Nasihat Menasihati...

Dalam menjalani kehidupan ini, kadang-kadang kita takut untuk mengamalkan satu perkara iaitu nasihat-menasihati sesama kita sebagaimana yang dijelaskan didalam hadis: "Agama itu Nasihat".

Bayangkan kita melihat secara terang kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita, tapi kita tidak menasihati rakan tersebut kerana takut dimarahi atau menimbulkan pandangan negatif kawan terhadap kita. Kita tidak menasihati kerana takut kehilangan kawan.

Kadang-kadang kita takut untuk menasihati kawan kerana pelbagai alasan yang kita berikan...selagi kita berpegang kepada alasan sebegitu umat Islam tidak akan ke mana. Ini kerana kita melupakan ajaran agama kita yang menyuruh kita "menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran".

Jika begitulah sikap kita terhadap sahabat kita, seorang yang rapat dan kita kenali mereka, tidak mustahil kita hanya mampu melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain disekitar kita tanpa berbuat apa-apa.

Kadang-kadang kita berani menulis dalam blog, suratkhabar dan lain-lain untuk menegur kesilapan yang kita lihat, tapi bila berdepan dengan orang yang melakukan kesalahan tersebut, kita diam membisu. Mengapa wujud sikap sebegitu, sedangkan lebih baik kita menegur secara berdepan dan berhikmah daripada menegur secara umum.

Bagi saya, ini adalah satu bentuk penyakit yang wujud dan menular dalam masyarakat kita. Penyakit ini jugalah yang menjadi punca kemerosotan nilai dalam masyarakat. Jadi siapakah yang bersalah dalam perkara ini?

Sebagai contoh "hubungan lelaki dan wanita atau coupling", "wanita tidak bertudung", "menggunakan sistem kewangan yang mengamalkan riba" serta pelbagai lagi amalan yang tidak menurut syariat Islam yang diamalkan dalam masyarakat kita.

'Coupling' sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita, walaupun suatu ketika dulu ia adalah perkara yang mengaibkan dalam masyarakat. Hari ini ibubapa tidak segan lagi memberitahu jiran-jiran bahawa anak mereka sedang dilamun cinta, sedangkan orang yang sama ke sana sini mengajar agama.

Apabila perkara berkaitan agama dijadikan biasa, apakah yang masih tinggal untuk kita amalkan? Apakah peranan kita sebagai seorang sahabat? Apakah hanya sebagai tukang dengar seolah-olah mendengar radio tanpa adanya perasaan untuk memberi jawapan balas.

Begitu juga dimana-mana kita melihat wanita yang tidak menutup aurat dengan cara yang betul, berpakaian ketat, singkat, jarang serta pelbagai lagi ungkapan yang seumpamanya. Namun begitu kita juga berdiam diri, tidak sanggup memberi nasihat.

Sememangnya jika ingin disebutkan terdapat banyak kesilapan dilakukan, kerana kita membiarkan ia berlaku, malah ada orang yang tidak pernah ditegur kesilapan yang mereka lakukan tersebut.

Kadang-kadang saya terfikir, setakat mana kekuatan iman diri ini? Mengapa aku tidak mampu menegur dan menasihati orang-orang yang aku kasihi kerana Allah.

Terkenang suatu ketika dulu, bilamana saya menegur pasangan sahabat yang baru berkahwin kerana menunjukkan aksi mesra dengan suami dihadapan kawan-kawan yang belum berkahwin. Mungkin ketika itu perbuatan sebegitu dianggap tidak manis untuk ditunjukkan dihadapan orang, ia adalah aib.

Namun hari ini disana-sini penceramah menyuruh kita mempamerkan kasih-sayang kita kepada pasangan kita terutama dihadapan anak-anak. Jadi anak-anak kecil dipamerkan satu aksi yang tidak sepatutnya mereka lihat semenjak kecil lagi. Jadi janganlah kita menyalahkan TV semata-mata bila melihat perhubungan bebas tersebar di negara kita.

Itulah hasil idea orang-orang bukan Islam dalam hubungan sesama manusia sedangkan kita telah mempunyai panduan dan teladan terbaik, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah saw dan umat Islam yang terdahulu.

Jadi apakah yang mampu kita lakukan sebagai surirumah? Apakah kita hanya mampu mengeleng kepala bila mendengar kes-kes buang bayi, kes orang berkhalwat dan pelbagai lagi masalah sosial yang berlaku. Apakah kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai Muslim dalam ertikata yang sebenarnya?

Beranikanlah diri untuk memberi nasihat kepada orang-orang disekeliling kita, kerana dari situlah akan terhasil sebuah masyarakat yang aman dan harmoni.












Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat