Susah-Payah Mengejar Ilmu

Sememangnya ilmu yang didapati setelah kita bersusah-payah amat berkesan dalam hati malah mempunyai nilai yang amat tinggi pada kita. Bayangkan seorang pelajar yang terpaksa berulang-alik ke sekolah dalam jarak yang amat jauh, ditambahi kesukaran pengangkutan serta pelbagai lagi kesusahan, jika dia berjaya mengharunginya bermakna dia telah berjaya melepasi ujian tersebut.

Malangnya anak-anak hari ini terlalu manja untuk menempuhi kesukaran itu, seboleh-bolehnya mereka ingin dihantar ke pintu pagar sekolah dalam keadaan yang amat senang. Sekalipun mereka berfikir, jarang yang terfikirkan kesukaran anak-anak orang susah yang terpaksa berkorban untuk mendapat ilmu. Mungkinkah inilah penyebab ilmu yang tidak meresap ke dalam hati? Juga apakah ini penyebab wujudnya ramai anak-anak yang tidak memikirkan hati dan perasaan orang lain?

Jika dikenangkan kisah hidup sebagai pelajar dahulu, teringatlah kisah-kisah betapa susahnya untuk keluar kampung untuk menunggu bas sekolah untuk sampai ke bandar tempat belajar. Alhamdulillah berbekalkan sebuah basikal seorang, kami terpaksa mengayuh basikal pada awal subuh untuk sampai ke tepi jalan besar, kemudian terpaksa menunggu bas sekolah yang kadang-kadang terpaksa menunggu kami jika kami kelewatan. Jika basikal rosak terpaksalah kami berjalan kaki ataupun membonceng satu sama lain dalam jarak lebih 1 km.

Jika hari hujan pula terpaksalah kami berpayung sambil mengayuh basikal tanpa berkasut, kerana bimbangkan kasut sekolah kotor terkena air dijalanan. Maklumlah kami bersekolah di Kota Bharu, kebersihan pakaian amat dititikberatkan oleh kami. Malunya jika ada orang melihat baju dan kasut sekolah yang kotor terkena air berwarna merah.

Namun begitu, dalam kegelapan pagi kami mampu mengingati lopak-lopak sepanjang jalan kerana dengan sedikit kesilapan kami akan termasuk ke dalam lubang. Di samping itu ada kawan yang saling usik-mengusik bila kami melepasi kawasan-kawasan tertentu yang tidak berpenghuni ataupun apabila kami terhidu bau-bauan yang teramat wangi di kawasan hutan. Bila dikenang ia menjadi satu memori yang amat manis.

25 tahun dulu bas-bas sekolah memasuki jalan-jalan kecil sepanjang perjalanan ke Kota Bharu. Alhamdulillah kami mampu mengingati setiap jalan yang digunakan setiap hari, tapi yang paling tidak menyeronokkan ialah kami terpaksa tiba paling lewat ke sekolah, kerana MMP adalah destinasi sekolah terakhir dalam trip bas sekolah. Maka terkejar-kejarlah kami untuk ke kelas setiap hari.

Kemudian saya memilih untuk menukar pengangutan ke sekolah, menaiki bas biasa dan menjadi penunggu setia tangga akhir bas sebelum tiba ke bandar Kubang Kerian. Daripada keselesaan bas sekolah bertukar kepada kesusahan dan keperitan terpaksa bersesak-sesak dalam bas harian, serta belajar bersabar hanya kerana tidak sanggup pulang terlalu lewat pada waktu petang. Bayangkan sepanjang menaiki bas sekolah saya tidak sempat melihat matahari dikampung, kerana kami ke sekolah sebelum matahari naik dan pulang ketika matahari sudah terbenam.

Sepanjang hari dihabiskan diMMP apabila terlibat dengan kelas tambahan dan ko-kurikulum. Jadi kami terpaksa menunggu trip petang, kerana jika memilih pulang awal bermakna kami terpaksa membayar tambang bas biasa.

Namun begitu hari ini Kota Bharu tidak lagi seperti waktu kami bersekolah dulu, ia terlalu jauh berubah, tiada lagi jalan sempit dibandar kerana semuanya sudah dibangunkan. Tiada lagi rumah-rumah orang Cina di hadapan Pasar Siti Khadijah kerana semuanya sudah berganti bangunan baru. Maka pelajar sekarang selamat daripada dikejar anjing ketika melepasi kawasan tersebut. Bila memandu disepanjang jalan teringat segala kenangan semasa zaman remaja bersama kawan-kawan.

Malah MMP sendiri sudah jauh berubah, kawasan sekolah begitu cantik dan teratur dengan pokok buah-buahan mengelilingi padang sekolah dan menjadi tempat rehat pelajar. Mata inilah yang menyaksikan segala pembangunan dibandar Kota Bharu. Sebuah demi sebuah pasar @ pasaraya dibangunkan di sekeliling MMP, namun pembangunan drastik berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Ternyata Islam tidak menghalang pembangunan, malah pembangunan yang berteraskan Islam terlalu cantik untuk dijadikan contoh.

Seminggu sebelum Ramadhan 2009 bermula, jalan-jalan dibandar Kota Bharu dijadikan jalan sehala, tersilap jalan kita terpaksa mengelilingi bandar ini yang agak jauh. Namun begitu saya teramat kagum melihat pembangunan disekitar bandarnya sehingga ke tepi sungai Kota Bharu. Dalam hati, terdetik betapa cantiknya bandar tumpah darahku sekarang, jika ada peluang terasa ingin kembali berkhidmat di sini.

Sememangnya segala kesusahan dalam mengejar ilmu memberi kemanisan kepada kita, bayangkan jika saya tidak menaiki bas sekolah, saya tidak akan tahu pembangunan yang berlaku didalam kawasan tersebut. Malah jika hari ini saya tersesat di bandar Kota Bharu, saya masih tahu ke mana hendak dituju, dan arah mana jalan tersebut menghala, alhamdulillah.

Begitu juga kepulangan kali ini, saya mendapat peluang bertemu dengan kawan rapat yang sama-sama menaiki bas sekolah tersebut, terasa begitu bersyukur dengan pertemuan yang tidak kami rancang tapi telah ditetapkan oleh Allah swt. Alhamdulillah.

Itulah kenangan lama yang amat manis untuk dikenang dalam perjalanan mengejar ilmu di MMP. Kesusahan dan keperitan itulah yang mengajar saya menghargai setiap ilmu yang diperolehi serta berusaha untuk beroleh kejayaan yang lebih lagi, insya Allah.

Jika kita teliti kisah-kisah ulama pengumpul hadis Rasulullah, maka kita akan terasa betapa kesusahan yang kita hadapi hanyalah begitu kecil berbandingan kesukaran yang terpaksa mereka tempuhi untuk mengumpulkan hadis ketika orang lain tidak berfikir mengenainya. Bayangkan mereka terpaksa menempuhi perjalanan berbulan-bulan untuk menemui seorang perawi hadis yang diberitahu kepada mereka, kadang-kadang hanya untuk memendekkan sanad hadis tersebut.

Bila membaca riwayat tentang ulama-ulama ini, barulah kita menyedari bahawa segala kesusahan itu membantu mendidik diri mereka sabar serta menguatkan jatidiri mereka. Sempena bulan Ramadhan ini pula setiap hari ada kisah hidup Tabi'en ditayangkan, yang mana diceritakan sebagai seorang yang amat warak serta berakhlak seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Jadi dimanakah kedudukan diri kita jika nak dibandingkan dengan mereka. Rasanya terlalu jauh bezanya, kesusahan kita belumpun mencapai 1% kesusahan mereka. Moga Allah terus memberi kekuatan untuk kita mengejar ilmu dan menyampaikannya kepada orang-orang yang minat untuk mencari ilmu.

Ulasan

rosnah berkata…
terlalu manis kenangan itu za.. lebih bermakna dan bererti.. dikala itu juga kita mengenal apa erti sepatah kalimah.. kadang2 bila nah renung murid sekarang yang terlalu mudah mendapatnya mereka tidak menilai. Nah selalu cerita pada anak nah yang baru nak belajar bahasa arab. teknik kita hafaz nusus dan memahami teks arab.. dia terpegun. Masa balik kampung kebetulan ada lagi buku tulis yang kita gantung makna tu, nah tunjjuk baru dia percaya..

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman