Kepelbagaian cara mendidik Anak-anak

Bila bergaul dengan surirumah pelbagai bangsa, berbagai-bagai ilmu tentang pendidikan anak-anak dapat dikutip. Memang setiap orang memiliki cara tersendiri mendidik anak-anak, kerana mereka lebih memahami anak-anak mereka.

Dalam usaha mendidik anak dalam dunia yang mencabar hari ini kita tidak boleh bergantung kepada orang lain. Sesibuk manapun kita, pastikanlah hubungan dengan anak-anak terjalin erat kerana dari situ terserlah personaliti anak-anak kita.

Kadang-kadang terfikir bahawa tugasan ini bukan mudah untuk dilaksanakan, tapi kita tidak boleh lari daripada menunaikannya. Itulah tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa.

Diantara beberapa perkara yang saya pelajari daripada kawan-kawan ialah cara mendidik anak bersabar. Cara yang digunakan ialah setiap kali anaknya yang berumur 5 tahun marah, beliau menyuruh anaknya mengawal perasaan marah tersebut dengan mengawal pernafasan dan mengenggam kedua-dua tangan sehinggalah perasaan tersebut dapat dikawal. Hasilnya anak beliau mampu mengawal perasaan dan kembali ceria.

Saya terfikir betul juga tindakan beliau kerana banyak masalah timbul daripada kegagalan mengawal perasaan marah. Saya cuba untuk meniru cara begitu tetapi gagal, masih memerlukan masa untuk mendidik anak-anak saya mengawal perasaan marah. Moga Allah memudahkan anak-anak kami mengawal perasaan marah mereka.

Bila bercerita tentang perasaan marah, saya teringat kisah yang berlaku ditaman beberapa hari lepas. Biasalah keadaan ditaman, ramai kanak-kanak bermain, lebih-lebih lagi bila hujung minggu taman tersebut dipenuhi dengan pelbagai golongan kanak-kanak daripada pelbagai kaum.

Tiba-tiba terjadi pergaduhan antara anak orang Pakistan, Mesir dan Sudan. Puncanya adalah anak orang Mesir berwarna putih berkawan rapat dengan anak orang Sudan yang berkulit gelap, jadi anak Pakistan tersebut mengatanya 'zebra'. Ini menimbulkan kemarahan mereka, kemudian disambung dengan adegan melambung pasir dan batu, kedua-duanya berbalas-balas hinggalah si ibu Pakistan tersebut mendatangi ibu-ibu anak yang satu lagi serta marah-marah dalam bahasa yang tidak difahami oleh mereka. 

Saya yang berada disitu diminta menjadi orang tengah untuk meredakan suasana. Apabila mengetahui ada orang yang mampu bercakap bahasa Inggeris, makin radanglah si ibu Pakistan tadi dengan mengatakan bahawa tidak tahu mendidik anak-anak serta pelbagai lagi kata-kata kesat. Nasib baik ibu yang lain tidak memahami kata-kata tersebut. Jadi untuk meredakan suasana, saya berjanji untuk menasihati anak-anak itu untuk lebih beradab. Alhamdulillah masalah selesai, dan mereka terus beredar dari situ.

Pengajarannya ialah bagaimana kita mengawal perasaan marah, serta bagaimana kita berfikir untuk menyelesaikan masalah tersebut. Bagi saya kanak-kanak biasanya bergaduh semasa berkawan dalam usaha memahami antara satu sama lain. Pergaduhan itu tidak akan berlanjutan, akan tetapi apabila ibu-ibu masuk campur pertengkaran akan makin menjadi-jadi. Ini kerana kelemahan orang dewasa untuk mengawal perasaan marah.

Anak masing-masing terpinga-pinga melihat apa yang berlaku didepan mata mereka. Itukah pendidikan yang ingin diterapkan kedalam pemikiran anak-anak ketika mereka kecil? Alhamdulillah kumpulan orang Arab tersebut begitu tenang mendengar kata-kata tersebut kerana tidak faham. Saya terasa macam menonton filem, rupa-rupanya ada orang yang bersikap sebegitu disekeliling saya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara mendidik anak-anak, sebaik-baiknya kita tidak menunding jari kepada orang lain kerana ia menunjukkan kegagalan kita mengawal perasaan sendiri. Setiap bangsa mempunyai cara tersendiri, selagi pendidikan tersebut mendekatkan anak kepada Penciptanya, ibubapa mereka yang lebih arif.

Setiap anak masih dalam peringkat belajar mengawal emosi, ada yang elok dan ada yang kurang. Kita tidak perlu mendabik dada menyatakan bahawa anak-anak kita dah terlalu baik serta memburuk-burukkan anak orang lain. Bersyukurlah dengan keadaan anak-anak kita sambil berusaha untuk memperbaiki lagi ke arah yang lebih baik.

Satu lagi pelajaran ialah kita cuba menyemai perasaan bahawa setiap anak orang adalah anak kita, serta selalu ingatkan anak-anak kita bahawa kawan mereka adalah saudara mereka. Dengan itu mereka akan belajar menghormati kawan-kawan mereka sebagaimana mereka menghormati ahli keluarga sendiri.

Anak-anak saya selalu bertanya mengapa kawan beliau menyatakan bahawa anak orang lain 'akhi'. Setelah diperjelaskan mereka memahaminya serta dapat menerima konsep sebegitu. Hitam putih tidak perlu diambil kira kerana Allah melihat hati seseorang, selagi dia ikhlas bersahabat, maka sambutlah persahabatan tersebut bersesuaian dengan firman Allah: "Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu adalah yang paling bertaqwa".

Begitu juga ingatlah hadis yang bermaksud "Tidak beriman sesorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudaramu sebagaimana kamu mengasihi diri sendiri".

Jadi dimanakah kita sekarang? Apakah kita mampu menjadi Muslim sebagaimana yang disebutkan didalam hadis di atas.

Moga Allah melembutkan hati-hati kita disertai perasaan kasih yang tulus sesama insan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman