Pertengahan Ramadhan

Salam Ramadhan dan Salam Jumaat...

Alhamdulillah kita berpeluang untuk bertemu Ramadhan sekali lagi.
Bagi saya, Ramadhan tetap Ramadhan...ia begitu istimewa walau dimanapun saya menyambutnya.

Namun begitu bagi anak-anak, Ramadhan mereka sentiasa berubah-ubah, beberapa  tahun di Oman, tahun lepas di Tunisia dan kali ini di kampung bersama Datuk dan nenek mereka.

Sekali fikir, kesian melihat mereka yang terpaksa menghadapi pertukaran waktu berpuasa, tetapi sebenarnya mereka bertuah kerana sudah dapat merasa pengalaman berpuasa dalam tempoh yang panjang ketika kami berada di Tunisia. Sesungguhnya itulah pengalaman yang tidak boleh dijualbeli.

Alhamdulillah, anak-anak biasa melakukan aktiviti bersama-sama, jadi Ramadhan pun mereka sama-sama mengingatkan tentang puasa, serta berlumba-lumba untuk berpuasa.

Alhamdulillah, mereka juga tidak cerewet dengan makanan sewaktu berbuka puasa. Ketika orangramai berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa di Bazaar Ramadhan, mereka kehairanan kerana inilah kali pertama mereka melihat begitu ramai penjual menjual makanan.

Prinsip yang mereka pegang ialah 'makan makanan yang  umi masak, ia lebih bersih dan berkhasiat'. Jadi mereka tidak berminat untuk merasa makanan yang dibeli dari luar. Alhamdulillah 'ala kulli  hal.

Bayangkan pula suasana di Kelantan dalam bulan puasa, pelbagai makanan yang menaikkan nafsu makan kita terbentang didepan mata. Sebutlah apa makanan yang teringin dimakan semuanya ada terjual di bazaar Ramadhan.

Apa yang lucu, banyak poster makanan ditambah Arab dibelakangnya, hinggakan ayam percik Arab pun ada terjual...Apakah rakyat Kelantan begitu taksub dengan perkataan Arab?

Sekali tengok memang terkejut, tetapi setelah 7 tahun berpuasa dalam suasana sederhana, tiada apa yang mampu menarik hati ini untuk membelinya. Akhirnya balik rumah dan masak sendiri, apa yang ada...ia lebih memberi ketenangan pada hati.

Persoalannya, apakah yang kita ingin cari pada bulan Ramadhan? Apakah bentuk puasa kita? Apakah pula didikan yang ingin kita sediakan buat diri kita selepas Ramadhan berlalu meninggalkan kita?

Teringat pula poster yang digantung berhampiran bazaar Ramadhan..."kurangkan makan" tertulis dalam tulisan jawi. Itulah peringatan kepada masyarakat di Kelantan dalam bulan puasa kali ini...agar mengurangkan makan.

Bagaimanakah kita ingin mengurangkan makan jika pelbagai juadah yang sedap-sedap terjual, yang mana susah untuk kita temuinya di luar bulan Ramadhan.

Namun begitu, latihlah diri kita untuk bersederhana, latihlah diri kita untuk mengawal keinginan kita untuk makan, moga Ramadhan kali ini mampu mendidik kita dan keluarga kita untuk mengawal nafsu makan.

Nafsu inilah yang amat sukar untuk ditundukkan, jika kita mampu mendidiknya, insya Allah itulah kejayaan kita pada Ramadhan kali ini.

Moga kita berjaya menghidupkan Ramadhan kali ini dengan pelbagai amal-ibadah, yang mampu kita teruskan kesinambungannya selepas Ramadhan berlalu.

Moga kita juga tergolong ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa...sebagaimana tujuan berpuasa yang disebutkan di dalam al-quran. Amin.



Ulasan

Saadah Khair berkata…
Seperti kata Prof Tariq Ramadan ketika kunjungannya ke UIA: "During Ramadan, Muslim should eat & talk less, think & pray more". Ramadan Kareem kak!

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas