Persepsi Kejayaan

Berita kejayaan adik Nik Nur Madihah dalam SPM amat membanggakan sesiapa yang mendengarnya. Kejayaan mendapat 20A (19A1 dan 1A2) adalah kejayaan tertinggi yang mampu dicapai pelajar SPM negeri Kelantan hingga ke hari ini. Pelajar dari Sekolah Maahad Muhammadi Lilbanat ini berjaya mengharumkan nama sekolah dan negeri dengan pencapaian beliau.

Ditambah pula latar belakang keluarga yang daif, sememangnya kejayaan beliau datang dari ujian kesukaran hidup. Kejayaan beliau membuktikan bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk kita berjaya dalam pelajaran. Itulah pengalaman orang-orang lama mencipta kejayaan dalam hidup mereka.

Inilah satu persepsi kejayaan yang yang dicari oleh setiap pelajar, berjaya dalam peperiksaan dangan keputusan yang cemerlang sama ada di peringkat sekolah, negeri ataupun negara.

Kejayaan ini mengulang sejarah pencapaian Siti Fatimah Mokhtar, pelajar terbaik SPM 2006 yang memperolehi 18A (17A1 dan 1A2). Namun begitu, kisah kehidupan mereka amat berbeza.

Sebagai seorang alumni sekolah ini, saya turut berbangga dengan pencapaian beliau, sememangnya MMP adalah satu sekolah yang telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh wanita Islam kini.

Setelah membaca berita tersebut, tergerak di hati ingin mengetahui perkembangan terbaru sekolah lama saya, iaitu www.maahadmuhammadi.com. Alhamdulillah seronok rasanya menyorot kembali sejarah silam.

Teringat kembali masa mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Maahad dalam kelas peralihan. Ia adalah sebuah sekolah yang terletak betul-betul ditengah bandar Kota Bharu, kawasan paling lembah, disebelah 'Parit Dalam'. Inikah sekolahnya? Bangunan yang terlalu naif bagi sebuah sekolah (masih ada sampai sekarang ke bangunan ini?), malah ketika itu masih terdapat pelajar-pelajar lelaki berkongsi sekolah yang sama.

Batch kami merupakan generasi yang sentiasa dalam cubaan. Semasa kami di tingkatan satu MMP memulakan sekolah satu sesi, dan pelajar lelaki berpindah ke sekolah yang berasingan. Alhamdulillah bebasnya kami...

Namun begitu kenangan belajar di dewan asrama Maahad (kerana tidak cukup kelas) adalah kenangan yang tidak mungkin luput dari ingatan kami. Itulah tahun permulaan MMP berdiri sendiri, walaupun masih ada pelajar MML tingkatan 6 menghuni sekolah yang sama. Kami terasing jauh dari pelajar-pelajar lain.

Ujian yang terpaksa kami hadapi ketika itu merapatkan ukhwah sesama kami. Sememangnya kenangan belajar di MMP amat indah. Begitu juga kenangan terpaksa menghadiri peperiksaan SPM dengan mengharung banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 1988, yang memaksa kami berpindah ke pusat peperiksaan di sekolah lain. Kenangan menjawab kertas peperiksaan sejarah dengan baju yang basah dan terketar-ketar kesejukan. Indahnya kenangan itu.

Namun begitu, hadiah disebalik ujian itu ialah ramai pelajar yang diterima masuk ke Pusat Matrikulasi UIA, yang juga merupakan kumpulan pelajar kedua Jurusan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, sehinggakan cikgu terpaksa memansuhkan satu kelas tingkatan enam bawah, kerana kekurangan pelajar.

Sememangnya pelajar MMP menghadapi ujian dari segenap sudut, keluar pintu pagar sekolah, ada pelbagai pilihan, pasaraya, pasar, kedai-kedai, panggung wayang serta pelbagai pilihan. Pendek kata apa yang nafsu inginkan terbentang didepan mata. Itulah ujian kekuatan jatidiri pelajar, mampukah dia melepasi ujian tersebut?

Namun begitu, kejayaan dalam pelajaran di sekolah hanyalah titik permulaan kepada kejayaan seterusnya dalam hidup kita. Persoalannya adakah kita mampu meneruskan kejayaan pada peringkat seterusnya?

Malah definasi kejayaan juga berbeza-beza mengikut persepsi seseorang. Apakah kejayaan yang kita inginkan? Apakah kita sudah berjaya mencapai kejayaan itu? Berusahalah untuk mencapai kejayaan sejati di dunia dan di akhirat.

Ulasan

Naa..a berkata…
Masyaallah za, dengar berita adik mardhihah itu terbayang masa kita dulu. betul za byk dugaan. Tapi sedihnya kejayaan adik mardhihah itu patut di highlightkan smp tu,kerana disitu telah lahirkan ramai cendekiawan terbilang tapi pihak media seolah-olah mengenepikan peranan sekolah dan guru. Nah percaya guru2 yg mengajarpun cikgu2 dan ustaz2 kita jugak tu... emm rindulaah ngan smmp.
Tanpa Nama berkata…
Memang la macam tu, dari dulu lagi kementerian tidak pernah canangkan pelajar-pelajar cemerlang dr MMP, walaupun sama ataupun lebih baik dr pelajar sekolah kerajaan.

Tapi kita redha dan kita tahu apa yang ada disitu. Sememangnya MMP telah mampu melahirkan pelajar2 yg berjaya dr segi rohani dan jasmani. Moga pelajar2 MMP mampu menjadi contoh pelajar Muslimah sejati.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas