Undang-undang Keluarga Istimewa di Tunisia

Alhamdulillah, sekarang masuk minggu kedua sesi persekolahan baru di Oman bermula. Anak-anak semakin seronok ke sekolah setiap hari sebagai rutin baru setelah tiga bulan bercuti.

Ini bermakna sudah dekat dua minggu kami berada di Oman semula selepas menghabiskan cuti musim panas kali ini di Tunisia. Sepanjang tempoh ini saya hanya bersama dengan anak-anak disini kerana suami masih berada di negara beliau atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Apa yang ingin saya kongsikan disini ialah mengenai satu undang-undang kekeluargaan yang agak menarik pada pandangan saya diamalkan di Tunisia.

Sebenarnya kami tidak mengetahui kewujudan undang-undang tersebut, sehinggalah saat-saat akhir untuk meninggalkan Tunisia. Ketika itu Pegawai Imigresen Tunisia enggan menguruskan proses mengesahkan paspot saya dan anak-anak untuk keluar dari Tunisia tanpa suami.

Beliau meminta saya menunjukkan surat kebenaran daripada Majlis Daerah kawasan dimana suami tinggal, bahawa suami saya membenarkan saya dan anak-anak keluar dari sana.

Kemudian beliau menunjukkan surat contoh 'kebenaran keluar', yang diserahkan oleh seorang wanita Tunisia sebelum kami, yang juga keluar dengan anak-anak tanpa ditemani oleh suami.

Sebagai seorang warganegara Malaysia, begitu juga anak-anak menggunakan paspot Malaysia untuk perjalanan, saya bertegas bahawa mereka tidak boleh mengenakan undang-undang tersebut ke atas kami kerana kami bukan warganegara Tunisia .

Namun begitu beliau tidak mengendahkan rayuan saya, serta mengarahkan kami ke tepi hinggalah masalah tersebut diselesaikan oleh Pegawai yang lebih berautoriti.

Ketika itu kami terpinga-pinga kerana inilah kali pertama kami menempuh ujian sebegitu, setelah beberapa kali keluar masuk Malaysia dan Oman tanpa suami. Anak-anak bertanya kenapa mereka tidak benarkan kami keluar, sedangkan kami selalu bermusafir tanpa bapa mereka bersama.

Saya cuba menjelaskan kepada anak-anak biarpun ketika itu masa teramat suntuk, sepatutnya kami sudah berada di perut kapalterbang, tetapi kami masih menunggu pengesahan tersebut.

Alhamdulillah saya mampu bersikap positif ketika itu, serta menyabarkan diri bila berurusan dengan pegawai sebegitu.

Dalam masa yang sama saya berusaha untuk menelefon suami yang terus berangkat pulang selepas kami masuk ke Balai Berlepas di Carthage Airport Tunis.

Nasib tidak menyebelahi kami kerana telefon ditutup serta tidak dapat dihubungi. Kemudian saya cuba menghubungi adik ipar dengan harapan masalah itu dapat diselesaikan serta kami dapat meninggalkan Tunisia dengan tenang, juga gagal.

Alhamdulillah akhirnya saya teringat bahawa saya pernah mencatat no telefon adik ipar yang menghantarkan kami ke airport. Alhamdulillah beliau dapat dihubungi serta saya dapat bercakap dengan suami, menjelaskan masalah kami.

Setelah hampir setengah jam menunggu, barulah pegawai bertugas datang menghampiri serta bertanya kenapa anak-anak saya menggunakan paspot Malaysia sedangkan ayah mereka warga Tunisia.

Sebenarnya soalan yang sama selalu ditanya oleh cikgu-cikgu di Oman. Ini kerana mengikut undang-undang anak-anak akan mengikut kewarganegaraan bapa, tetapi bagi anak-anak saya adalah sebaliknya iaitu mengikut ibu.

Saya memberitahu bahawa kesemua anak saya lahir di Malaysia, jadi mereka diterima sebagai warganegara Malaysia secara otomatik. Sebenarnya kami lebih suka anak-anak mengaku bahawa mereka adalah warganegara Malaysia.

Inilah satu masalah yang terpaksa ditempuhi oleh anak-anak apabila ibubapa berasal dari dua negara yang berbeza. Itu belum termasuk krisis identiti yang akan ditempuh anak-anak sehinggalah mereka besar.

Alhamdulillah akhirnya pegawai tersebut meminta saya menghubungi suami untuk mengesahkan kebenaran tersebut. Setelah bercakap beberapa ketika dengan suami saya beliau mengarahkan pegawai lain untuk mengecop paspot kami serta membenarkan kami meninggalkan Tunisia.

Seterusnya kami terpaksa melalui alat pengesan, dan berkejar ke platfom berlepas kerana waktu teramat suntuk, iaitu tinggal sepuluh minit sebelum kapalterbang berlepas.

Sesungguhnya ia satu pengalaman yang tidak dapat kami lupa dalam episod pengembaraan kami ke luar negara.

Namun begitu anak- anak masih sempat berseronok di dalam kapalterbang dengan bermain pelbagai permainan serta menonton beberapa cerita sepanjang perjalanan dari Tunis ke Dubai, tempat transit sebelum kami menaiki kapalterbang semula ke Muscat Oman.

Alhamdulillah...inilah salah satu pengalaman berharga yang sempat dilalui, moga ia akan berguna buat diri agar beringat bila ke sana lagi.

Setiap negara mempunyai undang-undang yang berbeza, jadi kita mestilah berusaha untuk mengetahui sedikit sebanyak undang-undang negara yang ingin kita tujui, serta pastikan kita tenang serta bersedia untuk menempuh saat-saat yang tidak dijangka sebegitu.

Alhamdulillah saya tidak menghadapi masalah komunikasi, bayangkan jika saya tidak mampu berbahasa Arab, siapalah yang sudi menjadi penterjemah memandangkan negara tersebut hanya memggunakan bahasa Arab dan bahasa Perancis dalam urusan mereka.

p/s-
Catatan ini buat kenangan anak-anak suatu ketika nanti...perjalanan 27/8/2013 melalui Emirates Airlines.

Ulasan

Unknown berkata…
Salamualaikum, Pn Aliza. Saya dan keluarga baru menetap di muscat sejak ramadhan, dan skrg mencari kenalan dari Malaysia. Klau tak keberatan, boleh saya menulis ke email Puan? - Marni Ahmad
aliza berkata…
Waalaikumussalam Puan Marni,

Ahlan wa sahlan ke Muscat, terima kasih sudi berkenalan.

Email saya alizayunus@yahoo.com, jgn lupa sertakan no tel kat Muscat ye, boleh bercerita sikit.

Kalau ada peluang boleh le berjumpa. Jazakillah...

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas