Sambutan Hari Kidal

Alhamdulillah...akhirnya dapat juga peluang untuk menulis dari kampung tercinta. Setelah hampir dua bulan menghabiskan cuti musim panas tahun ini, hari ini terbaca tentang sambutan hari kidal.

Rupa-rupanya ada hari khas untuk si kidal. Mungkin saya kurang membaca menyebabkan saya tidak tahu kewujudan sambutan ini. Umur dah nak masuk 45 tahun baru dapat maklumat ini.

Jadi hari ini saya berpeluang membaca pelbagai tulisan tentang si kidal. Ada yang saya setuju dan ada yang saya tidak setuju.

Apa yang jelas bukan mudah menjadi orang kidal...saya perlu memberi perhatian kepada semua perkara berkaitan penggunaan tangan, sama ada kiri atau kanan.

Pernah satu kali anak saya memberi komen tentang masalah saya bila ditanya kiri atau kanan. Umi ni mesti fikir dulu bila ditanya kiri atau kanan. Puncanya kami tersesat dan bertemu seorang lelaki, apabila suami bertanya beliau mana arah jalan utama, beliau memusingkan seluruh tubuh beliau sebelum menjawab soalan suami saya. Anak saya terus berkata: "orang tu macam umi". Maka kami sekeluarga tergelak. Mungkin juga  lelaki tersebut kidal.

Sehingga sekarang saya masih bermasalah tentang arah kiri dan kanan. Saya terpaksa melihat tangan dulu sebelum menjawab soalan suami. Hari ini baru saya tersedar sudah 17 tahun saya menjadi penunjuk arah kepada suami, tetapi sehingga kini saya masih tidak mampu mengatasi masalah ini. Semoga Allah memudahkan saya mengingati arah kiri dan kanan.

Alhamdulillah Allah kurniakan kelebihan mudah mengingat jalan dan tempat kepada saya, meskipun saya kidal. Itulah sebabnya saya selalu menjadi penunjuk arah kepada suami apabila kami ingin ke mana-mana tempat baru.

Bagi saya, itulah masalah utama yang saya belum mampu atasi, setelah bertahun-tahun mencuba.

Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dikongsi tentang orang-orang kidal, berkat usaha dan latihan berulangkali saya sudah mampu makan dan minum dengan tangan kanan semenjak kecil. Akan tetapi tangan kidal saya lebih kuat daripada tangan kanan.

Selamat Menyambut Hari Kidal buat rakan-rakan yang menggunakan tangan kidal...moga kita juga mampu mengamalkan sunnah mengutamakan kanan daripada kiri.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman