Bahagian Terakhir Ramadhan

Alhamdulillah kita mendekati bahagian terakhir Ramadhan, hari-hari yg ditunggu oleh kebanyakan Muslim yg ikhlas menunaikan ibadah puasa mereka. Hari-hari ini lah yang banyak diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis, hari-hari yang digambarkan sebagai 10 hari terakhir Ramadhan.

Menurut hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari diriwayatkan dari Abu Salamah:
"Saya bertanya kepada Abu Said sahabatku. Katanya: Kami iktikaf beserta Nabi saw pada sepuluh pertengahan dari bulan Ramadhan. Baginda keluar pagi hari yang kedua puluh lalu berkhutbah di hadapan kami. Sabda baginda: "Diperlihatkan kepadaku Malam Qadar. Kemudian aku lupa malam itu. Carilah dalam sepuluh yang akhir pada bilangan ganjil. Sesungguhnya aku melihat bahawasanya aku sujud dalam air dan tanah. Barangsiapa biasa iktikaf beserta Rasulullah saw, hendaklah dia kembali. Kerana itu kami kembali.
Dan tiada sepotongpun awan terlihat oleh kami di langit ketika itu. Tetapi tiba-tiba awan segera datang dan hujan turun dengan derasnya sehingga air mengalir pada atap masjid, sedangkan atap itu terbuat hanya dari pelepah kurma. Kemudian orang iqamah untuk salat. Saya melihat Rasulullah sujud di air di atas tanah berlumpur, sehingga saya melihat bekas tanah itu dikening baginda"

Manakala dalam hadis riwayat Aisyah r.a. baginda bersabda: "Bersiap-siaplah untuk mendapatkan Malam Qadar itu pada bilangan ganjil daripada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan".

Disamping itu terdapat pelbagai riwayat tentang Malam Qadar ini dalam versi yang berbeza-beza, namun yang paling jelas ialah kita disuruh mencarinya di sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan.

Pada hari-hari inilah juga kita sibuk dengan persiapan akhir Raya, nak siapkan kuih-muih raya, siapkan rumah, pakaian raya dan sebagainya. Akan tetapi inilah waktu untuk kita merebut keistimewaan bulan ini, merebut kedatangan lailatul Qadar, merasai sedetik ketenangan abadi yang tidak mampu kita perolehi pada malam-malam lain.

Ya Allah makbulkanlah doa hambamu ini untuk bertemu malam yang dicari oleh segenap Muslim yang beribadah kepadamu. Kedatangannya sedetik cuma tapi cukup membuatkan kita teruja untuk melakukan ibadah yang terbaik dalam sejarah kehidupan kita.

Lailatulqadar ialah malam yang ditunggu oleh setiap Muslim. Pelbagai cerita dan pelbagai ragam manusia menyambutnya yang mana kebelakangan ini ramai yang mencarinya secara berkumpulan, bersama-sama menghidupkan malam-malam ganjil pd bulan ini. Ramai yang tidak tidur malam kerana berharap untuk bertemu dan merasai kenikmatan malam ini.

Walaubagaimanapun caranya semuanya mendekatkan diri kepada Allah, bertemu atau tidak adalah ketentuan Yang Maha Esa. Pada zaman Rasulullah, baginda beriktikaf di masjid sepanjang 10 hari terakhir ini, malah isteri-isteri baginda juga beriktikaf sama, menghabiskan masa dengan sembahyang sunat, bertadarrus al-Quran dan berzikir. Begitulah cara penyucian jiwa yang diamalkan hingga sekarang untuk menyucikan diri zahir dan batin.

Bagi wanita memadailah memilih tempat ibadah dirumah dan melakukan ibadah dalam tempat tersebut, akan tetapi ramai juga yang memilih untuk beriktikaf di masjid. Walau apapun ibadah yg dilakukan moga-moga tujuan utama adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Dalam masyarakat melayu, pelbagai cerita disebarkan tentang kedatangan lailatul qadar dan diceritakan dari satu generasi ke satu generasi, cerita guri emas yang tergolek-golek, siapa yang menemuinya akan beroleh kekayaan itulah yg saya dengar sejak kecil. Semenjak mendengar cerita tersebut saya asyik tertanya-tanya apakah sebenarnya lailatul Qadar?

Persoalan tersebut sentiasa menjelma setiap kali datangnya Ramadhan, keinginan untuk memahaminya membuak-buak sehinggalah saya membaca buku-buku tentangnya, sedikit demi sedikit faham ttg apakah itu lailatulqadar.

Sebenarnya malam ini merupakan kemuncak keserentakan tahap kerohanian orang-orang yang bertaqwa. Sebab itulah dikatakan bukan semua orang mendapatnya, cuma orang yang telah mempunyai tahap kerohanian yang mantap mampu mencapainya. iaitu orang-orang yang sudah resonan dengan amalan tersebut dan betul-betul ikhlas mengharapkannya. Ia adalah hadiah yang terlalu berharga buat insan yang mencari keredhaan ilahi.

Dalam masa yang sama, ia merupakan tanda-tanda bahawa Ramadhan semakin ke penghujung, sayunya terasa...betapa terlalu cepat masa berlalu. Mampukah kita membantu diri meneruskan segala amalan yang telah dipelajari sepanjang bulan mulia ini? Mampukah kita menjaga mata, lidah, perut dan masa kita sebagaimana kita menjaganya sebaik mungkin pada bulan ini.

Sama-samalah kita fikirkan formula terbaik untuk meneruskan setiap amalan yg telah kita mulai dari awal Ramadhan kali ini, juga sama-samalah kita berdoa agar kita termasuk dalam golongan orang-orang bertuah yang beroleh keberkatan lailatulqadar, malam yg lebih baik dr seribu bulan, iaitu lebih kurang 80 tahun umur kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas