Ahlan ya Ramadhan

Alhamdulillah kita bertemu lagi Ramadhan kali ini. Moga Ramadhan kali ini lebih bererti dalam hidup kita serta menjadi titik mula kepada perubahan yang ingin kita lakukan dalam hidup kita. 

Bayangkan sudah berapa lama kita menunaikan ibadah ini, apakah corak Ramadhan yang kita bentuk dalam diri kita?

Apakah Ramadhan kita hanyalah berlapar dahaga semata-mata ataupun kita cuba membawanya ke peringkat yang lebih baik, di mana Ramadhan ini kita gunakan untuk membentuk diri bersesuaian dengan target kita kali ini.

Bagi saya, Ramadhan amat sesuai dijadikan titik perubahan untuk apa saja yang kita inginkan, kerana ketika ini kita hanyalah berperang dengan keinginan nafsu kita, tiada lagi cabaran unsur luar yang selalu berlumba untuk melemahkan diri kita setiap kali kita ingin berubah.

Jadi gunakanlah tempoh sebulan ini untuk melatih diri untuk memulakan ritual baru yang perlu diteruskan selepas Ramadhan, serta raihlah Rahmat Ilahi sepanjang bulan ini.

Janganlah kita menjadikan ia waktu untuk memenuhkan keinginan nafsu makan semata-mata, dengan pelbagai menu dihidangkan untuk kita pilih di bazaar Ramadhan.

Bersederhanalah ketika berbuka dan bersahur, serta didiklah anak-anak kita untuk bersederhana dalam meminta makanan ketika berbuka kerana ini akan membentuk tabiat mereka ketika dewasa nanti.

Meskipun kita mampu menyediakan segala permintaan anak-anak, didiklah mereka untuk berfikir tentang kanak-kanak lain yang tidak mampu merasai nikmat yang mereka rasai ketika berbuka. Dengan itu anak-anak akan dapat memghayati erti Ramadhan serta mengapa mereka berpuasa.

Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dalam usaha kita membentuk diri kita dan keluarga kita menjadi insan yang lebih dekat dengan Allah swt. Moga Ramadhan ini lebih baik daripada sebelumnya...Amiin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas