Hadis tentang Mimpi
Alhamdulillah hari ini saya ingin berkongsi satu hadis yang diriwayatkan didalam Sahih Bukhari tentang mimpi.
Hadis ini diriwayatkan daripada Abi Said Al-Khudri, sesungguhnya beliau mendengar Nabi sallalahu'alaihi wassalam bersabda:
"Apabila seseorang kamu bermimpi dengan mimpi yang disukainya, maka mimpi itu dari Allah. Maka hendaklah dia memuji Allah kerananya dan boleh diceritakannya kepada orang lain. Tetapi apabila dia bermimpi apa yang dia tidak sukai, maka sesungguhnya mimpi itu dari syaitan. Sebab itu hendakalah dia berlindung (kepada Allah) dari bahaya mimpi itu dan tidak perlu diceritakannya kepada sesiapa pun kerana mimpinya itu tidak akan berbahaya kepadanya."
Sungguh indah kehidupan seorang Muslim, jika setiap apa yang berlaku kepadanya disandarkan kepada Allah subhanahu wataala. Begitu indah juga bila setiap apa yang ingin dilakukan diambil pelajaran daripada perkataan dan perbuatan Rasulullah sallalahualaihi wasallam.
Sesungguhnya Rasulullah saw menceritakan kepada kita pelbagai perkara yang mungkin tak pernah kita gambarkan, termasuklah perkara berkaitan mimpi.
Ramai orang menyatakan mimpi adalah mainan tidur, akan tetapi baginda SAW menceritakan kepada kita dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a, dimana Rasulullah saw bersabda: "Mimpi baik yang dimimpikan oleh seorang seorang yang baik, adalah satu bahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian (nubuwwah)."
Jadi mimpi adalah satu isyarat atau petunjuk kepada kita. Selalunya jika kita mendapat mimpi gembira, hati kita akan terasa gembira sepanjang hari, tercetus harapan dihati, moga mimpi tersebut menjadi realiti.
Namun begitu kadang-kadang kita didatangi mimpi-mimpi yang buruk menyebabkan kita berasa ketakutan, mungkin mimpi tersebut betul-betul akan berlaku kepada kita. Hadis ini mengingatkan kita bahawa Rasulullah saw pernah berpesan bahawa mimpi buruk tidak akan memberi bahaya kepada kita. Dalam pada itu, kita hendaklah mendiamkan diri, tanpa menceritakannya kepada sesiapa.
Manakala mimpi yang elok hendaklah kita ceritakan kepada orang lain, moga ia mampu memberi manfaat kepada mereka. Betapa indahnya ajaran ini.
Jadi bila membaca hadis ini, saya terasa bersalah kerana terdapat diantara mimpi yang pernah saya alami, hanya saya ceritakan kepada insan-insan tertentu sahaja. Sebenarnya saya takut untuk menceritakan kerana terbawa-bawa dengan pendapat yang saya pegang suatu ketika dulu, iaitu jangan diceritakan mimpi kita kepada orang lain.
Ada satu mimpi yang indah tapi ia menyebabkan airmata bercucuran bila menceritakannya. Mimpi itu didatangkan untuk memberi kekuatan kepada diri ini, disaat hidup ini begitu tertekan. Hanya Allah swt yang mengetahui betapa peritnya kehidupan saya ketika itu.
Mimpi itu juga menjadi sumber kekuatan diri ini setiap waktu, pada saat-saat diri bersendirian tanpa ada insan yang memahami. Betapa Allah amat mengetahui apa sebenarnya yang kita inginkan...bila kita memohon agar diberi kekuatan DIA kurniakan satu jalan yang indah, meskipun ia hanyalah satu mimpi.
Alhamdulillah Allah kurniakan mimpi tersebut, ketika saya tidak lagi mengkaji tentang cara-cara untuk mendapatkannya, serta tidak melakukan apa-apa amalan tertentu( kecuali amalan biasa sebelum tidur), juga tidak mengamalkan sunnah tidur tertentu, sebagaimana maklumat yang pernah saya baca tentangnya.
Malah Insan Agung yang saya temui dalam mimpi tersebut juga menepati apa yang pernah saya pelajari sewaktu belajar pengkhususan sunnah. Alhamdulillah...
Namun begitu setelah lebih lima tahun mimpi tersebut berlaku, saya masih lagi terbayang-bayang susuk-tubuh Insan Agung itu, dalam jubah lusuh yang seolah-olah dicelup sibghah. Begitu juga masih terngiang-ngiang ditelinga kata-kata baginda, ketika saya memohon agar baginda doakan saya.
Indahnya kurniaan itu, mengatasi segala keinginan saya didalam hidup ini. Moga Allah swt kurniakannya lagi dan lagi...
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apabila kita diasingkan, tanpa ada sesiapa mengingati, tanpa ada insan bertanya khabar, tetapi kita masih teguh berpegang pada prinsip diri, dan hanya berserah kepada-Nya. Itulah ubat yang paling berharga didalam hidup saya, alhamdulillah.
Mimpi ini akan tetap tersimpan dalam diri ini, serta saya masih mencuba untuk menyempurnakan apa yang saya lihat didalam mimpi tersebut. Moga Allah memudahkan urusan saya, untuk menyediakan dua buah botol air yang diisi didalam bekas yang cantik serta tertutup, ketika begitu banyak bekas-bekas air terbuka bersepah-sepah disana-sini, untuk dihadiahkan kepada baginda.
Apakah dua bekas air yang terbaik untuk ku hadiahkan kepada baginda? Saya masih tertanya sehingga kini. Ya Allah mudahkanlah urusanku, serta berikanlah petunjuk-Mu..Amiin.
Moga mimpi itu bukan sekadar mimpi, tetapi berisi hikmah yang mampu diungkapkan suatu hari nanti. Amiin.
Ulasan