Sebarkan yang Elok

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih mampu berkongsi apa yang saya fikirkan disini.

Di antara kegemaran saya ialah memerhati dan meneliti apa yang berlaku disekeliling saya. Oleh kerana berada jauh dari tanahair, saya memilih untuk membaca komen dan perkongsian rakyat Malaysia di facebook dan internet.

Kadang-kadang saya mula dengan membaca komen, sekiranya komen dan pendapat itu menarik, barulah saya membaca berita tersebut.

Mungkin anda menganggapnya pelik, tetapi dari situ saya dapat menilai cara rakyat Malaysia berfikir.

Hasil pemerhatian saya dapat disimpulkan bahawa generasi kini agak lemah dari segi adab, serta kurang berhati-hati ketika berkongsi maklumat. Apakah puncanya?

Dalam masa yang sama, mereka banyak menggunakan perkataan-perkataan negatif, seolah-olah ucapan tersebut adalah biasa. Kutukan dan sindiran begitu banyak digunakan, menghilangkan adab melayu yang begitu hebat suatu ketika dulu.

Dalam hati terfikir apakah generasi ini tidak dididik? Apakah mereka hanya dilepaskan bebas tanpa sesiapa menegur cara mereka berkomunikasi sesama mereka dan orang dewasa.

Jika inilah cara mereka berkomunikasi, apakah bentuk komunikasi anak-anak mereka nanti? Sememangnya adalah begitu mudah untuk menghilangkan adab-adab murni yang dipelihara oleh generasi sebelum kita, tetapi usaha untuk memupuknya kembali begitu sukar.

Jika dihayati agama Islam begitu menitikberatkan pendidikan adab, manakala adab Rasulullah saw adalah Al Quran. Ini dijelaskan didalam al quran dan sunnah. Apakah kelemahan adab ini berkait rapat dengan kelemahan dalam berinteraksi dengan al quran?

Rasulullah saw juga diutuskan untuk menyempurnakan adab yang mulia. Sesungguhnya kedudukan adab begitu penting dalam diri seorang Muslim, hidupkanlah ia dalam diri kita.

Jadi sekiranya kita tidak mampu berhujah dengan elok, maka baiklah berdiam diri, ini dapat mengelakkan kita daripada mempamerkan akhlak yang negatif.

Moga kita dapat mendidik anak-anak kita untuk mengamalkan adab mulia, serta mereka membesar dalam kalangan orang yang berakhlak mulia.

Merekalah aset kita, maka pastikan mereka hanya menyebarkan yang elok kepada orang-orang disekeliling mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman