Seronokkah Menulis?

Alhamdulillah seronok menulis, bila ditulis apa-apapun ia akan menjadi hasil tulisan kita. Jika diingatkan sepanjang tempoh pengajian pelbagai kertas kerja, penyelidikan dihasilkan tapi ia tidak sama dengan menulis sebegini. Ini kerana penulisan sebegini lebih dekat dengan hati.

Dah jadi tabiat saya, bila saya berbuat sesuatu saya inginkan ramai sahabat turut sama. Jadi bila saya dah menulis blog mulutpun sibuk menyuruh rakan-rakan menulis sama, agar kita dapat sama-sama menyumbang sesuatu. Tulislah...wahai sahabat.

Teringat jiran Sudan terkejut bila saya menceritakan ramai surirumah Melayu menulis blog sebagai mengisi masa lapang. Beliau berkata: "Masya Allah jika begitu ramai surirumah terpelajar lah di Malaysia". Begitulah kira-kiranya..alhamdulillah. Beliau juga memiliki ijazah sarjana tetapi berada di rumah kerana mengikuti suami yang kerja di sini. Agak-agak macam saya juga le, belajar tinggi-tinggi berada di rumah...

Ada yang menyatakan tidak mempunyai cukup masa untuk menulis, sibuk sangat. Ada yang masih belum mahu mencuba. Saya dulu-dulupun begitu...malu nanti orang baca tulisan kita tak le sehebat mana, tapi yang penting menulis. Berkat usaha latihan berterusan insya Allah penulisan kita akan menjadi lebih baik. Kita juga akan mampu menjadi seperti penulis yang dah memiliki buku-buku yang hebat (nak kuatkan semangat diri...).

Apa salahnya kita bermula daripada sekarang, tulislah sedikit. Jika tidak cukup masa tulislah seminggu sekali ataupun tiga hari sekali, tapi pastikan kita menjaga konsistennya. Ulangan yang sama berterusan pada waktu yang sama, insyaAllah akan menjadi terapi kepada kita.

Bagi saya setiap orang ada ilmu tersendiri, yang tidak ada pada orang lain. Sebab itu semakin ramai teman maka makin banyaklah ilmu yang mampu kita perolehi. Sekiranya ilmu-ilmu itu ditulis, pelbagai perkara kita dapat kongsikan bersama...Ini cuma cadangan saja bukanya memaksa sesiapa. Fikirlah sendiri kerana Allah memberikan corak pemikiran yang berbeza-beza untuk setiap orang.

Dah ketentuannya saya tergolong ke dalam golongan suka berfikir dan bercakap, juga suka berkawan (ikut teori mengenal diri yang saya belajar), bila tak dapat bertemu kawan, saya tukarkannya menjadi penulisan, bercakap juga tapi dalam ruangan yang berbeza. Namun begitu saya tetap bercakap dan berhubung dengan jiran tetangga. Harap-harapnya dapat le berlatih cakap Arab.

Jadi kalau anda tanya saya seronokkah menulis, maka saya akan jawab 'seronoook'. Bila dah tak ada urusan lain nak dibuat maka menulis akan menjadi amat seronok untuk dilakukan (bila dah tak de kerja rumah). Malah sekiranya sentiasa dilakukan ia akan menjadi semakin seronok. Mungkin itulah yang diperolehi para sasterawan kita yang tidak pernah jemu menulis walaupun sudah lanjut usia.

Malangnya saya bukanlah ahli sastera, memang tidak tahu nak bersajak atau berpantun, apatah lagi bahasa yang berbunga-bunga. Tapi teringin untuk menulis, bukan untuk jadi sasterawan tapi menyampaikan sedikit ilmu. Moga dapat berkongsi dengan orang yang sudi membaca tulisan saya, jika tak de saya yang baca sendiri...

Inilah keseronokan baru bagi saya alhamdulillah.

Dulu-dulu berlatih menulis khat, saya memang tidak jemu berlatih hinggalah berjaya menulis dengan baik. Dari situ saya beroleh kekuatan diri. Sekarang berubah menulis begini, jadi saya perlu berlatih sehingga tulisan saya akan jadi lebih baik, insya Allah.

Sebenarnya jika kita kuatkan semangat insya Allah kita akan mampu lakukan, berlatih dan berlatih suatu hari anda akan berhasil menghasilkan sesuatu yang hebat untuk diri, percayalah...
Betapa seronok menulis dalam bahasa ibunda sendiri...jadi sayangilah bahasa anda.

Ulasan

Unknown berkata…
Salam. Alhamdulillah, tahniah Dr! Moga ilmu yang Dr. ada dimanfaatkan oleh pembaca-pembaca blog terutamanya saya, silent reader blog Dr. Hehehe. Memang seronok menulis! Teruskan usaha Dr., moga dimudahkan Allah :-)

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman