Dahulukanlah Agama...
Letakkanlah agama di tempat yang sepatutnya...
Situasi didunia hari ini ialah ramai manusia terkejar-kejarkan dunia, siang malam bekerja mengejar kejayaan hidup didunia, hingga melupakan akhirat. Kita lebih terfokus kepada benda yang kita boleh nampak, dan boleh berinteraksi dengannya.
Bila bercerita tentang perkara-perkara yang tidak wujud didepan mata, kita sukar mempercayainya, walaupun hakikatnya ia tetap wujud.
Begitu juga dengan agama, kita mengaku bahawa kita Islam tapi tanpa kita sedar kita mengambilmudah dalam banyak perkara, serta mementingkan apa yang tidak penting dalam agama.
Dalam banyak keadaan agama hanyalah dijadikan pelengkap, bukannya asas kehidupan. Itulah punca masalah yang menimpa umat Islam di mana-mana.
Alhamdulillah akhir-akhir ini ramai pakar motivasi yang mengingatkan tentang kepentingan menjaga hubungan dengan Allah, dalam mencapai keinginan hidup didunia ini. Maka ramailah insan yang mula melihat kepentingan agama dalam hidup mereka serta berusaha menghampirkan diri kepada Allah.
Malah begitu banyak ilmu-ilmu yang diperkembangkan menuntut kita kembali menghampirkan diri kepada Allah, jika kita ingin beroleh kehebatan dalam pelajaran, perniagaan, perubatan, menjalin perhubungan dan lain-lain.
Moga permulaan yang begitu baik membuka hati kita untuk menilai semula apakah usaha kita selama ini sesuai dengan kefahaman Islam yang sebenar? Moga usaha yang mereka buat mampu membuka mata umat Islam untuk kembali menghayati agama yang suci ini.
Dalam masa yang sama marilah kita berdoa agar amal ibadah kita tidak dijadikan alat dalam usaha kita untuk mendapat kepentingan hidup didunia ini. Biarlah kita ikhlas dalam setiap gerakkerja kita tanpa mengharap habuan duniawi tapi kita letakkan keyakinan bahawa Allah swt akan memberi rezeki kepada kita setiap waktu.
Sebenarnya apabila kita yakin, pada kekuasaan Allah, pertolongan-Nya akan datang kepada kita bila-bila masa.
Yang paling utama kuatkanlah keyakinan kita kepada Allah swt serta serahkanlah setiap keinginan kita kepada-Nya.
Bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai Muslim serta tetap dalam agama ini, serta berdoalah selalu agar kita dan keluarga kita termasuk ke dalam golongan yang mendapat Rahmat Ilahi dan tetap dalam agama ini.
Carilah masa untuk mendalami ilmu agama, serta mengambiltahu sedikit sebanyak tentang pemikiran barat dalam usaha untuk menjaga diri kita dan orang-orang yang kita sayang daripada melakukan dosa kecil atau besar.
Ingatlah begitu banyak idea-idea orang bukan Islam tersebar dikalangan kita, dan umat Islam begitu meyakininya. Banyak perkara mungkar menjadi biasa, malah perkara yang elok menjadi asing kepada umat Islam.
Sama-samalah kita mendidik anak-anak kita agar mereka memahami dan menyayangi agama ini, serta bersemangat untuk menegakkan kebenaran dalam apa jua keadaan.
Fikir-fikirkanlah....
Ulasan