Hilangnya Seorang Ulama

Setelah dua hari tidak membuka internet, pagi ini tajuk utama yang saya baca ialah kisah sedih iaitu perginya seorang ulama yang amat saya kagumi - Syeikh Said Ramadhan Al-Buti semalam pada 22/3/2013. 
 
Pemergian beliau bersama-sama 26 orang lain yang turut sama dibom (menurut berita lain 40 orang, menurut cerita lain pula beliau ditembak mati, bukan dibom kerana tiada kesan kehancuran dimasjid tersebut), menjadi satu kehilangan buat umat Islam didunia ini. 
 
Maka berakhirlah pelbagai spekulasi tentang pendapat beliau yang amat berbeza daripada ulama-ulama lain berkenaan dengan isu Syria. Apakah ulama yang telah mengiktiraf bahawa darah beliau halal bergembira dengan berita ini?
 
Apa yang ingin saya kongsikan ialah betapa umat Islam kehilangan sebutir lagi permata, perginya seorang ilmuan membawa bersama-sama beliau ilmu yang banyak, dan cara beliau melihat masalah umat Islam amat berbeza daripada ulama-ulama lain. Moga Allah merahmati beliau serta menempatkan beliau bersama golongan orang-orang yang bertaqwa. Amiin.
 
Saya tidak sempat bertemu dengan beliau meskipun buku terkenal karangan beliau "Fiqh Sirah" sudah berulang-ulang kali habis dibaca. Dari situ saya belajar mencintai baginda Rasulullah saw...sesungguhnya buku tersebut amat bererti bagi saya.
 
Saya hanya mengenali beliau melalui buku, membaca setiap bait yang ditulis seolah-olah berdepan dengan beliau. Itulah kelebihan buku tersebut bagi saya. Bila mendengar kisah pemergian beliau tanpa disedar airmata jatuh ke pipi.
 
Saya pernah menyukai penulis buku "Apa Ertinya saya menganut Islam" tulisan Syeikh Fathi Yakan hingga beberapa kali diulangbaca. Alhamdulillah saya sempat bertemu dengan beliau sewaktu seminar di Kuala Lumpur, juga sempat berkenalan dengan Dr. Muna, isteri beliau. Ketika menerima berita kehilangan beliau, saya tidak merasa sesedih pagi ini...
 
Pemergian Syeikh Buti adalah tragedi yang sepatutnya menjadi pengajaran buat kita semua. Bacalah ulasan ulama-ulama lain mengenai beliau, bacalah juga komen-komen masyarakat terhadap beliau...moga apa yang berlaku adalah sebaliknya, dan beliau digolongkan ke dalam golongan syahid. 
 
Pemergian beliau juga mengingatkan diri ini agar tidak lalai dalam menjalankan tugas dakwah...sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui kadar keikhlasan hati kita dalam melaksanakan usaha-usaha dakwah Islam.
 
Moga Allah memberi kekuatan kepada pencinta agama ini, untuk terus memperjuangkan dakwah ini hingga ke akhir hayat. Amiin.



 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas