Surirumah: Rela atau Terpaksa

Surirumah, satu kerjaya yang menjadi tunggak keharmonian keluarga dan kerjaya yang tiada tolok bandingnya didunia. Elok surirumah maka harmonilah rumahtangga, masyarakat dan negara.
Menjadi surirumah, sama ada mempunyai anak atau tidak, bukanlah satu kerja yang hina, atau tiada kedudukan, malah ia menjadi pilihan kebanyakan keluarga berada. Akan tetapi keadaan masyarakat kita yang telah terpengaruh dengan isu perjuangan wanita, telah meletakkan kerja mulia ini sebagai pilihan terakhir wanita, iaitu apabila wanita tersebut tidak ada kelulusan yang sepatutnya untuk bekerja, maka dia perlu menjadi surirumah. Dalam kata lain selagi ada peluang untuk keluar rumah dan bekerja, sekalipun sebagai tukang sapu bangunan dan berpendapatan rendah wanita lebih rela keluar bekerja, hanya sekadar untuk menikmati kedudukan sebagai pekerja.
Apakah berada dirumah, menyediakan rumah sebagai syurga untuk suami dan anak-anak bukan dikira bekerja? Inilah isu yang seharusnya difikirkan kembali oleh wanita hari ini. Saya menulis bukan untuk menimbulkan isu supaya wanita kembali ke ceruk dapur, tetapi untuk mengingatkan wanita bahawa kita telah tersilap memilih keutamaan dalam hidup ini. Ini kerana kita sentiasa disogokkan dengan idea bahawa wanita bekerja boleh bergaya, mampu memiliki apa saja yang diingini, maka kita mula meletakkan bekerja diluar sebagai pilihan utama dalam kehidupan kita.
Kita lihat apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, apakah punca gejala sosial yang berlaku? Siapakah yang perlu dipersalahkan? Banyak perkara perlu dinilai kembali dalam kehidupan kita, apakah ia berpunca daripada wanita? Sama-samalah kita fikirkan....
Allah menjadikan wanita sebagai makhluk yang mulia dan dihormati, akan tetapi kita tidak menghargai kedudukan yang diberikan oleh Allah swt, mungkin kerana kejahilan kita atau kerana kesibukan kita mengejar dunia. Didalam dunia Melayu samaada Malaysia, Indonesia dsb, wanita telah terdedah untuk bekerja mencari rezeki, boleh dikatakan wanita menghabiskan masa sehari-hari untuk bekerja membantu suami, kadang-kadang dalam memenuhi ketaatan tersebut wanita lupa akan diri mereka sendiri, mereka sentiasa sibuk yang menyebabkan pendidikan anak-anak terabai, pendidikan mereka sendiri juga terabai, ramai wanita yang jahil tentang agama, mereka tidak tahu membezakan yang mana lebih utama dalam hidup mereka. Yang mereka tahu hanyalah menyediakan makan pakai anak-anak sahaja.
Dengan perkembangan sistem pendidikan pula menyebabkan ramai wanita makin lupa tanggungjawab asasi mereka, pendidikan anak-anak dilepaskan kepada pihak sekolah. Jadi apakah bentuk masyarakat yang terhasil, apakah ia menjuruskan ke arah kesempurnaan ataupun ke arah kemusnahan yang berpanjangan. Manakala bila diperhatikan peranan wanita dalam masyarakat Arab, ia amat berbeza sekali daripada amalan kita sebagai orang Melayu. Wanita-wanita Arab amat terikat dengan rumahtangga mereka, ini kerana keadaan sosial mereka yang dibesarkan dalam keadaan sebegitu, kebanyakan wanita tidak mempunyai matlamat hidup sendiri, mereka amat bergantung kepada lelaki, kehidupan mereka diberikan sepenuhnya kepada mendidik anak-anak dan memenuhi keperluan suami mereka. Wanita Arab lebih terkongkong kehidupan mereka dan bilangan yang keluar bekerja adalah sikit sekali. Maka siapakah yang betul dan siapa yang salah?
Persoalannya, apakah kita memahami tugas kita sebagai wanita ataupun kita cuma menjadi pak turut dalam proses kitaran keluarga di alam ini. Orang berkahwin maka kita juga berkahwin, orang mempunyai anak, maka kita juga ingin mempunyai anak, tapi apakah bentuk pendidikan yang kita salurkan kepada anak-anak kita? Kita tidak ingin menyalahkan sesiapa tetapi untuk mengingatkan sesama sendiri tentang kepentingan kita memahami tugas kita.
Sabda Rasulullah: "Kesemua kamu adalah ketua, dan kesemua kamu akan ditanya akan tanggungjawab kamu, dan amir adalah ketua, seorang lelaki adalah ketua ahli keluarganya, dan wanita adalah ketua dalam rumah suaminya dan anak-anaknya. Dan kesemua kamu adalah pemerintah, dan semua kamu akan disoal tentang pemerintahan mereka."
Tanggungjawab wanita yang utama adalah dalam rumahtangga, terutama untuk mendidik anak-anak. Jika kita lihat dalam masyarakat kita, anak-anak terlepas tanpa didikan yang sepatutnya daripada ibubapa, ini menyebabkan gejala sosial menjadi-jadi. Wanita tidak didedahkan dengan ilmu yang sepatutnya dalam mendidik anak-anak, mereka cuma mendidik secara ikut-ikutan, mereka tidak mempunyai ilmu agama yang mendalam, banyak asas-asas agama tidak diterapkan dalam mendidik anak-anak, dalam masa yang sama mereka terlalu sibuk dengan kerja rumah yang membebankan, apatah lagi bagi wanita yang bekerja diluar, anak-anak dibiarkan membuat sesuka hati mereka. Hasilnya anak lelaki membesar dengan harapan mempunyai isteri yang akan membantu mereka dalam rumahtangga, mereka tidak tahu tanggungjawab sendiri dan tidak ingin berusaha untuk melakukan sesuatu perkara secara optimum. Ini kerana pengalaman mereka melihat kaum ibu melakukan pelbagai kerja, seolah-olah tanggungjawab tersebut adalah tanggungjawab wanita. Maka kitaran sebegini dalam hidup wanita akan berterusan, hingga akhirnya wanita yang terbeban dengan sikap lelaki.
Jadi apakah wanita menjadi surirumah itu secara rela atau terpaksa, dan apakah wanita yang bekerja itu rela atau terpaksa? Kedua-duanya menjadi mangsa keadaan, ramai wanita yang bekerja ingin berada dirumah kerana faham tanggungjawab mereka tetapi keadaan tidak mengizinkan mereka berbuat demikian, manakala wanita yang menjadi surirumah sentiasa berharap ingin keluar bekerja untuk memenuhi keinginan yang tidak tercapai. Apakah penyelesaiannya, rela dalam terpaksalah jawapannya....

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
terima kasih dengan penjelasan dan penulisan blog. Ia benar2 membantu saya membuat pilihan yg sebenar dan membetulkan semula matlamat hidup saya. Semoga Allah memberi taufik dan rahmatnya untuk saya dan wanita diluar sana meneruskan perjuangan hidup dilandasan yang betul.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat