Mengapa Wanita Mesti Belajar?
Apakah sama orang yang belajar dan tidak belajar?Sememangnya tidak akan sama orang yang tahu dan tidak tahu, walauapapun ilmu yang pernah pelajari. Ini kerana apabila belajar, kita telah menempuh pelbagai ujian, bagaimana nak menguruskan masa, menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan, belajar menegakkan hujah kita serta pelbagai lagi ilmu sampingan yang tidak diperolehi oleh orang yang tidak pernah belajar.
Allah swt berfirman dalam surah Az-zumar:9: "Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran".
Jadi keperluan wanita belajar tidak seharusnya dikaitkan dengan pekerjaan. Kita belajar untuk mendapat ilmu agar kita mampu mengatur hidup kita dengan baik. Persoalan bekerja atau berada dirumah seharusnya difahami dengan baik. Seseorang yang berilmu akan mampu mengatur kehidupannya dan keluarganya lebih baik daripada wanita yang tidak berilmu. Masalahnya masyarakat kita sudah terbiasa mengaitkan ilmu dengan kerja, jadi wanita yang berilmu dianggap gagal kerana tidak mampu bekerja.
Bagi saya setiap orang yang pernah belajar memiliki ilmu mengurus diri yang lebih mantap daripada orang yang tidak belajar. Jadi bersyukurlah kerana kita berpeluang untuk menempuh hidup sebagai pelajar, walaupun berakhir dengan berada dirumah.
Teringat pula ketika membaca buku "Al-Usrah: Ru'yah Na'diyyah Tahliliyyah" tulisan Syeikh Ashur Kas Kas. Penulis amat menekankan tentang mawaddah wa rahmah dalam rumahtangga, malah menganggap bahawa tugas isteri ialah memberikan sepenuh kasih sayang kepada keluarga, malah isteri adalah sumber kegembiraan bagi suami dan ahli keluarga.
Namun untuk meneruskan kehidupan hari ini, kita perlukan ilmu terutama ilmu agama. Ini kerana tugas utama kita ialah mendidik anak-anak mengenal Allah. Sekiranya surirumah jahil tentang ilmu agama maka bagaimana dia mampu mendidik anak-anak mengenal Allah. Kita tidak boleh menyerahkan segala-gala urusan kepada guru di sekolah terutama persoalan aqidah dan agama. Ini kerana kitalah yang lebih banyak menghabiskan masa dengan anak-anak.
Jika kita inginkan anak-anak kita menjadi insan terdidik maka kitalah pemantaunya. Jika surirumah sendiri tidak tahu mana yang patut dibuat dan apa yang sepatutnya ditinggalkan, makin rosaklah generasi seterusnya. Jadi pastikan kita memiliki asas-asas agama yang betul dalam mendidik anak-anak mengenal Islam.
Jika kita lihat dalam masyarakat dulu, seseorang wanita mesti khatam Quran sebelum berkahwin, malah majlis khatam Quran selalunya diadakan sebelum majlis perkahwinan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita mempunyai adat yang baik, tapi adakah adat ini diambilkira dalam masyarakat sekarang? Sekiranya seseorang wanita tahu mengaji Quran, ini bermakna dia juga tahu berwuduk dan solat. Ini adalah asasnya.
Apa akan jadi sekiranya ibu tidak tahu membaca? Dalam dunia hari ini banyak masalah akan timbul bila ibu-ibu tidak tahu membaca. Jadi ibu-ibu mestilah bijaksana dalam memainkan peranan mereka.Apakah cukup memberi kasih sayang semata-mata kepada ahli keluarga? Apakah bentuk panduan yang dapat diberikan kepada anak-anak jika ibu tidak dapat mengikuti perkembangan semasa kerana kekurangan mereka.
Dalam dunia hari ini wanita mesti belajar, agar dapat membenteng keluarga mereka. Wanita yang terpelajar juga mampu memberikan kasih sayang kepada keluarga mereka kerana ia fitrah wanita. Malah wanita yang berilmu boleh mengurus rumahtangga dengan lebih teratur, malah mampu menjadi idola anak-anak.Jika kita nginkan anak-anak yang rajin belajar, kita juga mesti rajin belajar.
Setiap hari ada pelbagai ilmu yang boleh kita pelajari, carilah ilmu-ilmu itu... Jika kita teliti kembali sirah hidup Rasulullah saw kita akan dapati bahawa wanita-wanita pada zaman tersebut amat mementingkan ilmu. Mereka sentiasa bertanya kepada ummahatul mukminin tentang perkara-perkara yang tidak diketahui serta meminta agar diadakan waktu khusus untuk mereka belajar daripada Rasulullah.
Malah tradisi keilmuan dipelopori oleh isteri-isteri Rasulullah, seperti Saidatina Aisyah, Ummu Salamah, Hafsa, Zainab dan lain-lain. Jadi mereka menjadi contoh kepada kita bahawa pentingnya wanita memiliki ilmu. Jadi belajarlah selagi kita berpeluang...fikir-fikirkanlah.
Ulasan