Harga untuk Akhirat Kita

Alhamdulillah...thumma alhamdulillah.
Syukur kerana masih mempunyai kekuatan untuk menulis disini.

"Harga untuk akhirat kita", apakah sesuai untuk dibicarakan?

Ya, setiap insan mempunyai impian untuk kejayaan hidup didunia dan akhirat. Namun setakat mana kita bersedia untuk membayar persediaan untuk akhirat kita?

Semenjak kecil ibubapa membayar kelas-kelas tambahan khusus untuk kejayaan anak-anak hidup didunia. Jika dihitung perbelanjaan untuk kehidupan dunia kita adalah begitu besar. Apakah perbelanjaan untuk akhirat kita juga besar ataupun kita mengharapkan semuanya datang percuma.

Ya, kita tidak pernah mempertikaikan pelbagai bayaran, cukai, bayaran pendaftaran program motivasi dan sebagainya. Akan tetapi bila kita ingin menghadiri kelas-kelas al-quran, kelas agama dan sebagainya untuk persediaan akhirat kita, ramai yang merungut serta mengharapkan semua itu diperolehi secara percuma.

Apakah kita bersikap adil dengan diri kita?

Ada yang menganggap guru-guru quran, guru-guru kelas agama yang meminta bayaran sebagai tamak dan tidak bertimbangrasa kerana meletakkan bayaran minimum untuk kelas-kelas yang mereka adakan. Mereka menganggap setiap aktiviti agama mestilah diadakan secara percuma, malah ada yang menganggap guru tidak ikhlas apabila meminta bayaran.

Ya, bidang agama hari ini adalah bidang yang boleh diceburi oleh sesiapa yang pandai men"google". Ia bukan lagi bidang khusus yang hanya diajar oleh orang lulusan bidang agama. Malah ramai yang begitu mudah menyerah diri untuk belajar dengan pakar-pakar "google" dan buku.

Saya teringat beberapa tahun awal disini, ketika itu saya bekesempatan bergaul dengan beberapa orang kuat kelas agama warga asing disini. Setiap grup ingin menonjolkan kehebatan mereka, sedangkan semuanya hanya berpandukan buku, bukan orang yang berkelulusan bidang agama.

Setiap kali bertemu, saya terpaksa menjadi pendengar aduan mereka. Si A mengatakan bahawa si B tak betul, si B mengatakan si A tak betul. Begitulah keadaan mereka, hingga akhirnya saya mengasingkan diri, tidak sanggup lagi mendengar keluhan mereka.

Ya, saya faham keinginan mereka untuk menyampaikan dakwah, serta menjadi orang penting dalam komuniti mereka. Akan tetapi lengkapkan diri dengan ilmu yang tersusun dahulu sebelum terjun ke dalam bidang ini.

Bila berada diperantauan, serta kekosongan diri, ramai yang mula mencari kelas-kelas agama, tetapi ramai yang tidak mampu berbahasa Arab, menyebabkan mereka tidak mampu menghadiri kelas-kelas yang disediakan oleh pemerintah disini.

Ya, kelas-kelas agama disini dianjurkan oleh guru-guru bertauliah, seperti juga di Malaysia. Hanya orang yang memiliki kelulusan dalam bidang agama dibenarkan mengajar setelah menghadiri pelbagai kursus yang bersesuaian. Guru-guru itu mendapat gaji bulanan daripada kementerian, dan pelajar-pelajar dapat belajar secara percuma. Itulah bidang agama disini.

Namun begitu bagi warga asing disini, inilah peluang untuk mereka merebut gelaran "ustazah","pakar agama", membincangkan ilmu-ilmu tertentu mengikut kefahaman mereka, kerana kekurangan orang rajin membaca dan mengkaji. Semua ini hanya boleh dilakukan disini, kerana tiada sesiapa mempertikaikannya.

Moga kita dipertemukan dengan insan-insan yang mempunyai matlamat yang sama, serta bersedia membayar harga yang sepatutnya untuk akhirat kita.

Semoga kita bersikap adil dengan diri kita, dimana kita sanggup membayar harga yang lebih tinggi untuk persediaan hari akhirat kita.

Dalam masa yang sama kita mendidik orang disekeliling kita untuk menghargai insan yang menghabiskan masa mengajar agama. Mereka juga insan yang perlu menyediakan nafkah untuk keluarga masing-masing.

Hargailah mereka...





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman