Dunia ini Satu...

Allah swt menjadikan alam ini dan makhluk didalamnya saling berhubungan antara satu sama lain. Semuanya diatur dengan susunan yang teratur dan tertib. Sesungguhnya terlalu banyak ilmu yang mampu kita kutip daripada susunan yang amat tertib ini.

Kemudian Allah swt menjelaskan tentang kejadian ini kepada manusia dalam kitab-kitab yang diutuskan kepada Rasul-rasul-Nya. Setiap kitab yang diturunkan kemudian menasakhkan kitab yang terdahulu hinggalah diturunkan kitab Al-Quran yang menjadi panduan untuk kita hidup hari ini.

Sesungguhnya Al-Quran adalah panduan terbaik untuk kita, yang menunjukkan bagaimana untuk kita mengatur langkah hidup kita agar betul-betul bersesuaian dengan fitrah kejadian kita. 

Bila kita meneliti kejadian makhluk lain dialam ini, terutama binatang kita akan dapati ada undang-undang tertentu yang ditentukan kepada mereka. Saya terfikir dari mana binatang-binatang ini mencipta undang-undang mereka jika bukan daripada ketentuan Allah swt.

Itulah sebabnya saya makin seronok menonton siri dokumentari kanak-kanak tentang haiwan dan alam ini. Subhanallah betapa jelasnya undang-undang hidup haiwan, yang tidak berubah daripada dahulu hinggalah sekarang. Ia mencakupi cara-cara hidup berkeluarga, bagaimana cara pembiakan mereka, termasuklah had kawasan yang boleh dihuni. Inilah yang menyebabkan haiwan boleh hidup dengan aman damai dalam satu kawasan.

Kemudian terfikir pula bagaimana Nabi Nuh a.s mampu memuatkan segala jenis binatang ini dalam satu bahtera, apakah ilmu yang digunakan oleh baginda?

Kemudian apabila kita meneliti bumi ini pula, kita akan dapati bahawa Allah swt mencipta daratan ini satu, kemudiannya dipecahkan menjadi susunan seperti yang dapat kita lihat hari ini, lima buah benua yang berasingan. Sebab itu kita boleh lihat bentuk benua yang boleh disambung menjadi satu seperti dulu. Terfikir juga, mengapa Allah swt pecahkan daratan ini menjadi berbagai-bagai bentuk?

Sesungguhnya DIA lebih Tahu akan segala kejadian-Nya. Kita sebagai hamba hendaklah akur dengan segala kejadian ini, serta berfikir selalu. Dari situ kita akan nampak Kebesaran dan Kekuasaan Allah swt. Sebab itulah jika kita meneliti ayat-ayat Al-Quran kita dapati Allah swt menyuruh kita melihat alam ini, inilah bukti Kekuasaan-Nya. Subhanallah.

Kemudian apabila belajar tentang manusia, memang ciri-ciri yang sama agak jelas. Kejadian manusia juga amat tersusun dan teliti, malah terdapat begitu banyak rahsia yang terdapat dalam diri kita. Bermula daripada rahsia kejadian kita, kemudian rahsia ketetapan hidup kita sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Rasulullah saw. Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui segala rahsia yang kita tidak ketahui.

Ada yang berkata "Dunia ini terletak dalam diri kita, bagaimana kita melihat dunia ini begitulah dunia ini terbentuk bagi kita". Jika kita meletakkan ia sebagai matlamat utama kita, itulah yang akan kita perolehi. Jika kita meletakkan akhirat sebagai matlamat kita, dunia juga akan mampu kita perolehi.

Sesungguhnya terlalu banyak ilmu yang mampu kita gali daripada kejadian manusia. Apatah lagi jika kita mengaitkan segala kejadian ini dengan tenaga. Tenaga tidak boleh dimusnahkan tapi boleh bertukar bentuk. Maknanya betullah kenyataan bahawa semua makhluk hidup dialam ini amat memerlukan antara satu sama lain. Manusia hidup memerlukan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Oleh itu manusia mestilah menjaga hubungan mereka dengan Allah, sesama manusia dan alam sekitar agar mampu hidup aman didunia ini.

Beza antara manusia dan makhluk Allah yang lain ialah manusia mesti hidup berdasarkan wahyu yang diturunkan. Manusia juga boleh hidup berdasarkan sunnah  kejadian alam (sunnatullah) seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan, tapi seorang Muslim hidup lebih dari itu. Seorang Muslim mestilah hidup berpandukan  (syariatullah) yang mesti kita ikut sepanjang hidup kita, yang terkandung dalam kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Jika seorang insan hidup sekadar untuk makan, minum, berkahwin, mendapat anak, menjadi tua dan meninggal dunia, kehidupan mereka sama dengan makhluk Allah yang lain. Apakah itu yang kita inginkan dalam kehidupan kita ataupun kita mempunyai impian yang lebih besar?

Insya Allah kita sambung lagi dilain kali...masih ada banyak persoalan tentang perkara ini.










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat