Perginya Seorang Mufassir.

Pagi ini ketika membaca mesej di facebook, saya menerima satu berita sedih daripada seorang cucu Mufassir di Asia Tenggara, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamed penulis kitab tafsir 'Abr Al-Athir', satu-satunya tafsir berbahasa melayu selepas tafsir Hamka. 

Berita pemergian allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji amat dirasai oleh saya, yang telah berpeluang mengenali allahyarham ketika mengumpul maklumat untuk tesis MA saya pada tahun 1997.

Ketika itu tiada kajian dibuat mengenai tafsir tersebut, kecuali beberapa artikel kecil dalam majalah yang ditulis oleh Ustaz Zulkifli Mohd Yusof (skrg Dr), yang juga sedang mengumpul bahan yang sama untuk tesis Phd beliau diseberang laut.

Saya mula mengenali dan membaca kitab tafsir tersebut (30 juzuk) apabila kakak saya membelinya semasa beliau belajar di Universiti Malaya sekitar tahun 1993 -1994. Jadi ketika memilih tajuk kajian MA saya, saya rasa itulah tajuk terbaik untuk diperhalusi, terutama perkembangan tafsir di Asia Tenggara yang amat kurang diberi perhatian ketika itu.

Disebabkan kekurangan bahan, jalan terbaik untuk saya mengumpul maklumat ialah dengan menemuramah beliau sendiri di rumah beliau di Singapura. Alhamdulillah banyak perkara yang saya telah pelajari ketika menumpang dirumah allahyarham selama sehari semalam, sesungguhnya Allah swt telah memudahkan segala urusan tersebut.

Akan tetapi kajian saya lebih tertumpu kepada perkembangan tafsir di Asia Tenggara, dan tafsir tersebut dipilih sebagai satu contoh tafsir yang ada di alam melayu. Oleh itu tidak banyak kajian mendalam dapat saya lakukan berkaitan tafsir tersebut.

Alhamdulillah saya bersyukur bila mendengar ramai pelajar berminat untuk menyambung kajian tersebut pada peringkat sarjana, satu tajuk yang boleh dikaji daripada pelbagai sudut sebagaimana kita mengkaji tafsir Hamka.

Sesungguhnya kita telah kehilangan seorang mufassir di alam melayu, yang memiliki sikap cintakan ilmu serta begitu cergas terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di Brunei, Singapura dan alam melayu seluruhnya.

Moga Allah menempatkan beliau dikalangan hamba-hamba-Nya yang bertaqwa. Alfatihah.

    

Ulasan

zulkifli khair berkata…
Moga doa2 kita menjadi kenyataan. Allahummaghfirlahu warhamhu...

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas