Buat Baik Dibalas Baik
Sepanjang berada dikampung, saya sempat mendengar beberapa cerita yang disampaikan tentang majlis perkahwinan yang negatif, yang mana akhirnya mengakibatkan rumahtangga yang baru dibina berkecai.
Bila melihat trend majlis perkahwinan hari ini, terasa banyak sangat pembaziran yang dilakukan, yang mana kadang-kadang ia mampu mengugat kedamaian sebuah mahligai yang baru dibina.
Pelbagai tema dan persiapan rapi dilakukan agar majlis yang dianjurkan berjaya menepati citarasa pasangan 'raja sehari'. Apa yang dipentingkan ialah penampilan luaran, hingga kadang-kadang mereka terlupa bahawa penampilan dalaman lebih mampu mengikat keutuhan sesebuah keluarga.
Mungkin pada awal perkahwinan segalanya masih belum terasa kerana segalanya masih manis. Orang yang selalunya merasai kesusahan mengatur majlis tersebut ialah ibubapa kedua-dua belah pihak, yang mana selalu dipandang sebelah mata oleh pasangan baru tersebut.
Diantara kisah yang diceritakan ialah layanan yang diberikan kepada pihak yang bertandang, terutama bagi pasangan yang berkahwin berlainan negeri. Ini belum lagi kes kahwin berlainan negara...
Kadang-kadang keluarga pengantin terlupa bahawa tetamu mereka datang dari jauh, dengan kepenatan perjalanan jauh, apalah salahnya mereka dilayan selayaknya sebagai tetamu. Ini tidak mereka diduga dengan pelbagai layanan negatif, yang mana tujuan mereka ialah ingin menguji apakah mereka betul-betul menerima anak mereka.
Apa yang masing-masing tahu ialah 'buat baik dibalas baik, buat jahat...alamatnya berkecailah rumahtangga baru, ataupun hidup dalam keadaan tidak tenang.
Jika kita menganggap mereka sebagai tetamu, layanlah mereka dengan baik sebagaimana yang dianjurkan dalam agama kita. Ada adab-adab yang mesti kita ikuti agar tetamu merasa terhibur berada ditempat kita.
Jika kita menganggap mereka sebagai saudara kita, bakal mertua anak sendiri, bakal menjadi saudara-mara anak sendiri, tentu layanan lebih baik diberikan. Itulah kaedahnya.
Namun begitu bila penampilan luaran yang dipentingkan, keseragaman pakaian pengantin yang diutamakan, tanpa mengambilkira perasaan pihak kedua, ia akan menjadi titik negatif dalam kehidupan seterusnya.
Ada kisah keluarga pihak lelaki pulang dengan perasaan marah-marah serta tidak puas hati, yang mana akhirnya perkahwinan berakhir dalam tempoh yang amat singkat. Ada pula yang berada dalam dilema...hanya kerana sedikit kesilapan.
Apalah maknanya bercinta bertahun-tahun bila perasaan ibubapa tidak diambilkira. Apakah mereka cuma mahu hidup berdua sebagaimana yang diilusikan selama tempoh percintaan. Ataupun berpijak dibumi yang nyata agar kehidupan seterusnya menjadi manis untuk dikenang.
Kaedahnya adalah mudah...buat baik dibalas baik, jadi pastikan apa jua tindakan kita adalah baik. Serta ingatlah "Adab dengan tetamu" layanilah mereka sebagaimana kita ingin dilayan suatu ketika nanti.
Jangan sesekali membuatkan mereka terasa bahawa kehadiran mereka tidak diingini...kerana kesannya amat pahit. Fikir-fikirkanlah...
Jangan sesekali membuatkan mereka terasa bahawa kehadiran mereka tidak diingini...kerana kesannya amat pahit. Fikir-fikirkanlah...
Ulasan