Suatu Malam di Bahagian Terakhir Ramadhan

Salam Ramadhan...

Alhamdulillah, kita akan memasuki bahagia terakhir Ramadhan, apakah ibadah-ibadah kita kali ini lebih baik daripada sebelumnya?

Moga kita dapat melipatgandakan usaha-usaha kita untuk meraih Rahmat bulan ini, dan berusaha menaikkan darjat kita ke golongan orang-orang muttaqin.

Bila menaipkan perkataan 'malam lailatulqadar', pelbagai posting muncul diskrin komputer. Ia adalah suatu malam yang ditunggu-tunggu dan dicari-cari oleh setiap umat Islam yang beriman.

Apakah kefahaman kita tentang malam ini? Dalilnya begitu kuat yang mana Allah swt menegaskan didalam Al-Quran dalam Surah Al-Qadr bahawa malam ini seumpama seribu bulan.

Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri berkaitan malam ini, ada yang pelik-pelik, dan ada yang biasa-biasa. Jadi berusahalah untuk mendapatkan anugerah Ramadhan kali ini. Moga kita berjaya menemuinya.

Teringat pengalaman Ramadhan sembilan tahun yang lalu...terasa ingin mengongsikannya disini.

Ketika itu saya seperti anda semua, berdoa agar ditemukan dengan malam yang mulia ini, namun begitu amal-ibadah tidak sebanyak orang yang bertungkus-lumus mencarinya.

Alhamdulillah, suatu malam ketika bangun untuk menyiapkan makanan sahur, tiba-tiba saya terasa ada sesuatu yang tak lengkap, yang belum dilaksanakan, kepala terasa berat ingin sujud...hati tertanya-tanya apa yang berlaku?

Akhirnya niat awal bertukar menjadi saat beribadah kepada Allah swt, hinggalah akhirnya kami bersahur ala kadar sahaja pada malam itu.

Jika selalunya saya akan menjenguk-jenguk ke luar rumah untuk melihat tanda-tanda seperti yang dijelaskan oleh ulama Islam, tetapi malam itu saya tidak mampu melakukan apa-apa kecuali sujud kepada-Nya. Esoknyapun saya masih belum mampu menyatakan apa-apa rumusan atas apa yang berlaku pada malam itu.

Dalam suasana khusyuk tersebut, saya cuba membangunkan suami tetapi gagal...tiba-tiba anak ke-3 saya (berumur 3 tahun) bangun dan turut bersujud berulang-ulang kali disebelah saya. Dia tidak mengendahkan saya, cuma bersujud berulangkali kemudian kembali tidur semula tanpa apa-apa kerenah.
Alhamdulillah 'ala kulli hal...

Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku? Mengapa suasana tersebut tidak berulang lagi? Sesungguhnya saya amat merindui kedamaian malam itu?

Tahun lepas, ketika kami berpuasa di Tunisia, saya merasai keadaan pelik iaitu pada suatu malam ayam berkokok bersahut-sahutan sehinggalah subuh. Namun kedamaiannya tidak sama dengan malam yang telah berlalu sembilan tahun yang lalu.

Ia adalah satu suasana baru buat saya kerana biasanya anjing turut menyalak tiap-tiap malam, maklumlah rumah mertua berdekatan kebun yang menggunakan anjing sebagai pengawalnya.

Hati tertanya-tanya mengapa tiada salakan anjing pada malam tersebut?

Biar apapun yang berlaku, sematkan azam dalam diri untuk melakukan sebaik mungkin untuk Ramadhan kita kali ini.

Bagi saya, setiap tempat suasananya Ramadhannya berbeza, tetapi kita yang menentukan apakah bentuk Ramadhan yang ingin kita tempuhi. Moga Ramadhan kita kali ini mampu menjadi titik tolak perubahan hidup kita ke arah yang lebih baik.

Ramadhan kareem...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman