sama

 Masjid diasaskan pada tahun 6H
Alhamdulillah kami sempat juga melawat masjid tersebut yang telah dibaikpulih serta dibina semula untuk mengekalkan sejarah kedatangan Islam ke Oman.
 
Sebenarnya ini adalah peringkat pertama kedatangan Islam ke Oman, manakala pada peringkat kedua Rasulullah saw mengutuskan wakil beliau iaitu Amr ibn Al-As membawa surat baginda kepada Raja yang memerintah Oman, iaitu Raja Jaifar dan Abd, anak kembar Jalanda, sebagaiman yang tercatat didalam surat Rasulullah saw yang pernah saya tuliskan sebelum ini.
 
Kemudian kami juga telah dibawa melawat kawasan falaj di sini, yang mana ia menjadi sumber air kepada penduduk Samail.
 
Sebenarnya Oman agak kurang dikenali oleh masyarakat luar, mereka hidup terasing daripada masyarakat dunia hinggalah pemerintahan sultan sekarang yang mengamalkan sistem terbuka.
 
Sekarang Oman menjadi tumpuan pengkaji-pengkaji diseluruh dunia yang mengambil peluang mengkaji sejarah, geologi serta pelbagai ilmu menarik disini.
 
Begitu juga wujudnya banyak manuskrip-manuskrip lama yang boleh dijadikan sumber kajian sejarah Oman, serta sejarah Islam disini, yang tidak termasuk didalam kajian ulama-ulama terdahulu.
 
Begitu juga sahabat serta tabii yang disebut di dalam sejarah Oman tidak tercatat didalam buku-buku rijal hadis. Apakah ia hanyalah mitos semata-mata ataupun inilah kekurangan dalam sejarah perkembangan Islam didunia ini. Sama-samalah kita fikirkan...
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat