SIFAT HENING, SABAR, IKHLAS DAN REDHA

Empat sifat terpuji sekiranya diamalkan selalu dapat menjamin kebahagian hidup didunia dan diakhirat, iaitu sifat hening, sabar, ikhlas dan redha. Sikap hening adalah asas utama dalam akhlak Muslim, ia boleh didapati apabila kita sentiasa sabar, ikhlas dan redha. Keheningan merupakan sifat orang yang dekat dengan Allah SWT, yang menyebabkan setiap orang yang melihat mereka merasa tertarik dengan akhlaknya.

Manakala sifat sabar, ikhlas dan redha membantu kita dalam membentuk sikap hening tersebut. Sabar apabila marah dan ditimpa musibah, sabar menahan hawa nafsu, juga sabar dalam menunaikan ibadah. Apabila kita mampu bersabar banyak masalah dalam hubungan sesama manusia dapat dielakkan. Disamping sabar, kita hendaklah juga sentiasa ikhlas dalam segala tindak-tanduk dan perbuatan kita. Ini kerana ikhlas dapat membantu kita menjauhi daripada gangguan syaitan, sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa syaitan tidak mampu mempengaruhi orang-orang yang ikhlas dalam beribadah kepada Allah. Akhirnya keredhaan dan bersyukur atas segala apa yang berlaku kepada kita, ia adalah kemuncak tanda kasih kita kepada Yang Maha Esa.

Ramai yang bersyukur apabila diselamatkan daripada musibah, memperoleh sesuatu yang mengembirakan, sihat, berjaya serta mendapat rezeki yg melimpah tapi kurang mempraktikkannya sebagai amalan seharian kita, sedangkan kita diajar supaya mengucapkan syukur "alhamdulillah" apabila bangun dari tidur, tanda kesyukuran kita kepada Allah. Begitu juga sifat-sifat lain, selalunya kita cuma teringat apabila diri dilanda musibah.

Apakah ini berlaku kerana manusia cepat lupa?
Apabila diberi kesenangan kita selalu lupa diri, kadang-kadang lupa untuk bersyukur, namun apabila ditimba masalah barulah kita kembali memohon kepada Allah agar dilepaskan daripada musibah tersebut. Begitulah sifat manusia "sudah terhantuk baru terngadah".Islam telah mengajarkan kepada kita untuk mengamalkan sifat-sifat ini dalam kehidupan dan amal ibadat kita. Namun adakah kita sentiasa bersabar dan bersyukur apabila berhadapan dengan ketetapan Allah SWT, juga apakah kita ikhlas menerima segala pemberian Allah SWT?

Fahamilah firman Allah sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah:216 " Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".

"Manusia merancang, Allah yang menentukan", "hidup tidak selalunya indah" begitulah diantara pepatah Melayu yang mengingatkan kita agar sentiasa beringat dalam hidup ini ".Serta ingatlah firman Allah (Surah Ibrahim:7) yang bermaksud "Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Begitu juga Firman Allah dalam ayat-ayat berikutnya:Dalam surah Al-Hadid: 22-23, Firman Allah bermaksud: “Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan sudah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita dengan apa yang luput daripada kamu dan jangan terlalu gembira dengan terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Dan Firman Allah lagi dalam Surah al-Baqarah: 155 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.”

Seorang manusia apabila ditimpa sesuatu musibah sama ada besar atau kecil lalu dia bersabar dan ingat kepada Allah serta yakin bahawa apa yang berlaku telah ditetapkan Allah kepadanya, dan mempunyai hikmah disebaliknya maka dia akan menjadi tenang. Begitu jugalah apabila dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia tidak akan bersikap terlalu gembira sehingga melanggar perintah Allah atau merasa bangga, riak, sombong atau tamak. Sebalik dia bersyukur dan ingat kepada Allah lalu dia menjadi tenang.

Ada juga hadis yang menganjurkan supaya manusia bersikap sabar dan syukur bagi memperoleh ketenangan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” - (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Tidak ditimpa seorang Muslim keletihan, penyakit, kerisauan, kesedihan, kesakitan, kesedihan yang amat sangat sehingga walaupun duri yang menyucuknya melainkan Allah menghapuskan dengannya dosanya.” - (Muttafaq ‘Alaih)

Hidup ini adalah ujian dan ujiannya juga berbeza-beza kepada setiap orang, jadi kita hendaklah sentiasa bersikap sabar, ikhlas dan redha atas segalanya, kerana itulah punca ketenangan dalam jiwa kita. Kita juga harus sedar bahawa Allah mengurniakan rezeki kepada manusia dalam pelbagai bentuk, jadi sikap redha dan bersyukur membantu kita menghadapi segala masalah. Ia akan membentuk ketenangan jiwa walaupun tidak berharta. Apalah maknanya duit yang banyak, harta bertimbun sekiranya jiwa resah kerana ia tidak dapat memberikan sebarang kesenangan dan ketenteraman diri. Jadi sentiasa amalkan sifat2 sabar, ihklas dan bersyukur agar kita beroleh ketenangan jiwa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman