Menghayati Erti Ukhwah

Dalam mengharungi hidup kita akan bertemu dengan insan-insan yang akan mewarnai hidup kita, kadang-kadang kita bertemu dengan orang yang sehati sejiwa dengan kita, kadang-kadang kita bertemu dengan insan yang bertentangan pendapat dengan kita.

Walauapapun karektor mereka, terimalah teman-teman seada mereka. Jangan terlalu mudah menghukum mereka, kerana suatu ketika kita akan bersyukur dengan setiap kurniaan tersebut.

Alhamdulillah, hari ini saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan teman-teman yang banyak mengajar saya tentang erti ukhwah (persahabatan) yang ikhlas. Satu jalinan persahabatan yang amat susah ditemui hari ini, dimana ikatan tersebut dijalin penuh ikhlas tanpa mengharap apa-apa balasan.

Alhamdulillah kami dihimpunkan daripada negara-negara yang berbeza, tapi mempunyai aqidah yang satu serta cuba menghidupkan sunnah yang sama iaitu menjaga ukhwah fillah.

Airmata ini mengalir apabila mengingatkan betapa ikhlasnya mereka menghulurkan persahabatan, semua keluarga ingin menghulurkan bantuan, walaupun kami tidak memerlukan. Jiran-jiran sibuk bertanya ingin membantu alhamdulillah. 

Semuanya berlaku ketika suami pulang menghadiri konvensyen di Malaysia daripada awal Muharram yang lepas. Beliau mengambil peluang untuk berehat-rehat di Kuala Lumpur selama 12 hari, selama itulah juga rakan-rakan disini sentiasa bertanya khabar serta menziarahi kami sekeluarga alhamduillah.

Mengapa saya mengalirkan airmata? Ini kerana saya merasakan inilah erti ukhwah yang selalu kita bicarakan. Namun ukhwah sebegini amat sukar untuk kita temui ditanahair sendiri.

Apabila kita dikelilingi oleh rakan-rakan yang mengambilberat tentang keadaan kita, sama ada ketika susah ataupun senang, terasa betapa bersyukurnya kerana dikurniai teman-teman sebaik itu.

Dalam masa yang sama, saya teringat suasana ketika berada di Kuala Lumpur, terasa amat jauh bezanya daripada ketika berada disini. Selama dua bulan saya dan anak-anak kecil terpaksa berpisah dengan suami yang datang lebih awal ke sini, selama itulah segala susah-senang ditanggung sendiri. Tiada teman atau jiran pernah bertanya khabar, walau sebaik manapun kita bergaul dengan mereka.

Ketika itu memang saya merasa terasing ditanahair sendiri. Sememangnya amat sukar untuk ditemui insan yang betul-betul mempraktikkan erti ukhwah yang sejati. Jika kita temuinya, bersyukurlah serta hargailah kurniaan tersebut.

Selalunya kita dikelilingi orang-orang yang mengaku rakan ketika kita senang, akan tetapi apabila kita ditimpa kesusahan, mereka akan menjauhi.

Malah ramai pula yang mendekati kita apabila kita menghulurkan sesuatu, itulah ukhwah yang wujud dalam masyarakat hari ini. Apabila kita tidak mempunyai apa-apa, rakan-rakan akan menjauhi.

Moga-moga kita dipertemukan dengan insan-insan yang ikhlas menjalinkan persahabatan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, insan-insan yang mengerti apa itu erti 'ukhwah fillah'.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman