Globalisasi....

Alhamdulillah bila bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai negara banyak isu yang boleh dibincangkan, masing-masing menjelaskan mengikut perspektif negara mereka.

Rupa-rupanya banyak perkara yang saya tidak tahu selama ini, malah ia mampu membuka mata saya yang seolah-olah terpejam selama ini. Walaupun pernah berada dibumi UIA yang juga menghimpunkan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, tapi perkongsiannya lebih bersifat akademik.

Jadi saya rasa sungguh bertuah bila berpeluang bertukar-tukar fikiran dengan kawan-kawan yang semuanya adalah surirumah sepenuh masa.

Bila kita cuma bergaul dengan orang-orang yang sama keturunan dengan kita, kita tidak sedar tentang banyak perkara lagi yang ada disekeliling kita. Kita senang dan leka dengan segala kemudahan yang kita perolehi. Bila kita cuma memikirkan masalah kita sahaja, kita tidak sedar bahawa dunia ini sudah begitu banyak dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

Bila kita membuka mata melihat apa sebenarnya yang berlaku dalam dunia ini, perasaan gerun, takut, bimbang serta pelbagai lagi perasaan negatif datang. Apakah kita tidak ingin memikirkan hal-hal kerosakan alam sekitar? Apakah kita juga tidak mahu memikirkan apa yang telah dilakukan kepada makanan yang kita makan sehari-hari?

Manusia memang hebat dan kehebatan tersebut akan mampu menghancurkan seluruh alam ini, jika tidak dipandu dengan syariat yang betul. Subhanallah itulah tujuan Allah mengutuskan Rasulullah untuk memandu perjalanan hidup kita, agar bersesuaian dengan fitrah kejadian alam ini.

Apabila kita hidup cuma berasaskan nafsu dan kehendak kita, malah menggunakan kekuatan fikiran yang dianugerahkan Allah secara optimum, kita akan mampu menghasilkan penemuan-penemuan yang hebat. Tapi apalah maknanya jika penemuan-penemuan tersebut boleh menghancurkan alam ini.

Kadang-kadang terfikir apakah bentuk zaman yang akan dilalui oleh anak cucu kita nanti? Mampukah mereka membawa diri dalam dunia sebegitu? Apakah bentuk pendidikan terbaik untuk anak-anak zaman ini?

Bila menonton siri kanak-kanak yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, saya dapati kebanyakan program membawa anak-anak ke alam 'survivor', disitu ketahanan emosi, mental dan fizikal mereka diuji. Ada program dalam hutan, pulau yang terasing, padang pasir, kawasan pergunungan, kutub serta pelbagai lagi kawasan yang ekosistemnya masih terpelihara .

Begitu juga siri-siri kartun yang berkaitan dengan kanak-kanak yang menempuh hidup dalam serba kesusahan, bagaimana untuk berjaya membina kehidupan setelah alam ini musnah hancur dalam peperangan besar. Apakah itu masa depan anak-anak kita? Ataupun ia cuma khayalan semata-mata. 

Bila menonton dokumentari pula, terlihatlah betapa alam yang kita lihat cantik disekeliling kita sebenarnya sudah hampir hancur, akibat kajian dan penukaran genetik yang keterlaluan.

Berapa ramai insan dalam alam ini yang kebuluran kerana tidak mampu menggunakan tanah disekeliling mereka untuk bercucuk tanam, sama ada kekurangan air ataupun kerana benih tidak boleh ditanam semula. Bayangkan orang-orang susah yang mesti bergantung kepada pembekal benih tanam-tanaman setiap kali ingin bercucuk-tanam sedangkan suatu ketika dulu mereka bebas menggunakan benih sendiri yang disimpan untuk musim seterusnya. 

Fikirkan juga berapa banyak kawasan yang telah mengalami kekurangan air yang teruk, yang mana penduduknya tidak boleh menggunakan kawasan tersebut untuk bercucuk-tanam, penggunaan air terpaksa dijimatkan. Benarlah sabda Rasulullah saw agar kita jangan membazir air walaupun sewaktu berwuduk. Teringat pula firman Allah swt bahawa DIA menurunkan air dari langit dalam jumlah yang sama, malah kadar air tidak pernah berkurang.

Tapi mengapa kawasan-kawasan tersebut mengalami krisis kekurangan air yang dahsyat? Sedangkan ada negara-negara yang hampir tenggelam kerana isipadu air laut bertambah. Apakah ini peringatan daripada Allah swt untuk kita memikirkan apabila kita menyerahkan urusan kepada orang yang tidak bertanggungjawab maka tunggulah kejadian kiamat.

Apakah umat Islam hanya berpeluk tubuh serta melihat alam ini dihancurkan sedikit demi sedikit, hinggakan anak cucu kita tidak berpeluang menikmati keindahan kejadian Allah.

Manusia adalah bijak, namun kebijaksanaan mereka digunakan untuk menjajah alam ini dalam bentuk baru, yang mana setiap orang mesti bergantung kepada mereka dalam setiap urusan. Apakah ini gambaran 'dajjal' yang hanya memikirkan keuntungan sendiri tanpa memikirkan kemaslahatan orang lain didunia ini.  

Alam ini hanya satu, dan yang satu ini kita mestilah sama-sama menjaganya. Namun apabila ia didominasi oleh satu golongan manusia sahaja, akan cepatlah kehancurannya.

Lihatlah betapa banyak ciptaan-ciptaan yang hanya menambah kepanasan alam ini. Lihatlah juga mengapa Allah menurunkan salji yang begitu tebal disesetengah tempat, apakah sebagai bala ataupun untuk mengurangkan kepanasan tempat tersebut. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sebab kejadian setiap sesuatu.

Terfikirkan isu ini sebagai persediaan menghadiri program "Ana wa Ummi wa Biiati" (Aku, Ibuku dan Alam Sekitarku) pagi ini. Moga saya mampu memdapat input-input baru berkaitan alam ini.

Moga kita masih berpeluang untuk sama-sama menyelamatkan alam ini, sama-samalah kita berdoa agar Allah menyelamatkan kita semua.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat