Sekeping Kertas Sebuah Ilusi

Alhamdulillah saya masih berpeluang untuk menulis disini lagi...

Kadang-kadang terasa ingin menulis serta meluahkan segala isihati disini, tetapi kadang-kadang terasa bahawa itu adalah kerja sia-sia, serta tidak memberi manfaat pada diri sendiri.

Bila menoleh kembali kehidupan yang dilalui selama ini, serta pelbagai dugaan hidup yang berpanjangan, saya akur bahawa segalanya hanyalah berpunca daripada sekeping kertas yang dikejar selama ini. 

Saya juga harus akur bahawa sekeping kertas itu jugalah yang akan terus menjadi beban sepanjang hidup saya. Jika orang lain berusaha, akhirnya akan terlihat hasil, bak membayar ansuran bulanan akhirnya dapat sebuah rumah, tetapi saya akan terus membayar hanya untuk segulung kertas. 

Perjuangan untuk mendapatkan sekeping kertas tersebut amatlah berat, kemudian ia menjadi tali untuk mengikat leher pemegangnya. Apakah pemegangnya mampu mengatasi segala ujian ini, serta menganggapnya hanyalah satu ilusi ataupun hanya berserah kepada takdir?

Ini hanyalah satu ujian diantara pelbagai ujian yang silih berganti semenjak memilih untuk mengutamakan keluarga daripada kerjaya. Moga Allah memberi kekuatan untuk saya menghadapinya, serta memudahkan saya untuk melunaskan hutang yang menggunung tinggi tersebut. 

Walauapapun saya sentiasa yakin bahawa Allah swt telah menetapkan sesuatu ketetapan yang terlalu indah buat diri ini, meskipun saya masih lagi mencari...dimana akan ku mulainya?

DIA yang Memberi, DIA juga yang mengambilnya kembali....hanya itulah bait-bait kata untuk menguatkan hati sendiri bila mengenangkan dugaan yang ditempuhi.

Terkadang hati terasa kecewa, bila diimbas akan terasa segala perjuangan lalu hanyalah sia-sia...tapi sebagai insan yang beriman saya mesti akur bahawa inilah asbab yang disediakan-Nya kepada saya untuk menempa kejayaan.

Sekeping kertas itu hampir-hampir menghancurkan hidup keluarga saya, bila saya memilih untuk memperbaiki keluarga terlebih dahulu, memilih untuk mengikut petunjuk-Nya, kesannya saya terbeban dengan polisi dan keputusan yang tidak berpihak kepada saya. 

Bila berfikir arah manakah yang akan saya pilih, ilusi manakah yang akan diikuti...hati berkata...pulanglah ke tempat asalmu, kerana disitu akan kau temui kembali kekuatanmu...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat