Persoalan Teori Personaliti

Sekadar ingin berkongsi satu ilmu yang telah saya pelajari suatu ketika dulu, moga ia menjadi satu renungan buat kita semua.

Dalam mencari diri kita akan bertemu pelbagai ilmu, ada yang baik dijadikan panduan, yang buruk kita jadikan sempadan. Satu ilmu yang saya kira menarik untuk dikongsi bersama-sama disini ialah ilmu mengenal personaliti diri menurut CVT.

Bila dilihat kepada penjelasannya, ia begitu menarik sekali malah ia mampu menjelaskan pelbagai perkara yang mungkin tidak pernah kita fikirkan sebelum ini. Bila direnung perjalanan untuk sampai kesitu saya telah bertemu pelbagai cara untuk mengenali personaliti diri sendiri. Betul atau tidak itu persoalan selepasnya.

Walauapapun ilmu itu sama ada menurut perspektif timur atau barat, orang yang paling mengenali kita ialah ibubapa dan adik-beradik kita sendiri, kerana mereka telah lama hidup bersama-sama dengan kita, serta telah begitu lama bersama-sama susah senang dengan kita.

Itulah hebatnya ajaran Islam yang menyuruh kita menghormati ibubapa, kerana mereka amat mengenali kita. Ketika kita terjatuh ibu dan bapalah yang memberi kekuatan kepada kita untuk bangkit semula, malah kata perangsang yang mereka berikan amat berbeza daripada nasihat yang diberikan oleh orang lain.

Begitu juga sekiranya kita masih memiliki kawan-kawan yang rapat dengan kita semenjak kecil hinggalah dewasa, merekalah yang amat memahami sikap dan tingkahlaku kita. Dari merekalah kita mampu mengenal siapa kita sebenarnya, kerana mereka mengenali kita tanpa kepentingan tertentu. Jadi cara mereka mengenal kita berbeza daripada orang lain yang hanya mengenali kita sekadar luaran semata-mata.

Namun begitu dalam kehidupan hari ini, kita terbawa-bawa dengan pelbagai nasihat dan teori yang diberikan oleh orang-orang bukan Islam hinggakan terkadang kita menganggap bahawa ibubapa kita tidak lagi mengenali dan memahami diri kita. Ada orang luar dan teramat luar yang lebih mengenali diri kita, betul kah begitu?

Bayangkan jika kita bertemu dengan pakar psikologi tertentu yang memberitahu bahawa 'anda adalah seorang yang berpesonaliti.....", kita merasakan bahawa apa yang dijelaskan oleh mereka tepat mengenai diri kita, maka kitapun mulalah menerima teori mereka sepenuh hati kita.

Inilah aku yang sebenarnya, tiada orang lain yang mengenaliku sebagaimana yang dijelaskan oleh beliau, sedangkan pendapat tersebut cuma berdasarkan pemerhatian singkat seorang pakar dan pelanggan beliau. Apakah pertemuan sekali itu mampu menjelaskan segala-galanya? Apakah ia mampu mengatasi pendapat orang yang mengenali kita semenjak kita dalam kandungan beliau lagi. Fikirkanlah...

Apatah lagi sekiranya cara mengenali diri tersebut cuma didapati dengan cara menjawab soalan-soalan tertentu, yang mana akhirnya kita akan diberitahu bahawa kita adalah seorang introvert, extrovert dan sebagainya. Apakah ia betul-betul menjelaskan tentang diri kita yang sebenar-benarnya? Apakah kita boleh menjadikannya satu cara kita mengenali diri kita?

Pelbagai persoalan timbul difikiran ini bila memikirkan tentang mengenal personaliti diri. Apakah sifat aku yang sebenarnya? Dari manakah aku mampu perolehi jawapannya? Maka bersifat jujurlah dengan diri untuk menyelongkar segala keunikan diri sendiri yang tidak ada pada orang lain.

Kita lebih mengetahui siapa diri kita, berdasarkan sejarah kehidupan kita. Kita jugalah satu-satunya insan yang lebih mengetahui kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Belajarlah mendengar suaru hati sendiri untuk lebih mengenal diri. Suara hati kita tidak akan berbohong dengan kita, cuma kita yang selalu tidak mengendahkan kehadirannya untuk membantu kita.

Di kala kita merasakan bahawa kita lemah rujuklah orang kedua yang mengenali kita iaitu ibubapa dan kawan rapat kita. Selalunya nasihat mereka amat bererti buat kita.

Apakah ayat-ayat al-quran yang menyuruh kita mentaati ibubapa serta sunnah Rasulullah mengajar kita berbuat perkara sia-sia bila menyuruh kita mentaati kedua-dua ibubapa kita? Tidak sama sekali tidak, semua anjuran baginda teramat sesuai untuk fitrah insan. Cuma manusia hari ini memandang mudah semua perkara ini, yang nyata mampu membantu manusia untuk hidup lebih tenang didunia ini.

Sebenarnya asas hidup Islam amat sesuai untuk dipraktikkan dimana-mana, kita tidak perlukan pakar psikologi lain selain ahli keluarga kita. Merekalah pakar rujuk yang amat sesuai dengan kita, dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sayangnya ramai yang tidak mampu meluahkan perasaan kepada insan yang paling rapat dengan mereka disebabkan masalah kesibukan dll, menyebabkan mereka mencari-cari tempat lain untuk berkongsi cerita suka duka hidup mereka. Dari situ wujudlah pakar-pakar yang menasihati orang lain dalam pelbagai urusan hidup termasuklah untuk memilih baju yang hendak dipakai sehari-hari.  

Apakah kita cuba mendengar suara hati sendiri? Apakah kita menerima nasihat daripada orang-orang yang begitu menyayangi kita? Apakah kita cuma mengikut pelbagai teori yang dijelaskan oleh pakar-pakar pelbagai teori hari ini? Jika kehidupan kita banyak berasaskan logik dan teori makin jauh lah kita daripada mengenal diri sendiri.

Berbalik kepada teori peronaliti menurut ilmu Colour Vibration Therapy yang pernah saya pelajari suatu ketika dulu, ia sebenarnya tidak jauh daripada sifat kita sewaktu kecil, itulah diri kita yang sebenarnya. Kehebatan kita ketika kecil amat terserlah namun begitu ia seolah-olah hilang ditelan zaman, ditelan pelbagai masalah yang terpaksa kita harungi.

Oleh itu berilah peluang kepada anak-anak kita hari ini menikmati masa kanak-kanak mereka dengan bebas, kerana itulah kenangan mereka, serta titik mereka mengenali kekuatan dan kelemahan diri mereka. Ke titik itu jugalah mereka akan kembali suatu ketika nanti dalam perjalanan mengenal diri.

Pernahkah anda terasa "aku ingin menjadi diriku yang sebenar-benarnya". Suara siapakah itu? Apakah anda telah begitu jauh darinya? Fikir-fikirkanlah...













Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas