Perantau...apa yang dicari?

Perantau...itulah istilah yang diberikan kepada orang yang berada jauh dari tempat kelahiran.

Saya selalu berfikir, apakah yang aku cari daripada perantauan ini? Apakah keadaan ini akan berterusan ataupun kembali memulakan hidup ditanahair seperti kawan-kawan lain?

Bila dikenang kembali kisah perantauan saya bermula 20 tahun lalu ketika saya diterima masuk ke Matrik UIA, dari situlah saya berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Alhamdulillah banyak pengalaman yang telah dikutip sepanjang tempoh tersebut.

Namun begitu saya bukan pelancong dan saya tidak suka melancong. Saya lebih suka mengenali tempat tinggal saya secara lebih dekat, dengan cara bergaul dengan jiran-jiran sekeliling ataupun berjalan kaki meneroka kawasan sekitar.

Teringat pula kisah ketika kami tinggal di Shah Alam, alhamdulillah kami sempat berjalan-jalan mengenali tempat tersebut setiap kali hujung minggu, termasuklah kawasan Taman Pertanian Shah Alam yang terletak tidak jauh daripada asrama kami ketika itu. Sememangnya kawasan tersebut hari ini begitu jauh berubah. Begitu juga tempat kegemaran kami Masjid Shah Alam, tempat mengulangkaji pelajaran kemudian berjalan-jalan ditepi Tasik Shah Alam mencari ketenangan. Semakin kita mengenali tempat tinggal kita, ia akan menjadi begitu bererti kepada kita.

Begitulah juga ketika berkerja di Johor, saya cuba mengenali kawasan sekeliling serta cuba memahami adat penduduk sekampung. Malah aktiviti hujung minggu ialah mengunjungi tempat-tempat menarik berhampiran tempat tinggal.

Prinsip saya ialah "cubalah kenali sekeliling anda, ada sesuatu disitu." Cara begini sebenarnya amat berkesan dalam membantu kita untuk hidup diperantauan dengan tenang. Ia juga amat menjimatkan kos kerana biasanya mengunjungi kawasan yang berhampiran tempat tinggal kita tidak memerlukan belanja yang banyak. Malah ia membantu meningkatkan tahap kesihatan kita bila berjalan kaki.

Itulah sebabnya kami tidak banyak keluar ke tempat jauh. Masih banyak tempat-tempat menarik dipersekitaran kami yang belum pernah kami jejaki serta tidak memerlukan belanja yang banyak.
Mungkin kami amat berkira dalam hal ini, namun begitu jika ia tetap memberi ketenangan kepada kita, apa salahnya kita melakukannya.

Jadi panggilan 'perantau' itu sudah sebati dengan kami, apatah lagi bagi pasangan yang datang daripada dua benua yang berbeza seperti kami. Alhamdulillah Allah memberikan pasangan yang agak serasi dari aspek ini.

Apakah yang dicari daripada perantauan ini? Itulah persoalan yang sentiasa berlegar difikiran. Apakah harta dunia yang dicari ataupun mencari satu tempat dimana masih ada manusia yang ikhlas dalam menjalin hubungan sesama manusia.

Memang susah untuk diceritakan, tapi sememangnya amat susah mencari satu tempat yang mana kita dapat meneruskan kehidupan dengan aman dan ikatan ukhwah yang mantap.

Seperti kata-kata "bukan susah untuk berkorban demi sahabat, akan tetapi susah untuk mencari sahabat yang betul-betul layak untuk pengorbanan itu. Kita akan gembira apabila bertemu dengan kawan yang kita yakininya, akan tetapi lebih bermakna jika kita bertemu dengan teman yang menyakini "tasiq" kita".

Memang dalam dunia hari ini, amat susah untuk kita bertemu sahabat yang betul-betul ikhlas, dan itulah yang dicari daripada perantauan ini. Moga hati-hati yang diikat dengan iman dan ukhwah yang ikhlas beroleh Rahmat Allah diakhirat nanti.

Apakah kita pernah mengajar anak-anak kita bahawa kawan mereka adalah saudara mereka? Jika anak-anak kita memahami hakikat ini, tidak mustahil mereka akan mampu hidup gembira dalam ikatan ukhwah fillah, tanpa mengira warna kulit.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas