Menyembunyikan Ilmu Allah

Bila kita bercerita tentang ilmu, terdapat pelbagai jenis ilmu yang mampu kita perolehi hari ini. Ada yang betul dan baik, ada pula yang boleh menyebabkan kekeliruan kepada pendengarnya, ada juga ilmu sesat.

Jika kita terpilih untuk belajarnya, apakah kita mesti menyampaikan keseluruhannya agar kita tidak tergolong ke dalam golongan yang menyembunyikan ilmu-ilmu Allah? Itulah persoalan yang sentiasa bermain-main difikiran ini.

Ini kerana kadang-kadang kita terbelajar ilmu yang agak menarik tetapi ia boleh menyebabkan kekeliruan kepada pendengarnya, jika tidak belajar betul-betul mengenainya ataupun tidak habis belajar.

Bagi saya sebaiknya orang yang belajar satu-satu ilmu menilai terlebih dahulu ilmu-ilmu tersebut sebelum menyampaikan kepada orang lain. Ini adalah untuk mengelakkan salah faham mengenai ilmu tersebut.

Satu persoalan lagi ialah apakah setiap orang yang tidak menyampaikan ilmu yang mereka miliki termasuk ke dalam golongan yang menyembunyikan ilmu-ilmu Allah, walaupun beliau tidak berniat untuk berbuat begitu?

Jika kita membaca sejarah hidup ulama-ulama terdahulu, kebanyakan mereka tidak suka bercakap banyak kecuali semasa kuliah agama. Malah banyak ilmu yang disampaikan adalah hasil jawaban kepada soalan-soalan yang dikemukakan kepada mereka.

Malah ramai yang lebih senang menjawab 'tidak tahu' kepada soalan yang tidak diketahui jawapannya.

Sikap ini amat berbeza daripada situasi zaman sekarang, yang mana ramai ulama yang menunjukkan seolah-olah mereka mengetahui semua perkara. Sikap ini boleh kita dapati apabila menonton siaran fatwa di TV, yang mana ahli panel selalunya menjawab setiap soalan yang ditanya kepada mereka seolah-olah mereka pakar dalam semua bidang.

Jadi apakah caranya untuk menjamin bahawa kita telah menyampaikan setiap ilmu yang kita perolehi, jika tiada orang mengemukakan soalan kepada kita?

Bagi saya tulislah, kerana bila kita menulis, kita menyoal diri sendiri apakah yang kita tahu dan apa yang kita tidak tahu. Jadi kita menyoal dan kitalah yang menjawabnya dengan cara mencari rujukan yang sesuai ataupun merujuk insan yang lebih arif.

Moga-moga segala ilmu yang diperolehi dapat disampaikan dengan sebaik-baik cara.








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman