Hukum Mandi Wiladah

Satu perkara lagi yang memerlukan penjelasan berkaitan dengan proses bersalin adalah hukum mandi wiladah yang mula dibangkitkan dalam masyarakat kita akhir-akhir ini. Malah ada ustazah-ustazah tertentu yang menyebarkan amalan ini sebagai wajib dilaksanakan oleh setiap wanita yang melahirkan, malah menghukum mereka yang tidak menunaikannya sebagai ditolak segala amalan mereka walaupun mereka melakukan mandi wajib kerana nifas.

Sepatutnya mereka memahami asas amalan tersebut sebelum memberi hukum, ini kerana amalan ini hanya melibatkan wanita yang bersalin tanpa mengeluarkan darah. Mengapa perkara ini dijadikan isu besar, seolah-olah semua wanita yang tidak mandi wiladah tidak diterima segala amalan yang dilakukan. Islam itu agama yang mudah, janganlah disusahkan pula.

Fatwa sebegini membuatkan wanita yang tidak mandi wiladah berasa bersalah, sedangkan konsep mandi wajib ialah untuk membersihkan diri dari hadas besar, agar mampu menunaikan ibadah dalam keadaan suci. Apakah diwajibkan mandi wiladah sedangkan dalam masa yang sama wanita tersebut masih dalam hadas besar,iaitu nifas?. Apakah terangkat hadas besarnya dalam keadaan masih belum suci?

Banyak perkara berkait yang mesti difikirkan secara menyeluruh sebelum memberi pendapat. Secara ringkasnya setiap wanita yang melahirkan mesti mandi wiladah sekiranya melahirkan tanpa mengeluarkan darah, akan tetapi bagi wanita yang mengalami nifas, mereka perlu mandi wajib selepas kering nifasnya. Ini kerana tujuan mandi wajib adalah untuk menyucikan diri agar boleh melakukan ibadah-ibadah yang berkaitan dengannya seperti solat, puasa, mengaji quran dan sebagainya. Mandi wajib yang ditunaikan dan dalam masa yang sama mengalami janabah tidak memberi apa-apa makna, kerana ia tidak menyucikan malah menyusahkan. Ini kerana ramai wanita yang tidak faham membahayakan diri mereka dengan mandi wiladah sejurus melahirkan kerana ingin memenuhi tuntutan tersebut.

Ingatlah bahawa agama kita mudah, janganlah kita menyusahkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas