Didik Anak ketika Kecil

Alhamdulillah...

Menjadi surirumah sepenuh masa, apakah ia pilihan yang tepat?
Mengapa wanita perlu berada dirumah, sedangkan dunia luar sana mampu menyediakan segala keperluan kita jika kita berduit?

Di mana-mana saja kita berdepan dengan persoalan perlukah wanita berada dirumah. Ramai yang memandang sebelah mata, kerana inilah kerjaya paling rendah disisi wanita terpelajar hari ini.

Itulah pengalaman saya bila bertemu dengan bekas-bekas pelajar yang suatu masa dulu begitu mengagumi, tetapi apabila saya menyebutkan bahawa saya berada dirumah sebagai surirumah sepenuh masa, nada suara mereka berubah seolah-olah saya tersilap membuat keputusan.

Bagi saya, inilah waktunya saya berada bersama-sama dengan anak-anak untuk mendidik mereka, iaitu ketika mereka masih kecil. Dalam masa yang sama saya menyediakan diri sendiri untuk berhadapan dengan dunia luar apabila mereka besar nanti dan akan memilih jalan hidup mereka sendiri.

Ramai wanita yang tersilap membuat keputusan untuk berada dirumah apabila anak-anak sudah meningkat remaja ataupun sudah besar. Ketika itulah apalah yang dapat kita lakukan lagi untuk anak-anak kita, pepatah kita mengatakan....melentur buluh daripada rebungnya.

Anak-anak yang membesar dalam perhatian dan kasih-sayang akan menjadi insan yang lebih memahami hati dan perasaan orang lain, berbanding anak-anak yang tidak mendapat perhatian yang sepatutnya.

Waktu anak-anak dalam proses membesar adalah waktu terbaik untuk kita sentiasa berada bersama-sama mereka, kerana ketika itu mereka amat memerlukan perhatian ibubapa. Mereka perlukan tempat untuk meluahkan kerisauan mereka, tempat untuk mengadu, teman untuk berbicara serta pelbagai keinginan lain.

Jika ibubapa begitu sibuk pada waktu ini, perhatian mereka akan beralih ke luar rumah, ketika itu mereka akan tercari-cari siapakah yang boleh memenuhi kekosongan ini. Jika mereka bertemu dengan rakan-rakan yang baik, akan baiklah perjalanan hidup mereka nanti, begitulah sebaliknya.

Masa terus berjalan, anak-anak akan membesar hingga suatu masa kita akan merasakan bahawa tugasan kita dirumah semakin berkurang, ketika itu fikirkanlah untuk memberi. Itulah masanya kita keluar berkongsi pengalaman hidup dengan masyarakat disekeliling.

Apabila kita meluangkan masa berada bersama-sama anak-anak sambil berkongsi kisah dan pengalaman hidup dengan mereka, anak-anak akan memiliki memori positif bersama-sama ibubapa, yang akan menjadi kenangan manis sepanjang hidup mereka.

Apabila kita selalu berinteraksi dengan anak-anak, mereka lebih mudah mendengar kata dan kita akan mampu menpengaruhi cara mereka berfikir. Moga kita mampu menyuntik kata-kata positif yang mampu lekat dalam memori anak-anak apabila mereka besar nanti.

Itulah gunanya ilmu yang kita pelajari apabila ia menjadi sumber rujukan anak-anak yang hidup dengan kita.

Memang diluar rumah, kita mampu menyediakan segala-gala keinginan nafsu, tetapi kita tidak mampu menyediakan kasih-sayang yang tidak berbelah-bagi untuk anak-anak kita. Tiada insan lain yang mampu menyediakan keperluan asasi anak-anak kecil kecuali ibu mereka.

Anak-anak yang dibesarkan dengan perasaan kasih sayang akan membesar menjadi insan yang mengasihi orang lain, memahami hati dan perasaan orang lain, bukannya insan yang hanya mencari kesempatan dalam hubungan sesama insan.

Sebenarnya begitu banyak ilmu yang mampu kita curahkan kepada anak-anak ketika mereka masih kecil, yang akan membentuk acuan hidup mereka apabila besar nanti.

Kasih-sayang itulah yang banyak membentuk sifat-sifat positif dalam diri seseorang insan, manakala kekurangan kasih-sayang jugalah yang menyebabkan timbulnya sifat-sifat negatif seperti berbohong, menipu, menekan orang lain dan sebagainya.

Moga anak-anak kita membesar dengan kenangan manis, serta mampu membantu insan-insan lain disisi mereka menempuh hidup pada zaman mereka yang amat berbeza daripada zaman kita.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat