Yang lalu biarlah Berlalu

Akhir-akhir ini saya banyak bertemu dengan ungkapan "letting go of the past", "ubah skrip hidup anda", "heal your past to create the future you desire" serta pelbagai lagi ungkapan semakna dengannya.

Ketika mengunjungi pameran buku, ada berbagai-bagai tajuk berkaitan ditulis sebagai buku, sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Arab. Saya terfikir juga, betul ke segala saranan diatas? Apakah kita mesti melupakan segala kisah masa lalu kita untuk mengecapi kejayaan dalam hidup ini?

Tapi bila membaca pengalaman mereka yang memutuskan diri dengan masa lalu yang negatif, mereka berjaya mencapai kejayaan diluar dugaan, betul juga. Ramai orang yang dah berjaya menggunakan ungkapan di atas untuk memotivasi orang lain untuk menjadi insan berjaya. Maka wujudlah pelbagai macam bengkel dan seminar pembangunan diri, berdasarkan ungkapan ini. Begitu hebatnya ungkapan "lupakan masa lalu anda".

Apabila membaca majalah 'FRIDAY' selalu juga dipaparkan pelbagai idea bagaimana ahli motivasi berjaya dalam kehidupan mereka dengan melupakan masa lalu mereka, serta meneruskan perjuangan masa hidup sekarang. Jadi apakah masa lalu yang pincang akan memincangkan hidup kita? Itulah persoalannya.

Sebenarnya konsep mengubat masa lalu yang negatif amat berkait rapat dengan pemikiran positif. Ini kerana orang yang menggunakan teknik ini berusaha melupakan masa lampau yang negatif serta memperbaiki masa sekarang, dengan sentiasa berfikiran positif.

Ada juga yang menyatakan "jangan hidup dalam kenangan silam", ini kerana kecemerlangan masa lampau juga tidak akan berulang sekiranya kita cuma berpeluk tubuh sahaja. Oleh itu berusaha dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup kita.

Di antara teknik melupakan masa lalu ialah dengan menggunakan konsep mengembara merentas masa, iaitu kita mencari kenangan lalu yang amat memberi kesan kepada kehidupan kita sekarang. Tujuannya ialah untuk mencari keseimbangan dalaman, dan membantu kita mencipta kejayaan dalam perhubungan, kerjaya dan seluruh aspek hidup kita.

Ramai manusia yang dikawal oleh pengalaman masa lalu lebih dari yang mereka sangka, gurisan emosi yang dibiarkan terbuka ini, akan menyebabkan terbantutnya usaha pembangunan masa sekarang. Ditambah lagi dengan perasaan tertekan dengan peristiwa itu, ia akan mampu melumpuhkan kebolehan kita membuat keputusan. Kadang-kadang ia juga boleh membunuh nilai diri kita.

Jadi hanya dengan menghadapi segala perasaan takut kita, melupakan yang lepas, meneliti dan menganalisa kekuatan dan kelemahan diri, maka kita akan mampu membuka potensi diri yang sebenar, dan menghadapi kehidupan ini secara optimum. Inilah yang dikatakan 'kebangkitan semula selepas kejatuhan'.

Hidup ini ialah mengenai pilihan sekiranya kita memilih yang positif, maka hasilnya akan jadi positif, namun sekiranya kita memilih jalan negatif maka kita akan terperangkap dalamnya. Jadi untuk mengubah hidup kita, kita mestilah membuat perubahan baru dan pilihan yang berbeza. Pilihan inilah yang akan menentukan perjalanan masa depan kita.

Sebagai seorang Islam kita diberi panduan dalam memilih dengan melakukan solat istikharah. Inilah cara terbaik untuk menentukan pilihan yang terbaik bagi kita, agar kehidupan kita berjalan lancar. Moga kita sama-sama dapat mencipta kejayaan. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman