Tiba-tiba Rindu...

Entah kenapa pagi-pagi lagi terasa rindu pada kampung halaman, ingin menatap wajah ibu dan ayah, serta adik-beradik yang jauh dimata. Moga Allah merapatkan ikatan kasih-sayang kami sekeluarga.

Beginilah kisah hidup diperantauan, jauh daripada insan yang ada pertalian darah dengan kita, hidup dalam keluarga kecil sahaja iaitu suami dan anak-anak.

Dalam situasi orang yang kahwin antara dua benua, saya mestilah redha dengan pilihan saya, iaitu berjauhan dengan insan-insan tersayang. Namun begitu hati masih tertanya-tanya apakah diri ini mampu menerima hakikat jika diminta untuk berada ditanahairnya...lagi jauh dan susah untuk berulang-alik ke tanahair.

Mungkin 15 tahun dahulu saya tidak pernah memikirkan tentang realiti yang akan saya tempuhi pada masa sekarang, apatah lagi 15 tahun mendatang. 

Oleh itu, jika kita tidak kuat, maka pilihlah insan-insan yang dekat dengan keluarga kita, agar senang kemudian hari...

Teringat juga kata-kata kakak dan adik ipar tahun lepas..."wanita Tunisia begitu banyak berkorban untuk suami mereka...". Ketika itu hati saya jadi begitu sedih, kerana betapa besarpun pengorbanan kita, tiada siapa yang nampak, apa yang mereka nampak hanyalah diri mereka...

Apa yang saya rasa hanyalah, kelemahan diri yang tidak mampu merancang dalam jangka masa panjang, jika merancang sekalipun saya tidak kuat untuk mempertahankan keinginan itu, akhirnya semua perancangan bertukar, dan saya kembali mencari kekuatan diri semula.

Begitulah kehidupan wanita selepas bersuami, kita mestilah bersedia menerima apa yang terbaik untuk keluarga kita...tidak boleh hanya memikirkan keinginan hati kita semata-mata.

Alhamdulillah...buat masa sekarang keinginan kami sama, iaitu ingin berada disini, ditengah-tengah antara dua benua, agar memudahkan kedua-dua pihak.

Namun begitu saya masih belum bertemu apakah yang dapat saya sumbangkan disini...itulah penyebab utama  hati saya merasa kosong.

Saya masih belum ditemukan dengan satu tempat yang mana saya dapat melepaskan keinginan hati ini, iaitu menyampaikan ilmu bagi insan yang mahu berfikir.

Moga Allah memudahkan saya memenuhi keinginan hati ingin berkongsi ilmu dengan insan2 yang sudi mendengarnya.

Apakah yang mampu saya lakukan untuk Ummah? Apakah dibumi ini ataupun ditempat lain yang masih menjadi misteri? Kita hanya merancang tetapi segalanya ditentukan oleh Allah swt...





Ulasan

Maryamnour berkata…
saya doakan akak jumpa sesuatu untuk mengisi 'kekosongan' itu. saya mungkin masih jauh dari merasa itu. tapi saya sudah merasainya sedikit. Berada di tempat orang, tanpa dapat menyumbang menjadikan hari terasa kosong.Sirii ala barakatillah. Moga Allah mudahkan niat baik kita
Aliza Yunus berkata…
Terima kasih Maryam...
Sememangnya bila berada jauh dirantau orang, kita jadi rindu...paling kurang rindu untuk berbahasa ibunda...sebab itulah bila nampak kelibat orang seakan-akan melayu kita jadi begitu mudah untuk menyapa mereka.
Alhamdulillah kat sini ada orang Melayu, tetapi semasa di Tunisia, hanya anak-anak saja pengubat hati, nasib baik mereka dapat bercakap melayu walaupun sikit-sikit.
Moga Allah memberkati niat murni kita. Amin.
Unknown berkata…
Assalammualaikum, berkongsi idea di blog pun dah dikira berkongsi ilmu. Aliza boleh selalu melayari blog kawan2 untuk menghilangkan kerinduan atau melepaskan kesunyian. Seperti kakzana juga, walau hanya seberang laut sedikit je, rindu menebal dlm hati. Mudah2an apa yg Aliza hajati dimakbulkan satu hari nanti, insyaAllah.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat