Adakah Anak Mengajar Kita?

Bismillah...
Anak-anak adalah anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Bila bertemu dengan teman-teman lama ataupun saudara-mara itulah soalan cepumas. Dah berapa orang anak? Berapa orang putra, berapa putri? Yang sulung dah berapa umur? Pendek kata, anak-anak adalah harta yang paling berharga dalam kehidupan kita.

Alhamdulillah, itulah nikmat Allah kepada kita dalam hidup ini, dan nikmat inilah yang sepatutnya kita hargai, walaupun terpaksa menempuh kesusahan menjaga mereka.

Bagi saya pengalaman menjaga empat orang anak kecil (semua lahir selang setahun) memang begitu mencabar. Bagaimana menjaga anak kecil dalam masa yang sama mengandung dan menyusu badan, cuma Allah saja yang tahu. Namun itulah ujian yang mengajar kami harga anak-anak dalam hidup.

Sememangnya anak-anak banyak mengajar kita, tanpa anak-anak kita mungkin boleh bersikap sambil lewa tapi bila bersama-sama dengan anak-anak kita kenalah baiki sikap kita, baiki penampilan kita. Pastikan mereka hanya mendapat contoh positif dalam hidup mereka.

Ini kerana anak-anak melihat apa yang kita buat dan dengar apa yang kita cakap. Jika mereka melihat ibubapa melakukan perkara negatif, mereka juga akan terikut, jika ibubapa cakap perkataan yang negatif anak-anak juga akan terikut.

Jadi bukan senang untuk mendidik anak-anak tanpa mendidik diri sendiri dulu. Oleh itu prinsip saya ialah pastikan kita mampu melakukan apa-apa tugas sebelum menyuruh anak-anak melakukannya. Jadi walaupun dah berumur, saya mencuba pelbagai perkara yang tidak pernah dilakukan semasa kecil dulu, seronok juga.

Anak-anak bukan mengajar tapi bertanya, Umi boleh buat ke? Umi dah buat ke? Abiya dah buat ke serta pelbagai lagi persoalan yang menguji kami. Tambah lagi mereka berempat, jadi setiap persoalan sambung menyambung, masing-masing menyampuk.

Begitu juga bila menyuruh mereka menghafal quran, mereka bertanya balik, umi dah hafal ke? Bila dijawab tidak, mereka akan bertanya balik kenapa? Jadi kenalah kuatkan diri menghafal apa yang mereka pelajari. Alhamdulillah, saya bersyukur dianugerahkan anak-anak.

Satu perkara yang membuatkan saya terfikir sampai kini ialah pertanyaan mereka : "Umi mengapa kita mengaji Quran terbalik?". Yang sulung mengaji dari Al-Baqarah ke Al-Nas, yang lain-lain saya ajar terbalik sebab mereka komplen bahawa Surah Al-Baqarah susah sangat, panjang. Maka timbul lah persoalan ini "Al-Quran dibaca terbalik".

Kadang-kadang terfikir juga perlukah Al-Quran ditulis semula dengan memulakan dari Al-Fatihah, Al-Nas dan seterusnya, jadi anak-anak dapat mengaji dengan senang dan tidak terbalik. Adakah sesiapa yang boleh bagi idea? Begitulah anak-anak, mereka bertanya tapi seolah-olah mengajar kita, alhamdulillah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman