Ulasan Buku - Pendidikan Anak-anak...

Alhamdulillah...teringin berkongsi satu maklumat yang diperolehi daripada buku "Tarbiyah Al-Abnaa' wal Banat fi 'dhau Al-Quran wal-Sunnah" tulisan Syeikh Khalid Abdul Rahman Al-Ak mengenai pendidikan anak-anak.

Petikan daripada kata-kata Jundab bin Abdullah Al-Jubali (sahabi) iaitu: "Kami mempelajari iman, kemudian kami mempelajari al-Quran, maka bertambahlah iman kami.."
Penulis menyebut tentang pentingnya mengajar al-quran kepada anak-anak untuk menguatkan keimanan mereka. Ini juga bersesuaian dengan wahyu pertama iaitu 'iqraa', iaitu bacalah dengan nama Allah swt.

Dalam topik yang sama penulis menyebutkan tentang sunnah Rasulullah saw agar kita menghafal kitabullah serta memahaminya. Beliau juga menyebut tentang "pekerjaan pertama Muslim ialah menghafal al-quran dan memahaminya, serta wajib mempelajari segala ilmu yang membantu untuk memahami kitabullah."

Ini kerana diantara tujuan pendidikan Islam ialah menghafal kitabullah berserta memahami dan beramal dengan apa yang diturunkan didalamnya.

Beliau menyebutkan lagi "diantara kaedah pendidikan yang mesti kita ingat ialah tidak harus seorang insan menghafal apa yang dia tidak faham, begitu juga dia tidak boleh mengajar kanak-kanak menghafal serta mengulang-ulangbaca sesuatu yang tidak difahami. Ini kerana kaedah ini akan menyebabkan seseorang itu merasa cukup dengan menghafal lafaz perkataan tanpa berusaha berfikir tentang maknanya. Inilah adat yang sangat buruk dalam perkembangan pemikiran seseorang."

Cara untuk mengatasinya adalah dengan mengajar anak-anak mengaji quran lebih awal, akan tetapi dengan memilih surah-surah yang boleh dihayati oleh mereka, agar anak-anak belajar memahami ayat-ayat quran semenjak kecil, bukan sekadar menghafal semata-mata.

Itulah pendapat penulis buku ini tentang mengajar anak-anak mempelajari quran...

Pada pendapat saya, ibubapalah yang memilih corak pendidikan anak-anak, jika ibubapa inginkan anak-anak yang betul-betul menghayati agama ini, maka ibubapa akan memilih corak pendidikan yang sesuai, yang mengajar anak-anak berfikir secara kreatif, bukannya menghafal semata-mata.

Namun apa yang berlaku didalam masyarakat Muslim sekarang (seluruh dunia) ialah kita begitu berlumba-lumba mengajar anak-anak menghafal quran tanpa memahami apa yang mereka sebut.

Teringat cerita Syeikh Yusuf Qaradawi pada malam "Lailatul Muqri' Assaghir" Ramadhan lepas, yang mana beliau telah bertemu ramai remaja Islam yang menghafal quran keseluruhannya akan tetapi tidak tahu sepatahpun perkataan Arab, hinggakan bila ditanya 'ma ismuk' pun tidak mampu dijawab. Gharib...tapi itulah realiti semasa umat Islam.

Maka apakah anak-anak yang menghafal semata-mata ini termasuk ke dalam golongan 'orang-orang yang mengetahui' sebagaimana yang disebut didalam quran "katakanlah apakah sama golongan yang mengetahui dan golongan yang tidak mengetahui?"

Apakah yang dapat kita fahami daipada hadis Rasulullah yang bermaksud "sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran serta mengajarkannya"? Apakah ia hanya meliputi mempelajari dan mengajar tajwid dan bacaan Al-Quran semata-mata? Ataupun ia meliputi belajar memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri?

Apakah kita mampu memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran tanpa mempelajari bahasa Arab?
Jika penulis sebagai orang Arab mengingatkan masyarakat beliau agar mengajar anak-anak memahami isi kandungan al-Quran sebelum menghafalnya, apa lagi kita sebagai orang ajam...

Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas