Banjir: Rahmat atau Musibah?

Alhamdulillah berkesempatan lagi menulis disini, ruang tempat luahan hati.

Hari ni sudah seminggu hati dan fikiran berada bersama-sama keluarga, sanak saudara dan rakan senegeri yang menerima musibah banjir tahun ini.

Setiap waktu hati memikirkan bagaimanakah keadaan mereka disana? Bukan mudah untuk menghadapi musibah besar seperti apa yang sedang berlaku sekarang.

Sebagai anak bumi Kelantan yang membesar dengan pelbagai kisah banjir, meskipun kampung sendiri tidak pernah terlibat tetapi sanak saudara mengalaminya berulangkali.

Sewaktu kecil saya selalu ditemani pelbagai kisah banjir yang diceritakan oleh nenek sebelah ibu. Ini kerana kampung mereka berada di kawasan lembah, iaitu Tanjung Stan. Cerita bah merah, bah besar tahun 1967 yang sampai ke rumah beliau menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke tempat yang lebih tinggi. Mereka memberitahu tanda aras sebagai ingatan kita hari ini.

Ketika musim banjir juga kami adik beradik akan berkunjung ke rumah nenek untuk bermain banjir, dan membantu datuk saudara mengemaskan rumah beliau.

Itu cerita sepanjang tempoh saya membesar, kemudian cerita-cerita tersebut bertambah sehinggalah berlakunya banjir besar pada tahun 1988 ketika saya menduduki peperiksaan SPM.

Itulah kenangan paling berharga tentang banjir, kenangan bersama-sama rakan mengharung banjir yang melanda bandar Kota Bharu ketika itu.

Apa yang istimewa tentang kisah itu? Apakah ia perlu dikenang kembali ketika rakyat negeri tercinta dilanda musibah yang paling teruk dalam sejarah negeri pada tahun ini.

Jika dulu kami menganggap banjir 1988 adalah banjir yang terlalu besar kerana kami melaluinya serta merasa pelbagai ujian, hari ini kami mengakui apa yang berlaku sekarang lebih lagi, hanya insan-insan yang kuat mampu menghadapinya dengan tenang dan redha.

Jika pada tahun 1988 kami sedih bila Asrama Puteri MMP dijadikan pusat pemindahan yang dihuni oleh pelajar-pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM, dengan segala kekurangan. Hari ini kenangan tersebut menjadi tanda aras setakatmana penambahbaikan yang dilakukan bila bencana banjir melanda negeri Cik Siti Wan Kembang.

Ketika menghadapi ujian tersebut pelbagai perasaan negatif timbul, tetapi hari ini ia berubah menjadi kenangan manis, dan itulah cerita yang perlu diceritakan kepada anak-anak bila berlaku banjir.

Itulah manusia dan itulah gambaran betapa sukarnya untuk kita bersabar bila terkena musibah. Dalam hati tertanya sendiri, mengapa dulu aku tidak mampu bersabar, sedangkan ujiannya terlalu kecil jika dibandingkan dengan ujian rakyat Kelantan hari ini.

Hari ini setiap detik ujian banjir tersebut berlaku masih mampu saya ingati.

Dan hari ini sekali lagi kampung nenek dinaiki air hingga sanak saudara disana terpaksa berpindah. Mungkin saat ini penanda aras banjir-banjir besar Kelantan yang terdahulu sudah dilepasi. Moga Allah permudahkan urusan mereka disana, saya hanya mampu berdoa dari jauh.

Berbalik kepada tajuk saya, banjir: rahmat atau musibah? Bagi saya ketika ia berlaku kita merasakan ia sebagai musibah, disitulah perlunya kekuatan iman dan kesabaran untuk menghadapinya. Akan tetapi setelah ia berlalu dan kita menerimanya dengan redha, pelbagai Rahmat Allah akan muncul satu persatu.

Hari ini kesukaran yang ditempuhi bersama-sama 26 tahun lalu menjadikan ikatan persahabatan kami pelajar SPM 88 begitu rapat. Malah selepas kami mendapat keputusan peperiksaan sebahagian besar berjaya memasuki Pusat Pengajian tinggi sehingga kelas Tingkatan 6 MMP ketika itu terpaksa disusun semula. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Itulah Rahmat Allah kepada insan-insan yang teruji. Moga Allah memberi kekuatan, keredhaan dan kesabaran kepada rakyat negeriku yang teruji pada saat ini. Ya Allah, Selamatkanlah mereka, berlemah lembutlah dengan mereka. Aamiin.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas