Kerja Rumah Sebagai Meditasi

Bismillah...
Alhamdulillah....

Hari ini saya berniat untuk berkongsi satu tips yang amat berguna buat surirumah dalam mengurus rumahtangga, iaitu menjadikan rutin rumahtangga sebagai satu teknik meditasi.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa berada dirumah sebagai surirumah boleh menyebabkan tekanan emosi bagi wanita yang kurang pandai mengurus diri.

Ketika itu kita akan terasa bahawa tugasan kita begitu banyak, daripada membersih, mengemas, memasak, menjaga anak-anak. Semuanya kita akan lakukan secara berulang-ulang tanpa ada pilihan, kadang-kadang kita terpaksa melupakan waktu untuk diri sendiri.

Apa kata kali ini kita cuba melihat segala tugasan kita daripada sudut lain, iaitu jadikan ia sebagai satu teknik meditasi yang mampu memberi ketenangan kepada kita.

Insya Allah jika ia dipraktikkan setiap hari, ia akan menjadi satu rutin yang menarik untuk diamalkan serta disebarkan.

Dalam masa yang sama kita akan mampu menjimatkan masa kita, iaitu bila kita memanfaatkan tugasan harian kita sebagai teknik meditasi, kita akan terasa lebih tenang. Malah tugasan seharian kita dapat dilaksanakan dalam keadaan teratur dan terancang.

Sebagai contoh, membasuh pinggan-mangkuk boleh dilakukan secara tergesa-gesa ataupun sebagai meditasi, iaitu kita lakukan secara tenang dan fokus.

Begitu juga membersih dan mengemas rumah sama ada mengemop, mengelap, menyapu ataupun menggunakan vacuum cleaner boleh dilakukan mengikut citarasa kita, secara tergesa-gesa ataupun kita lakukan sebagai satu teknik meditasi.

Diantara teknik yang boleh kita amalkan sebelum memulakan tugasan tersebut ialah:
1. Cuba imbangkan tubuh dan fokuskan fikiran kepada tugasan tersebut.
2. Pastikan kita memilih apakah yang ingin dilakukan dengan tepat, kemudian barulah mulakan tugasan tersebut.
3. pastikan kita memberi tumpuan sepenuhnya serta hayati setiap gerakan kita semasa melakukan tugasan tersebut.
4. Berikan juga perhatian pada kaki, perut, bahu dan belakang kita, serta bayangkan setiap pergerakan kita bermula daripada tengah badan.
5. Cubalah lakukan secara terbaik serta fokus, serta elakkan daripada melakukannya secara tergesa-gesa ataupun jalan pintas.
6. Fokuskan pemikiran sepenuhnya semasa melakukan gerakan tugasan tersebut, lupakan segala masalah lain.
7. Bila dilakukan secara fokus dan tenang, kita akan mampu menyiapkan tugasan lebih cepat serta lebih baik hasilnya. Kesan lainnya ialah kita akan berasa lebih tenang pada akhirnya.

Sebenarnya jika kita pandai mengambil peluang untuk mempraktikkan meditasi semasa melakukan tugasan seharian kita, kita akan mahir dalam melaksanakan tugasan kita tanpa meninggalkan kesan negatif dalam diri kita. Oleh itu cubalah untuk memfokuskan kepada proses melaksanakan tugasan seharian kita.

Sebagai contoh, seorang surirumah yang memberi tumpuan penuh semasa membersihkan habuk dirumahnya akan mampu menyiapkan kerja tersebut dengan cepat, serta beliau akan mampu mengekalkan kestabilan emosi sepanjang melakukan tugas tersebut.

Namun begitu pastikan tiada sesiapa mengganggu kita semasa kita fokuskan perhatian kita untuk menyiapkan tugasan tersebut. Jika anda memiliki anak kecil, pastikan meditasi tersebut dilakukan ketika anak-anak tidur ataupun ada orang lain menemani mereka.

Moga kita mampu memberikan yang terbaik buat keluarga yang kita sayang, dengan melakukan dua dalam satu tugas...jadikan kerja rumah sebagai meditasi seharian kita.

Jika anda inginkan kesan yang lebih baik, gunakan masa tersebut untuk berzikir apa-apa zikir yang disukai ataupun mana-mana asmaul husna. Ini kerana zikir akan memberi kesan lebih baik untuk tubuh dan emosi kita.

Sama-samalah kita amalkan agar tugasan kita lebih bermakna buat diri dan keluarga. Janganlah kita menganggap kesibukan menghalang kita daripada memberi masa buat diri.

Moga kita dapat beroleh ketenangan dalam melaksanakan tugasan kita. Amiin.

 

Ulasan

Srikandi berkata…
Assalamualaikum kak..

Lama tak menyinggah di sini.Terima kasih banyak2 atas tips di atas.Memang benar apa yg akak terangkan di atas.Kerja yang terburu-buru dan tergesa-gesa hanya boleh menghasilkan penat dan lelah sahaja,akhirnya anak2 jadi mangsa leteran.Jika sesuatu d lakukan dgn penuh fokus dan tenang pasti kita dpt manfaat daripadanya.Malah pahala berlipatganda mungkin.Teruskan menulis akak ya :)

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas