Mendidik Anak-anak

Tugas mendidik anak-anak pada zaman sekarang bukan mudah. Kita tidak boleh meniru bulat-bulat cara didikan ibubapa kita dahulu. Ini kerana perubahan corak dan gaya hidup masyarakat kini. Jadi dari mana kita boleh mendapat model untuk mendidik anak-anak? Apakah cara lama memberikan kesan negatif kepada anak-anak? Apakah pendidikan paling utama untuk anak-anak kita?

Menjawab persoalan pertama, dari mana kita boleh mendapat model untuk mendidik anak-anak pada zaman ini? Kalau masyarakat dulu belajar daripada orang yg lebih tua daripada mereka dalam mendidik anak-anak, masyarakat hari ini tidak boleh bergantung terus kepada generasi yg lebih tua daripada mereka. Ini kerana kita lebih memahami corak hidup zaman sekarang, lebih tahu tentang perkembangan semasa, penggunaan teknologi baru dan sebagainya. Jadi cara didikan anak-anak hari ini banyak bergantung kepada ilmu, ibubapa perlu mencari ilmu keibubapaan dengan menghadiri seminar kekeluargaan, mengikuti program pemantapan diri, seminar mendidik anak-anak dan sebagainya.

Jadi ibubapalah yg perlu menjadi model kepada anak-anak sendiri, kita tidak boleh lagi menjadi pak turut dalam mendidik anak-anak kerana cabaran yg terlalu hebat dewasa ini. Namun begitu asas utama dalam mendidik adalah pendidikan aqidah anak-anak, ia adalah perkara yg amat sukar untuk dilaksanakan kecuali kita betul-betul faham tentang kesyumulan agama Islam. Kalau kita lihat orang tua kita tidak pernah mempersoalkan tentang perkara aqidah, tapi zaman ini amat perlu kita dedahkan anak-anak kita untuk berfikir tentang kewujudan Allah swt, tentang kekuasaanNya dan RahmatNya.

Pengenalan rukun Iman adalah perkara utama untuk kita tekankan agar anak-anak kita tahu mengapa mereka Muslim. Dedahkan kepada anak-anak kita tentang kejadian alam sekitar yang hebat, hubungan diri kita dan alam sekitar agar mereka memahami hakikat Pencipta diri mereka sendiri. Tunjukkan kecantikan Islam kepada anak-anak agar mereka menghargai diri mereka dilahirkan sebagai seorang Islam. Carilah ilmu, belajarlah, perbetulkan diri kita agar kita mampu menjadi contoh kepada anak-anak. Dalam masa yang sama kita kaitkan tentang amalan yang perlu kita laksanakan sebagai seorang Muslim. Kesabaran adalah perkara pokok dalam mendidik anak-anak, ini kerana anak-anak zaman ini terlalu bijak dan mempunyai pelbagai soalan yg mengugat kita sebagai orang tua mereka.

Jadi bagaimana dengan didikan untuk solat? Bagaimanakah cara untuk mendedahkan mereka kepada amalan ini? Perlukan paksaan dibuat kepada mereka untuk solat?
Menurut hadis Rasulullah SAW yg bermaksud: "Ajarlah anak-anakmu menunaikan solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika tidak mengerjakannya ketika mereka berumur 10 tahun"- Hadis Riwayat Ahmad dan abu daud

Dalam hadis ini Rasulullah mengajar kita supaya mengajar anak-anak solat dalam tempoh tiga tahun, bukan dalam masa yang singkat. Tempoh masa tiga tahun cukup untuk mendidik mereka memahami mengapa mereka perlu solat. Mulakan dengan mengajar mengambil air sembahyang, amalan solat satu waktu dahulu iaitu waktu terbaik yang disukai mereka agar mereka dapat menjaga waktu tersebut, kemudian boleh ditambah dua waktu dan seterusnya. Kita hendaklah berhikmah dalam mendidik anak-anak solat, janganlah kita menjadi penyebab mereka bencikan amalan solat. Kebijaksanaan kita dalam mendidik akan menjadikan anak-anak suka mengerjakan ibadat solat, asas tiang agama.

Janganlah kita terlalu mendesak dan berkeras dalam menyuruh mereka solat. Ini kerana kita mengharapkan agar anak-anak kita faham bahawa "solat akan mencegah mereka daripada melakukan perkara mungkar (tidak elok)". Sekiranya solat yg didirikan mampu mencegah mereka daripada melakukan perkara mungkar maka mereka akan boleh membawa diri mereka dalam situasi apapun mereka berada. Biarlah anak-anak faham konsep Islam yg betul bukannya memaksa mereka mendirikan solat tanpa memahaminya.

Sekiranya tempoh tiga tahun tidak mampu membentuk anak-anak solat, barulah kita boleh menggunakan kekerasan kepada mereka, itupun setelah mengajar mereka dengan cara yg betul. Lihatlah cantiknya pendidikan anak-anak yg diajar oleh Rasulullah kepada kita, jadi cara didikan yg keras untuk solat akan memberi padah kemudian hari.

Persoalan Kedua: Apakah cara lama dalam mendidik anak-anak memberi kesan negatif kepada mereka? Kebanyakan ibubapa generasi lama terlalu menggunakan kekerasan dalam mendidik, ini kerana mereka kurang pengetahuan dalam ajaran agama yg sebenar kesan, daripada taqlid dan zaman jumud dalam Islam. Mereka meniru dalam mendidik anak-anak, kurang berhikmah dalam mendidik menyebabkan anak-anak mempunyai trauma dalam diri masing-masing. Sekiranya anak-anak ini menjadi ibubapa, mereka akan terikut dgn trauma yang berlaku kepada mereka, yg menyebabkan anak-anak menjadi mangsa. Jadi, dalam keadaan masyarakat yg berilmu, kita boleh mulakan cara didikan anak-anak yang penuh kasih sayang menurut Sunnah Rasulullah dan ajaran Islam yg sejati. Elakkan anak-anak kita menjadi mangsa kejahilan kita, berilah peluang untuk anak-anak membentuk diri menurut Fitrah Allah SWT.

Jadi kita perhatikan dalam masyarakat lama, terdapat jurang antara hubungan anak-anak dengan ibu dan bapa, ada anak-anak yang tidak pernah berkomunikasi dengan bapa, anak-anak takut untuk menceritakan pengalaman mereka kepada ibubapa mereka, takut dipukul dan sebagainya. Jadilah ibubapa yang penyayang tapi tegas dalam mendidik anak-anak.

Jadi untuk menjadi ibubapa terbaik kita perlulah menjadi insan contoh buat mereka, kembalilah menghayati ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah agar generasi anak-anak kita mampu menjadi umat Islam yang hebat dan digeruni oleh orang bukan Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat