Mendidik guna Bahasa Formal

Sekadar berkongsi tentang penggunaan bahasa dalam perbualan sehari-hari, sama ada menggunakan bahasa formal ataupun loghat.

Kadang-kadang rasa nak tergelak bila melihat anak-anak berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa Arab fushah. Alhamdulillah kami dah dapat melihat perkembangan penggunaan bahasa mereka walaupun semasa tiba di sini dulu tiada seorangpun yang tahu perkataan-perkataan Arab. Pendek kata semuanya mereka perolehi dari sini.

Sememangnya rujukan utama mereka adalah kartun-kartun bahasa Arab yang menggunakan bahasa fushah semata-mata. Ini kerana syarat utama untuk mereka menonton TV adalah memastikan program tersebut menggunakan bahasa Arab Fushah.

Alhamdulillah syarat tersebut terlekat kuat dalam hati mereka, malah mereka amat menyukai bahasa Arab fushah, serta mempertikaikan kenapa orang Arab tidak mahu menggunakannya.

Alhamdulillah selepas memasuki sekolah mereka masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa fushah walaupun sentiasa diejek oleh kawan-kawan mereka. Anak yang sulung selalu mengadu betapa susahnya beliau nak memahami kawan-kawan kerana terpaksa menggunakan dialek yang berbeza, iaitu dialek Oman, Mesir, Tunisia, Jordan dan Sudan, sedangkan jika semua kawan menggunakan bahasa fushah masalah tersebut akan dapat diatasi.

Tahun ini pula ada seorang guru mereka yang mempertikaikan penggunaan bahasa fushah, sedangkan sebelum ini semua guru gembira kerana mereka berjaya mewujudkan suasana baru iaitu menggunakan bahasa Arab fushah dalam komunikasi sehari-hari.

Ada juga guru bahasa Arab yang memiliki pemikiran sebegitu sedangkan guru-guru bahasa Arab lain memperjuangkan penggunaan bahasa fushah. Alasan beliau ialah anak saya akan belajar menggunakan lahjah Oman bila mereka memasuki peringkat yang lebih tinggi, entah betul entah tidak...

Itu cerita penggunaan bahasa Arab fushah, kerana kesedaran tentang kepentingan menggunakan bahasa Arab fushah amat rendah, walaupun mereka amat menghormati bahasa tersebut. Malah kebanyakan orang Arab yang saya temui tidak memiliki kekuatan untuk menggunakannya, mereka lebih rela menggunakan lahjah yang tidak mampu kita fahami atas alasan susah.

Jadi sekiranya kita berharap untuk memiliki anak-anak yang mampu menggunakan bahasa Arab fushah, didiklah kekuatan dalaman mereka untuk menyukai bahasa tersebut, serta jangan terlalu berharap kepada masyarakat Arab kerana terlalu sukar untuk kita bertemu orang Arab yang betul-betul memperjuangkan penggunaan bahasa tersebut.

Apa yang akan ditemui ialah orang yang berkomunikasi menggunakan bahasa fushah tidak akan mempunyai ramai teman sesama mereka, kecuali orang-orang yang faham tentangnya. Jika mengajar sekalipun anak-anak murid tidak selesa berhubung dengan pensyarah yang menggunakan bahasa fushah, atas alasan kesukaran bahasa.

Oleh sebab itu kita selalu temui ramai pelajar Malaysia yang belajar di negara-negara Arab pulang membawa lahjah Arab bukannya bahasa Arab fushah. Itulah kelemahan bergaul dengan masyarakat sekeliling ketika berada diluar negara. Kadang-kadang makhraj hurufpun nak diubah oleh mereka, sedangkan makhraj huruf Arab sama dengan makhraj huruf bagi bacaan Al-Quran. 

Persoalannya mampukah kita mengubah situasi tersebut serta menjadi orang yang mewujudkan suasana yang boleh menghidupkan penggunaan bahasa fushah? Atau dalam kata lain mewujudkan perasaan sukakan bahasa yang digunakan oleh Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda.

Itulah soalan yang selalu dikemukakan oleh anak-anak saya: "Umi, Rasulullah dulu gunakan bahasa Arab fushah ya, tapi mengapa orang Arab sekarang tak guna?."

Sama-samalah kita mendidik anak-anak agar menyukai bahasa ini, yang mana telah dibuktikan oleh saintis hari ini bahawa ia memberi kesan positif ke atas kesihatan orang-orang yang menuturkannya.

Begitu juga bahasa Malaysia, didiklah anak-anak kita menggunakan bahasa baku sedari kecil, kerana mereka akan menyukainya serta menghargai bahasa tersebut. Mungkin cara kami agak berbeza, akan tetapi jika kita sentiasa menerapkan penggunaan bahasa baku, anak-anak juga akan terikut menggunakannya.

Ini kerana bahasa baku akan laku dimana-mana sedangkan dialek cuma boleh digunakan dalam kawasan tersebut semata-mata. Bagi saya tidak rugi kanak-kanak yang dididik menggunakan bahasa formal, kerana mereka boleh menggunakannya dimana-mana saja, malah mereka akan mampu berkomunikasi dengan orang lain yang tahu bahasa kita.

Sebagai contoh setiap kali anak saya berkunjung ke rumah kawan-kawan beliau yang mempunyai pembantu rumah Indonesia, mereka amat gembira bertemu dengannya kerana anak saya mampu bercakap menggunakan bahasa Melayu. Alhamdulillah.

Teorinya senang iaitu "apabila kita mengetahui bahasa formal, kita boleh menggunakannya dimana-mana saja" sedangkan jika kita cuma menekankan penggunaan dialek, mereka akan terkial-kial mencari perkataan yang sesuai untuk digunakan sebagaimana susahnya orang Arab nak bercakap fushah.

Bahasa adalah alat untuk menyatukan ummah, jika ia digunakan sebaik-baiknya, sebagaimana kerajaan Malaysia nak mewujudkan one Malaysia, pastikan bahasa Malaysia diutamakan.










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas